backup og meta

Ini 6 Cara Berkesan Untuk Atasi Kesunyian Dalam Kalangan Warga Tua

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 06/10/2022

    Ini 6 Cara Berkesan Untuk Atasi Kesunyian Dalam Kalangan Warga Tua

    Dewasa ini, kajian demi kajian menunjukkan populasi warga emas yang kesunyian lebih terdedah kepada penyakit dan risiko kematian. Pengasingan sosial dan kesunyian adalah masalah serius dalam kalangan warga emas.

    Dalam satu kajian di Britain, hampir 9 juta orang dewasa di UK mengalami kesunyian, lebih daripada populasi London! Dan masalah ini tidak hanya terhad di satu negara sahaja.

    Peningkatan warga emas di seluruh dunia menyaksikan pelbagai kesan sosial dan kesihatan akibat kesunyian.

    Mengapa populasi warga emas mengalami kesunyian?

    Kesukaran bergerak, masalah pendengaran, kematian rakan dan keluarga terdekat menyukarkan warga emas bersosial. Perasaan malu juga boleh menjadi faktor.

    Ramai orang tua yang menderita masalah inkontinens atau tidak dapat mengawal kencing, sedang menjalani terapi oksigen atau perlu menggunakan bantuan untuk bergerak .

    Mereka bukan sahaja menghadapi halangan logistik untuk keluar rumah, tetapi juga harus mengatasi rasa malu terhadap tanda penuaan yang jelas ini.

    Walaupun jika seorang warga emas dijaga oleh ahli keluarga, pengabaian terhadap komunikasi yang bermakna dengan ahli keluarga yang lain juga kerap berlaku.

    Selain disebabkan masalah kesihatan mereka, penjaga mereka mungkin terlalu kepenatan dengan tanggungjawab seharian sehingga tidak mempunyai masa atau tenaga untuk memenuhi keperluan emosi dan sosial mereka.

    Bagaimana anda boleh membantu mereka?

    orang dewasa

    Kesunyian dalam kalangan populasi warga emas boleh dicegah dan disingkirkan. Tetapi penjaga atau ahli keluarga mestilah sanggup membantu orang tua mereka, antaranya dengan cara:

    1.Tanya khabar mereka

    Tanya khabar mereka selalu. Jika anda tingal berjauhan, panggilan telefon anda untuk bertanyakan khabar mereka akan menjadi rutin yang sangat mereka nantikan. Anda tidak memerlukan sebab untuk menelefon mereka.

    Jika mereka dalam jagaan anda, beri galakkan kepada mereka untuk mengekspresikan diri. Kenalpasti sebarang aktiviti yang mereka minat dan bersesuaian dengan kemampuan mereka.

    2. Bantu mereka bersosial

    Bantu orang tua anda melakukan aktiviti yang mereka minat. Komuniti agama merupakan salah satu sistem sokongan yang berkesan bagi warga emas.

    Tidak hairanlah ramai yang mengunjungi masjid setelah usia persaraan kerana kelapangan waktu dan rasa kebersamaan yang dahulunya mereka rasai di tempat kerja.

    Bantu orang tua anda menyertai aktiviti komuniti yang mereka mahukan. Jika mereka sudah atau memang tidak boleh memandu, bantu mereka untuk pergi ke masjid.

    Anda juga boleh menemani mereka ke sebarang acara kekeluargaan atau kejiranan seperti kenduri kahwin, khatam Quran, marhaban dan sebagainya.

    3. Minta tunjuk ajar mereka

    Dalam keadaan warga emas yang tidak dapat banyak bergerak, mereka mungkin merasa tidak diperlukan lagi. Minta tunjuk ajar mereka agar mereka terasa diperlukan.

    Contohnya jika ibu anda gemar mengait, minta tunjuk ajarnya untuk mengajar anda pula. Ini dapat membantu menghilangkan rasa terkilan mereka apabila peranan pemberi dan penerima jagaan kini telah berubah, dengan anda yang kini menjaga mereka.

    populasi warga emas

    4. Ajarkan warga emas penggunaan teknologi

    Pengunaan teknologi dapat membantu orang tua anda berhubung dengan ahli keluarga terdekat. Anda tidak semestinya perlu mengajarkan mereka penggunaan teknologi yang kompleks.

    Mampu menaip dan membalas mesej di aplikasi telefon sahaja sudah cukup membantu mereka berhubung.

    Untuk mengeratkan lagi jurang generasi dalam keluarga, anda boleh meminta anak anda mengajarkan atuk/nenek mereka tentang penggunaan teknologi yang berkaitan.

    5. Dapatkan bantuan sokongan

    Jika anda tinggal berjauhan daripada orang tua di bawah jagaan anda, dapatkan bantuan sokongan seperti daripada orang dewasa lain seperti jiran tetanga atau bantuan professional seperti mengupah jururawat atau penjaga untuk menguruskan mereka daripada masa ke masa.

    Pastikan anda juga memantau keadaan dan menziarahi mereka dengan kerap.

    Jangan menganggapnya sebagai beban tanggungjawab yang perlu dilunaskan, sebaliknya bergembiralah tiap kali anda menziarahi orang tua anda sebagaimana mereka gembira dengan kedatangan anda sekalipun mereka tidak menzahirkannya.

    6. Pertimbangkan rumah jagaan warga emas yang bersesuaian

    Dalam kebanyakan kes pengabaian dan penderaan warga emas oleh orang dewasa, mereka selalunya berakhir dengan rumah jagaan kebajikan atau yang diuruskan NGO.

    Disebabkan itu, rumah jagaan warga emas disinonimkan dengan stigma pembuangan dan pengabaian orang tua.

    Pun begitu, terdapat banyak pilihan rumah jagaan berbayar yang selesa dan diuruskan oleh penjaga professional terlatih. Ini boleh menjadi pilihan anda jika terdapat kekangan dalam menguruskan orang tua anda.

    Beri galakkan kepada orang tua anda untuk membiasakan diri dengan suasana baru tapi jangan memaksakan mereka jika mereka enggan.

    Apa yang membezakan adalah anda masih menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dengan menziarahi mereka dan mengambil berat tentang keadaan mereka.

    Jangan menggunakan rumah jagaan sebagai peluang untuk mengabaikan dan membuang mereka daripada hidup anda. Sebaliknya, manfaatkanlah ini sebagai bantuan penjagaan tanpa melupakan tanggungjawab anda sendiri.

    Penjagaan warga emas sememangnya sangat mencabar dan menguji kesabaran. Tetapi bersyukurlah kerana anda masih berpeluang berkhidmat bakti kepada mereka sewaktu mereka masih hidup.

    Jangan bersikap mementingkan diri sendiri kerana jika anda mengabaikan mereka pada hari ini, tidak mustahil anda juga akan diabaikan apabila menjelang usia tua nanti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 06/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan