Jenis vitamin dan makanan tambahan yang anda ambil juga adalah penting apabila anda menyemak tarikh luput. Terdapat makanan tambahan yang mengandungi bakteria seperti produk probiotik. Terdapat juga makanan tambahan atau vitamin dalam bentuk cecair. Menurut Cynthia Marie LaBonte, Ahli Kimia daripada Newport Herbal Formulas, jika telah mencapai tarikh luput, adalah lebih baik untuk anda buang sahaja vitamin atau makanan tambahan yang perlu disimpan dalam peti sejuk, dalam bentuk cecair atau yang mengandungi bakteria seperti probiotik.
Walaupun ia tidak membahayakan kesihatan anda, pengambilan vitamin yang telah tamat tempoh adalah sesuatu yang membuang masa. Ini kerana anda mengambil sesuatu yang tidak lagi efektif atau kurang efektif. Untuk itu, walaupun secara amnya pengambilan vitamin yang telah luput tidak berbahaya, adalah lebih baik untuk anda tidak mengambilnya.
Tuntasnya, vitamin yang paling mahal yang boleh anda ambil adalah vitamin yang telah tamat tempoh. Ini kerana untuk harga yang sama (ketika dibeli), anda mengambil sesuatu yang tidak lagi efektif atau mampu untuk menghasilkan kesan yang sepatutnya. Oleh itu, cadangan terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah untuk anda beli vitamin dalam kuantiti yang sedikit dan tidak membeli secara pukal untuk kegunaan sendiri.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen