backup og meta

Mikroplastik: Kesan Kesihatan Yang Makro

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 23/06/2020

    Mikroplastik: Kesan Kesihatan Yang Makro

    Mikroplastik adalah fragmen kecil plastik yang berukuran 5mm atau kurang. Pada tahun 2014, dianggarkan sekitar 15 hingga 51 trilion cebisan mikroplastik berada di dalam lautan seluruh dunia. Walaupun kecil, kesan mikroplastik terhadap kesihatan adalah besar.

    Memahami mikroplastik

    Terdapat dua kategori mikroplastik iaitu mikroplastik primer dan mikroplastik sekunder.

    Mikroplastik primer adalah apa-apa cebisan kecil plastik yang sudahpun berukuran kurang daripada 5.0 mm sebelum terdedah kepada persekitaran. Contoh mikroplastik dalam kumpulan ini adalah mikrofiber daripada pakaian, mikromanik (daripada skrub mandian) dan juga palet plastik. 

    Mikroplastik sekunder pula adalah plastik yang terhasil daripada proses penguraian plastik yang lebih besar ketika berada dalam persekitaran. Penguraian boleh terjadi akibat perubahan cuaca dan impak bakteria dan organisma dalam persekitaran. Sumber mikroplastik sekunder termasuklah botol air, jaring ikan dan juga beg plastik. 

    Apa yang pasti, kedua-dua jenis plastik ini merupakan pencemaran kepada alam sekitar khususnya dalam lautan. Plastik, kerana sifatnya yang sukar untuk diuraikan, boleh kekal dalam lautan dan alam sekitar untuk tempoh masa yang sangat lama. 

    Kesan mikroplastik terhadap kesihatan manusia

    Mikroplastik boleh masuk ke dalam kitaran makanan binatang marin. Disebabkan manusia juga bergantung kepada binatang marin untuk sumber makanan (seperti ikan, sotong dan udang), timbulnya kerisauan tentang kesan mikroplastik terhadap kesihatan manusia. Berikut merupakan antara kesan kesihatan akibat daripada pendedahan kepada mikroplastik:

    Kesan fizikal

    Terdapat beberapa kajian preliminari yang telah mengenal pasti impak fizikal mikroplastik terhadap kesihatan manusia. Apabila dimakan (secara tidak langsung apabila memakan makanan laut), zarah plastik kecil ini boleh berada dalam sistem penghadaman dan diserap oleh sel-sel epitelial usus. Ia kemudiannya boleh bergerak merentasi sel-sel badan seperti sel M dan sel Dendritik, sebelum masuk ke dalam sistem limfa dan sistem peredaran. Ia juga boleh dipindahkan ke organ badan seperti hati dan pundi hempedu. Apabila tidak dapat diuraikan, ia mampu untuk terkumpul dalam organ badan, mengakibatkan kesan toksik. Selain itu, kewujudannya dalam sel-sel badan boleh mengganggu sistem imun dan kesihatan sel. 

    Apabila berada dalam usus, ia boleh mengakibatkan perubahan dalam persekitaran mikrobiota dalam usus dan mengganggu penyerapan nutrien. Lebih merisaukan lagi, keupayaan nanoplastik dalam badan untuk dipindahkan merentasi struktur badan bermakna ia juga boleh merentasi plasenta. Pada skala yang lebih kecil, ia juga mampu untuk menyebabkan kesan toksik kepada gen. Selain itu, kajian turut mengenal pasti kesan fizikal lain seperti gangguan terhadap metabolit endogen, stres oksidatif dan pencetus keradangan. 

    Kesan kimia

    Selain aspek fizikal, terdapat juga aspek kimia kesan mikroplastik terhadap kesihatan badan. Bahan tambahan kimia dalam plastik boleh menyebabkan bioakumulasi bahan pencemaran organik kekal (POPs) dalam badan manusia. Bahan-bahan ini dicampur bagi tujuan tertentu (untuk memberi warna kepada plastik dan sebagainya). Untuk itu, mikroplastik boleh mengandungi bahan kimia yang mempunyai ciri-ciri seperti perencat api, penghindar air, pengeras struktur plastik (seperti BPA) dan juga pelembut.

    Sesetengah daripada bahan tersebut, apabila terurai dalam badan, boleh menyebabkan gangguan terhadap metabolisma hormon endokrin. Gangguan dalam sistem endokrin boleh menyebabkan pelbagai masalah kerana ia membabitkan kawalan hormon normal seseorang. Bahan perencat api boleh mengganggu proses perkembangan otak kanak-kanak dan janin. Terdapat juga pelekatan bahan kimia lain pada plastik (seperti logam berat) yang boleh mendorong kepada pembentukan kanser dan kecacatan ketika lahir.

    Jelas sekali, mikroplastik adalah satu masalah yang makro. Lebih banyak usaha diperlukan untuk memupuk kesedaran masyarakat, kerajaan, penggubal polisi dan juga pemain industri agar masalah pencemaran ini dapat ditangani bersama. Hanya kerana ia kecil dan tidak mudah untuk dilihat atau dirasai, tidak bermakna ia tiada pengaruh terhadap kesihatan dan persekitaran kita. Jangan biarkan plastik yang dibuang datang semula dalam makanan kita. 

    Baca juga:

    EU Bersetuju Mengharamkan Plastik Pakai Buang Untuk Mengurangkan Pencemaran Laut

    Kenapa Anda Tak Boleh Guna Semula Botol Air Plastik?

    Pembedahan Plastik vs Pembedahan Kosmetik: Adakah Keduanya Berbeza?

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan