Beras juga dikaitkan dengan simbol kesuburan dan untuk tujuan ini, terdapat budaya yang mencampakkan beras kepada pasangan yang baru berkahwin. Di India, beras selalu menjadi makanan pertama yang ditawarkan oleh pengantin perempuan kepada suaminya, untuk memastikan kesuburan dalam perkahwinan, dan anak-anak diberikan beras sebagai makanan padat pertama mereka.
Makanan ruji penduduk dunia
Nasi, gandum, dan jagung adalah tiga jenis makanan utama di dunia. Jika digabungkan, ketiga-tiganya secara langsung membekalkan lebih daripada 42% daripada kesemua kalori yang digunakan oleh seluruh populasi manusia. Pengambilan nasi oleh manusia pada tahun 2009 telah menyumbang sebanyak 78% daripada jumlah pengeluaran untuk beras, berbanding dengan 64% untuk gandum dan 14% untuk jagung. Dari ketiga-tiga tanaman utama ini, beras adalah tanaman makanan yang paling penting bagi penduduk di negara-negara berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana.
Beras adalah makanan ruji untuk lebih daripada separuh populasi dunia – lebih daripada 3.5 bilion orang bergantung kepada beras untuk lebih daripada 20% kalori harian mereka. Asia menyumbang 90% daripada penggunaan beras global, dan jumlah permintaan beras di negara-negara Asia terus meningkat. Tetapi di luar Asia, di mana beras bukanlah makanan ruji, penggunaan per kapita terus berkembang. Beras adalah makanan ruji yang paling pesat berkembang di Afrika, dan juga merupakan salah satu yang terpantas di Amerika Latin. Penggunaan beras global masih kukuh, didorong oleh pertumbuhan penduduk dan ekonomi, terutamanya di kebanyakan negara Asia dan Afrika.
Penggunaan per kapita beras di Asia
Di Asia, penggunaan beras adalah sangat tinggi, melebihi 100 kg per kapita setiap tahun di kebanyakan negara. Bagi kira-kira 520 juta orang di Asia yang kebanyakannya dikategorikan sebagai miskin atau sangat miskin, beras menyediakan lebih daripada 50% daripada bekalan kalori. Ia dianggarkan secara keseluruhan bahawa penggunaan beras per kapita di negara-negara Asia akan bermula atau terus menurun pada masa akan datang seiring dengan kenaikan pendapatan apabila orang-orang telah mempelbagaikan diet mereka. Antara negara Asia berpendapatan tinggi seperti Jepun, Taiwan, dan Korea Selatan, serta di Hong Kong, penurunan ketara dalam penggunaan per kapita beras telah disaksikan dalam empat dekad yang lalu. Corak serupa telah mula muncul di negara-negara berpendapatan sederhana seperti China, Malaysia, dan Thailand dalam dua dekad yang lalu apabila penduduk di negara-negara tersebut telah mula mengambil lebih banyak daging dan sayur-sayuran.
Dalam banyak negara-negara membangun Asia yang lain, termasuk India, Vietnam, dan Indonesia, penggunaan per kapita pada tahun-tahun kebelakangan ini juga mula menurun seiring dengan peningkatan pendapatan, tetapi pada kadar yang agak perlahan. Sebaliknya, banyak negara-negara Asia yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuklah Filipina, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, dan Laos, terus menyaksikan kenaikan penggunaan per kapita beras. Persoalan utama ialah bagaimana corak penggunaan setiap negara akan berubah apabila pendapatan meningkat dan peningkatan pesat dalam urbanisasi mempengaruhi tabiat makanan. Keseluruhannya, walaupun terdapat perubahan dalam trend penggunaan beras Asia per kapita, jumlah permintaan beras di Asia tetap terus meningkat.
Jenis beras
Nasi putih dan nasi perang
Setiap bijian beras terdiri daripada beras yang tertutup dalam kulitnya. Beras terdiri daripada embrio (atau germ) dan endosperm berkanji. Ia juga mempunyai permukaan yang membentuk beberapa lapisan nipis tisu yang berbeza, secara kolektifnya dikenali sebagai lapisan bran, yang membentuk 5% hingga 8% berat bijirin. Proses penggilingan awal yang disebut dehusking atau proses pembuangan sekam (kira-kira 20% daripada berat bijirin), menghasilkan beras dengan lapisan brannya yang masih lengkap. Ini adalah beras ‘perang’ atau beras yang ‘tidak digilap’, yang boleh terus disediakan secara langsung untuk dimakan, atau atau digilap untuk menghapuskan lapisan bran bagi menghasilkan beras putih atau beras yang telah ‘digilap’. Semua jenis beras boleh diproses selepas dituai untuk mendapatkan sama ada beras putih / digilap atau beras perang / tidak digilap.
Beras perang dianggap lebih sihat berbanding daripada nasi putih kerana kandungan vitamin dan mineral, serat yang banyak yang terkandung dalam lapisan bran. Proses gilapan mengeluarkan kira-kira 80% thiamine daripada beras perang. Beras perang mempunyai rasa dan tekstur yang berbeza. Ia lebih nutty dan kenyal berbanding daripada nasi putih. Tetapi, beras perang tidak begitu popular kerana ia memerlukan lebih banyak masa dan bahan bakar untuk dimasak. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan gangguan penghadaman, selain minyak dalam lapisan bran beras perang cenderung menjadikannya tengik semasa dalam tempoh penyimpanan pada suhu sederhana. Rasa nasi putih juga disukai di banyak negara yang menjadikan nasi sebagai menu utama harian.
Beras merah, ungu dan hitam
Kebanyakan jenis beras hitam, ungu dan merah ditanam di negara-negara di seluruh dunia, terutamanya China dan negara-negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Beras hitam dan ungu kebanyakannya adalah jenis beras pulut, manakala beras merah tergolong dalam kumpulan indica. Memandangkan jenis-jenis beras ini masih mempunyai lapisan bran, secara umumnya ia lebih berkhasiat berbanding daripada beras putih. Beras merah diketahui kaya dengan kandungan zat besi dan zink, sedangkan beras hitam dan ungu tinggi dengan kandungan protein, lemak dan serat mentah.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen