Sebenarnya Gula, Bukan Lemak, yang Membuatkan Anda Gemuk

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bagi kebanyakan, atau barangkali semua rakyat Malaysia, antara perkara utama yang mereka rindukan ketika mengembara keluar ialah makanan Malaysia. Status Malaysia sebagai syurga makanan dan lambakan makanan enak yang mudah didapati juga membuatkan kita sukar mengawal masalah peningkatan berat badan. Bahkan Malaysia dilaporkan sebagai negara ‘tergemuk’ di Asia Tenggara.

Masalah berat badan berlebihan di Malaysia

Berdasarkan laporan The Economist Intelligence Unit tahun 2017, Malaysia mendahului negara-negara ASEAN lain dengan peratusan berat badan berlebih sebanyak 38.5 peratus dan peratusan obesiti sebanyak 13.3 peratus.

gemuk, berat badan berlebihan, obesiti, Malaysia

sumber: Penang Institute

Masalah berat badan berlebihan dan obesiti ini bukanlah masalah individu sahaja. Malaysia didapati terpaksa membelanjakan sehingga 10-20% daripada peruntukan kesihatan negara untuk menangani masalah ini. Perbelanjaan ini didapati jauh menjangkaui apa yang dibelanjakan negara-negara ASEAN yang lain.

Jadi, menangani masalah berat badan berlebihan bukan sahaja mengurangkan risiko kesihatan individu, bahkan membantu mengurangkan impak ekonomi kepada negara! 20 tahun lalu, hanya 4% rakyat Malaysia dikategorikan sebagai obes. Kini dengan urbanisasi, peningkatan makanan segera dan pelbagai faktor lain, hampir 14% rakyat Malaysia berada dalam kategori obes, menurut WHO.

Jika anda bergelut dengan masalah berat badan, membaiki diet anda bukan sahaja membantu penampilan dan kesihatan anda, tetapi pemakanan sihat juga dapat meningkatkan mood dan emosi individu. Oleh itu, ketahui makanan yang perlu anda amalkan dan yang perlu anda elakkan.

Makanan berlemak menyebabkan kegemukan?

Disebabkan lipatan lemak pada bahagian badan yang kian bertambah, anda mungkin akan menyalahkan makanan berlemak sebagai punca masalah. Tetapi penjenayah sebenar yang patut anda kenali ialah gula atau sumbernya, karbohidrat yang diproses dan bukannya lemak. Tak percaya? Ikuti penerangan lanjut tentang hal ini.

Lemak dan gula jarang dimakan secara berasingan, jadi sukar untuk menentukan yang mana satu lebih menggemukkan. Sebagai contoh, donat. Apabila adunan penuh karbohidrat segar digorang dalam minyak, anda akan mendapat gabungan gula dan lemak yang menggiurkan.

Tetapi kajian demi kajian kini telah membuktikan bahawa apabila dimakan secara berasingan, lemak tidak menyumbang kepada peningkatan berat badan. Sebaliknya, berpuluh-puluh kajian menunjukkan bahawa gula -komponen karbohidrat- yang paling terkait dengan peningkatan berat badan.

Perbandingan yang terbaik adalah dengan membandingkan orang yang mengamalkan diet rendah lemak dengan mereka yang mengamalkan diet rendah karbohidrat.

Mereka yang mengamalkan diet tanpa lemak bukan sahaja tidak menurunkan berat badan, mereka juga tidak memperoleh manfaat kesihatan lain seperti mengurangkan risiko penyakit tertentu. Sebaliknya, orang yang makan banyak lemak tetapi mengekang pengambilan karbohidrat yang diproses seperti bijirin manis, roti putih, dan nasi putih cenderung mendapat kedua-dua manfaat ini.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet, saintis membandingkan lebih daripada 135,000 orang di 18 buah negara yang mengamalkan diet rendah lemak atau rendah karbohidrat. Mereka yang mengamalkan diet rendah lemak lebih cenderung untuk mati disebabkan sebarang punca serta lebih berisiko mati disebabkan serangan jantung dan penyakit jantung. Sebaliknya, mereka yang mengamalkan diet rendah karbohidrat mempunyai risiko yang jauh lebih rendah.

Masa untuk memilih makanan dengan lebih bijak

Orang yang cuba membuang lemak daripada diet mereka didapati cenderung untuk menukar makanan berlemak dengan makanan penuh gula dan karbohidrat. Sedangkan makanan berlemak seperti avokado, keju, kekacang, minyak sayuran, dan ikan berlemak memberikan pelbagai khasiat kepada individu.

Dalam kajian selama lapan tahun melibatkan hampir 50,000 wanita, saintis meletakkan kira-kira separuh daripada mereka dalam diet rendah lemak. Bukan sahaja mereka tidak kehilangan berat badan dengan ketara, mereka juga tidak mengalami penurunan risiko kanser payudara, kanser kolorektal, atau penyakit jantung – kesan yang biasanya dikaitkan dengan diet yang sihat.

Oleh itu, jangan tertipu dengan produk makanan yang ditulis label rendah lemak. Banyak makanan siap dimakan yang dilabel rendah lemak sebenarnya penuh dengan gula dan karbohidrat. Ambil sahaja sebarang bijirin biasa, bar granola, dan yogurt berperisa lalu semak label nutrien; kesemuanya tinggi gula dan karbohidrat walaupun rendah lemak.

rendah lemak, gula

Diet tinggi dengan karbohidrat atau gula sangat berisiko meningkatkan berat badan. Satu tinjauan 50 kajian mengenai diet dan berat badan yang diterbitkan dalam jurnal Food and Nutrition Research mendapati bahawa, secara purata, lebih banyak karbohidrat dimakan seseorang (seperti dalam bijirin yang diproses dan bar granola), semakin bertambah berat badan mereka sewaktu dalam tempoh kajian.

Jadi, walaupun produk ‘rendah lemak’ selalu diiklankan sebagai produk menurunkan berat badan, realitinya, produk ini boleh menyumbang kepada penambahan berat badan berbanding produk kaya lemak yang rendah karbohidrat yang diproses.

Lemak satu keperluan, gula tidak

Lemak adalah bahan makanan yang penting dalam badan, manakala gula, walaupun terdapat dalam berpuluh-puluh makanan harian – tidak. Walaupun mengurangkan pengambilan gula dan sumber utamanya iaitu karbohidrat yang diproses (roti putih, beras putih, tepung) adalah susah, kajian menunjukkan kaedah ini lebih berkesan berbanding menyingkirkan lemak daripada diet anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 29, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut