Sukakan Garam? Penemuan Terbaharu Mengenai Neuron yang Memicu Keinginan Terhadap Garam

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Garam adalah bahan perasa asas kepada hampir kesemua masakan, tetapi pengambilan dalam kuantiti yang tinggi boleh menyebabkan komplikasi dan masalah kesihatan seperti penyakit kardiovaskular dan kognitif. Kadangkala garam boleh menyebabkan seseorang menjadi ketagih dan berkeinginan terhadap rasa masin dan ini terjawab melalui penemuan baharu yang ditemui oleh kajian sekumpulan penyelidik di California, Amerika Syarikat. Kumpulan ini telah membuat penemuan baharu; terdapat litar saraf yang mengawal keinginan dan kecukupan untuk rasa masin. Kertas kajian berkenaan penemuan baharu tersebut tersedia secara atas talian pada 27 Mac 2019 dan akan diterbitkan dalam jurnal Nature.

Garam atau sodium memainkan peranan penting dalam kefungsian tubuh badan seperti aktiviti kardiovaskular, penyeimbangan cecair badan dan isyarat saraf. Apabila badan kekurangan garam, otak akan memicu isyarat selera khusus yang memandu tubuh dalam mendapatkan sumber garam untuk tubuh. Walaupun mekanisme isyarat selera ini tidak dapat difahami dengan sepenuhnya, kumpulan pengkaji ini telah menemui populasi kecil neuron dalam bahagian hindbrain tikus yang mengawal keinginan terhadap garam.

Kajian yang diketuai oleh seorang pelajar pascasiswazah yang bernama Sangjun Lee telah menggunakan peralatan genetik untuk memanipulasi aktiviti neuron ini supaya ia dapat dirangsang dengan cahaya. Para penyelidik mendapati bahawa rangsangan buatan keatas neuron ini menyebabkan tikus tersebut menjilat sebiji garam batu berulang kali, walaupun badan mereka sudah cukup dengan kandungan garam. Langkah seterusnya, penyelidik mengukur aktiviti neuron ini semasa tikus menjilat garam batu tersebut. Dalam beberapa saat setelah garam berada di lidah tikus tersebut, aktiviti neuron selera terhadap garam terhalang. Walau bagaimanapun, penyerapan langsung garam ke dalam perut tikus ini tidak menghentikan aktiviti neuron. Penghentian terhadap aktiviti neuron ini juga tidak berlaku apabila reseptor garam pada lidah disekat secara farmakologi. Penyelidikan menunjukkan bahawa isyarat-isyarat garam secara oral, yang mungkin diantarkan oleh sistem rasa, adalah perlu untuk menghalang neuron selera terhadap garam.

Menurut penyelidik daripada Bahagian Biologi dan Kejuruteraan Biologi, California Institute of Technology (Caltech), Yuki Oka, seorang pensyarah dalam bidang biologi dan ahli fakulti bersekutu di Tianqiao and Chrissy Chen Institute for Neuroscience, Caltech, keinginan terhadap garam atau rasa masin adalah cara tubuh badan memberitahu kita bahawa tubuh kita kekurangan kandungan garam. Beliau turut menambah, apabila garam dimakan, ia mengambil masa untuk diserap sepenuhnya kedalam tubuh dan dengan merasa garam sahaja sudah cukup untuk menghentikan aktiviti neuron terbabit. Ini bermakna sistem deria seperti deria rasa adalah lebih penting dalam mengawal selia fungsi tubuh badan berbanding penyampaian maklumat luaran ke bahagian otak.

Dalam kebanyakan spesis hidupan termasuklah manusia, memakan garam boleh memandu keinginan diri untuk makan dengan lebih banyak. Kajian ini membuka sisi baharu kajian berkaitan neuron khusus ini, termasuklah hasrat kumpulan penyelidik ini yang ingin mengkaji bagaimana neuron ini dimodulasikan dari masa ke masa yang memungkinkan penyediaan penyelesaian untuk membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan, dengan kaedah pengurangan pengambilan garam dalam pelan pemakanan mereka.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 28, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut