backup og meta

Ketahui Manfaat Makan Belalang Terhadap Kesihatan Kita!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 10/09/2021

    Ketahui Manfaat Makan Belalang Terhadap Kesihatan Kita!

    Tahukah anda bahawa belalang sebenarnya boleh dimakan? Buat anda yang belum tahu, ia sangat popular untuk dijadikan sebagai bahan makanan oleh masyarakat di seantero dunia! Jangan terkejut kerana masyarakat kita juga tidak terkecuali daripada memakan serangga ini. Pun begitu, mungkin anda akan tertanya-tanya manfaat makan belalang, bukan? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

    Makan serangga, satu perbuatan yang pelik?

    Perbuatan makan serangga ini dinamakan sebagai entomophagy secara teknikalnya. Hakikatnya, perbuatan ini telah berlaku sejak beribu tahun lamanya lagi. Anda juga tidak perlu terkejut kerana ia juga masih diamalkan di beberapa negara tropikal yang memang merupakan habitat kepada serangga.

    Pasti ada individu yang tidak atau belum pernah makan apa-apa jenis serangga dan beranggapan bahawa ia adalah satu perbuatan yang pelik. Namun, anda mungkin perlu mengubah pendirian anda segera. Sebenarnya, makan serangga (bergantung kepada jenisnya) dikatakan sebagai satu perbuatan yang sihat!

    Menurut kajian yang dijalankan oleh National Autonomous University of Mexico, sebanyak 1,700 spesies serangga dimakan di 113 negara di seluruh dunia, kebiasaannya sebagai pengganti kepada daging. Kajian tersebut turut menyatakan bahawa kebanyakan serangga adalah kaya dengan protein dan mineral serta rendah kolesterol.

    Di Mexico, belalang goreng sangat popular dan dijual di mana-mana sahaja seperti di pasar malam atau pasar raya. Ia juga boleh ditemui di Filipina yang menjadikannya sebagai salah satu daripada “snek” kegemaran mereka, selain cengkerik dan belalang juta. Manakala di Jepun, mendiang Maharaja Hirohito sangat gemar memakan nasi berlaukkan lebah atau tebuan.

    Di Colombia, semut dan anai-anai dijadikan bahan sapuan pada roti. Ini sangat pelik kerana mitos mengatakan individu yang makan semut akan cepat lupa. Mungkin mereka juga telah lupa mitos ini, bukan? Manakala di Papua New Guinea, pelbagai lagi serangga seperti rama-rama, sibur-sibur dan kumbang dimakan dengan cara merebus atau memanggangnya.

    Di negara kita pula, turut wujud kelompok masyarakat yang gemar makan serangga terutamanya belalang. Pun begitu, keraguan mengenai status halal atau haram memakan serangga mungkin menjadi faktor mengapa ia kurang popular di sini. Selain itu, kita sudah mempunyai pelbagai makanan sihat yang lain selain serangga.

    Adakah makan serangga itu bagus?

    Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2013 oleh Food and Agriculture Organization (FAO) dari United Nations (UN), sekurang-kurangnya 2 bilion individu di seantero dunia makan serangga sebagai diet yang tradisional. Persoalannya, adakah makan serangga ini adalah satu perbuatan yang bagus?

    Hakikatnya, makan serangga mungkin akan mendatangkan manfaat terhadap kesihatan kita. Selain daripada aspek kesihatan yang akan diterangkan selanjutnya dalam artikel ini, sebenarnya terdapat satu aspek yang membuktikan bahawa makan serangga itu adalah perbuatan yang bagus iaitu untuk populasi individu di dunia ini.

    Sumber alternatif makanan tambahan

    Menurut The World Bank, populasi global kini dijangka akan meningkat sehingga 9 bilion menjelang tahun 2050. Populasi penduduk dunia sekarang pula adalah lebih kurang separuh daripada jumlah tersebut! Ini bermakna kita perlu menghasilkan 50 peratus lebih makanan dalam usaha untuk menyediakan sumber makanan buat generasi akan datang kelak.

    Jadi, ini akan memerlukan pertambahan jenis makanan yang boleh dimakan untuk menampung keperluan mereka. Serangga seperti belalang dan lain-lain yang memang sangat banyak dan mudah ditemui ini mungkin akan menjadi calon utama makanan tambahan yang sangat sesuai. Mungkin pada masa hadapan, serangga akan menjadi sumber makanan utama, siapa tahu?

    Lebih baik untuk alam sekitar

    Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa sektor pertanian dan ternakan adalah punca utama pengeluaran dan pembebasan gas rumah hijau. Mungkin ramai juga yang belum tahu bahawa serangga seperti belalang dan sebagainya ini hanya menyumbang kepada pengeluaran atau pembebasan gas rumah hijau yang jauh lebih sedikit daripada yang lain.

    Disebabkan itu, serangga ini sepatutnya menjadi pilihan sumber makanan buat individu. Pun begitu, mungkin ada yang tidak mahu memakannya kerana rupanya yang agak mengerikan dan menggelikan, terutama sekali buat individu yang fobia akan serangga.

     

    Sumber kewangan

    Buat usahawan yang berfikir di luar kotak dan bersifat kreatif serta inovatif, serangga ini sebenarnya boleh dijadikan sumber pendapatan utama. Bayangkan, di seantero dunia ini sahaja sudah berjuta-juta individu yang menjadikan serangga ini sebagai sumber makanan, seperti di benua Afrika.

    Jadi, mungkin buat anda yang mahu mengambil peluang, anda boleh gunakan ruang ini untuk menjana pendapatan dengan membuka perniagaan baru. Selain Afrika, benua lain seperti benua Asia juga merupakan lokasi yang strategik untuk memasarkannya kerana di sini juga individu turut menjadikan serangga ini sebagai bahan makanan.

    Mungkin anda boleh membiakkannya dengan banyak serta eksport ia ke negara-negara yang sangat popular dengan serangga ini untuk dijadikan sumber makanan.

     

    Anda mungkin pernah makan serangga tanpa anda sedari

    Jika anda merupakan salah seorang daripada individu yang tidak boleh menerima serangga sebagai satu bentuk makanan, fikirkan semula. Ini kerana, anda sendiri mungkin sebenarnya pernah makan serangga tanpa anda sedari.

    Menurut The Defect Levels Handbook from the U.S. Food dan Drug Administration (FDA), tiada apa yang salah mengenai pengambilan serangga sebagai sumber makanan kita. Mereka juga menyatakan bahawa makanan kini seperti coklat atau mentega kacang sebenarnya mungkin ada “serpihan serangga” di dalamnya ekoran asal usul atau bahan makanan itu sendiri.

    Kajian juga menunjukkan pengambilan serangga sebagai makanan tidak akan memberi kesan sampingan yang buruk terhadap kesihatan kita. Pun begitu, harus diingatkan adalah serangga perlu dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan untuk memusnahkan sebarang patogen yang mungkin wujud di dalam badannya.

    Namun begitu, adakah ia halal untuk dimakan oleh individu yang beragama Islam? Teruskan ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

    belalang

    Belalang sebagai bahan makanan

    Serangga mempunyai pelbagai jenis yang kadang kala kita sendiri pun belum tentu sedar akan kewujudannya. Namun begitu, jenis apa yang selalu dijadikan sebagai makanan. Mungkin yang paling popular di dunia dan di negara kita adalah belalang. Mungkin bagi yang pernah memakannya, ia adalah kenyataan yang sangat pelik, bukan?

    Hakikatnya, ia memang agak popular di negara kita terutamanya di kawasan pantai timur. Sebagai contoh, serangga ini sangat diminati untuk dijadikan juadah pembuka selera. Di Pasir Putih, Kelantan, misalnya ia boleh ditemui di mana-mana terutamanya di kawasan pasar-pasar. Di sana, mereka selalu memakannya bersama dengan nasi untuk dijadikan sebagai lauk.

    Apakah khasiat memakan belalang?

    Serangga ini dikatakan mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi. Protein yang wujud di dalamnya juga sebenarnya adalah lebih berzat berbanding protein yang terdapat di dalam makanan laut seperti udang atau ikan. Bukan itu sahaja, rasanya juga dikatakan sangat sedap, walaupun ia sangat subjektif dan bergantung kepada individu itu sendiri juga. Hanya dengan menggoreng atau memanggangnya begitu sahaja, rasanya sudah cukup enak dan tidak perlu ditambah dengan apa-apa perencah atau perasa.

    Meskipun kenyataan ini mungkin agak aneh, namun Biology Institute of the National Autonomous University of Mexico (UNAM) mengatakan bahawa pengambilan serangga ini sebagai sumber makanan sebenarnya jauh lebih sihat berbanding daging atau ayam kerana kandungan nutrisinya yang sangat bagus untuk kesihatan. 

    Selain sangat kaya dengan protein, serangga ini sebenarnya mempunyai vitamin A, B dan C. Untuk pengetahuan anda, kandungan proteinnya adalah sangat jauh lebih tinggi berbanding ikan atau produk tenusu seperti susu, keju, yogurt dan lain-lain. Dalam pada itu lagi, serangga ini turut membekalkan kandungan magnesium, kalsium, zink dan serat untuk tubuh badan kita.

    Dari segi teksturnya pula, ia adalah keras seperti cengkerang di luar dan lembut seperti daging di dalam. Maka tidak hairanlah mengapa serangga ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Bagi anda yang belum tahu, sebenarnya terdapat beberapa manfaat makan serangga ini terhadap kesihatan kita. Berikut merupakan antaranya:

    #1. Membantu menguatkan sistem imunisasi

    Makan serangga ini dikatakan mampu membantu menghalang kesan radikal bebas terhadap tubuh badan kita. Jadi, memakannya sudah pasti akan menguatkan lagi sistem imunisasi tubuh badan kita. Dengan ini, ia akan membantu tubuh badan kita menghalang pelbagai jenis penyakit, antaranya kanser. Pun begitu, kajian lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkannya.

    #2. Membantu menguatkan ketumpatan tulang dan gigi

    Kulit serangga ini mengandungi kalsium yang sangat tinggi. Kalsium ini sangat membantu mengekalkan ketumpatan tulang dan gigi serta sangat bagus untuk mengurangkan sakit belakang terutamanya buat ibu yang sedang hamil. Bukan itu sahaja, memakannya juga sangat disarankan buat individu yang sedang dalam tempoh pemulihan akibat patah tulang. Jika diambil secara kerap, ia mungkin dapat menjadi penawar semula jadi kepada sakit tulang dan menghalang pembentukan osteoporosis.

    #3. Membantu merawat buasir

    Buasir adalah satu kondisi yang berlaku terhadap anus. Ia akan mengakibatkan ketidakselesaan ketika sedang duduk akan apa-apa perbuatan yang menyebabkan tekanan terhadapnya. Lebih teruk lagi, ia akan menyebabkan kesakitan pada perut dan kawasan sekitar punggung ketika sedang membuang air besar serta boleh mengakibatkan pendarahan. Dikatakan dengan makan serangga ini, masalah ini dapat dirawat secara alami. Pun begitu, ia hanya sekadar petua dan tiada lagi bukti saintifik yang dapat mengesahkannya.

    #4. Membantu merawat anemia

    Anemia adalah satu kondisi di mana sel darah merah sangat kurang di dalam tubuh badan. Jadi, apa pun rawatannya pasti akan berkaitan dengan pengambilan makanan atau suplemen untuk menambahkannya. Dikatakan pengambilan serangga ini sebagai makanan mampu merangsang tubuh badan untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah. Ini sekali gus mampu membantu merawat masalah anemia. 

    #5. Membantu memulihkan sel yang telah rosak

    Kandungan protein dan vitamin yang wujud di dalam serangga ini dikatakan sangat berguna untuk membantu memulihkan sel yang telah rosak. Selain itu, memakannya juga boleh membantu menjana dan menguatkan otot pada tubuh badan kita.

    #6. Membantu melambatkan proses penuaan

    Pengambilan serangga ini sebagai sumber makanan dikatakan mampu melambatkan proses penuaan kerana ia akan membantu mengekalkan kulit dan menjadikannya kekal elastik. Bukan itu sahaja, serangga pemakan daun seperti belalang dan sebagainya ini juga mampu membantu menghalang kedutan pada wajah.

    #7. Membantu merangsang otak

    Seperti kismis minda yang selalu anda makan ketika kecil, serangga ini juga mungkin mampu memberikan kesan yang sama. Dikatakan pengambilan makanan ini mampu meningkatkan konsentrasi, kepintaran serta memori individu. Namun begitu, penelitian yang lebih lanjut perlu dilakukan untuk menentukan kebenaran kenyataan ini.

    #8. Membantu menurunkan kadar kolesterol

    Serangga ini memang diketahui mempunyai kandungan protein yang sangat tinggi. Namun, anda juga harus tahu bahawa ia adalah sangat rendah kolesterol. Seperti mana yang ramai sudah sedia maklum, kolesterol yang tinggi dalam darah anda mungkin akan terkumpul pada dinding saluran darah lalu boleh menyebabkan masalah seperti strok atau serangan jantung. Jadi, buat anda yang ingin mencari sumber makanan yang terbukti dapat membantu menurunkan kadar kolesterol anda, serangga ini mungkin merupakan pilihan yang tepat!

    #9. Membantu merawat sengatan atau gigitan haiwan berbisa

    Anda harus tahu bahawa serangga ini mampu membantu proses penyembuhan luka akibat sengatan atau gigitan haiwan berbisa lain seperti labah-labah, kala jengking atau lipan. Serangga ini mungkin mampu meneutralkan kembali racun yang wujud di dalam tubuh badan kita akibat serangan haiwan lain sekali gus mencegah daripada pelbagai lagi kemudaratan yang lebih serius. 

    #10. Membantu proses perkembangan janin

    Serangga ini adalah sangat tinggi kandungan protein, menjadikannya sangat bagus untuk perkembangan otak janin. Bukan itu sahaja, dagingnya juga turut mengandungi vitamin B12 yang ternyata sangat bagus untuk keperluan dan perkembangan janin.

    Berdasarkan manfaat-manfaat yang telah dinyatakan ini, ternyatalah bahawa serangga ini mungkin sangat bagus untuk kesihatan kita. Namun begitu, kajian yang lebih lanjut dan mendalam mengenainya perlu dijalankan untuk lebih membuktikan kesahihannya. Selain itu, berbalik kepada persoalan lain artikel ini, iaitu adalah belalang halal dimakan? 

    Adakah belalang halal atau haram untuk dimakan?

    Jika diteliti manfaat-manfaat yang telah dinyatakan, mungkin makin ramai yang akan mahu mula makan serangga ini. Pun begitu, jika anda seorang individu yang beragama Islam, anda harus patuh kepada segala perkara di dalam agama terutamanya yang melibatkan perkara yang halal dan perkara yang haram.

    Persoalannya, adakah serangga halal atau haram untuk dimakan?

    Jawapannya, adalah agak samar-samar. Ini kerana serangga memang tidak termasuk dalam sumber makanan utama. Namun selepas beberapa penelitian dilakukan, kebanyakan serangga mengandungi kandungan nutrisi seperti protein yang sangat tinggi dan tidak akan mendatangkan apa-apa kesan sampingan jika memakannya. 

    Ramai para ahli ulama yang berdebat mengenai perkara ini. Ada yang mengatakan boleh dan ada juga yang mengatakan tidak boleh memakannya dengan alasan mengatakan bahawa serangga termasuk dalam kategori haiwan yang kotor dan Islam memang melarang kita daripada mendekati sesuatu yang kotor. 

    Pun begitu, ada serangga yang telah dipastikan ia adalah halal yakni, belalang. Ini kerana serangga ini adalah tergolong dalam kategori serangga pemakan daun dan ia dibolehkan untuk dimakan. Selain itu, serangga lain seperti kumbang, semut atau serangga lain yang dijumpai di atas tanah boleh dimakan. 

    Paling mengejutkan, ada ahli ulama yang membenarkan kita untuk makan kala jengking, untuk tujuan perubatan. Namun begitu, ini semua terpulang kepada anda. Jika anda yakin dengannya, makan tidak salah untuk mengambilnya. Sebaliknya pula jika anda ragu-ragu, dapatkan pandangan individu yang lebih pakar terlebih dahulu.

    Konklusi

    Konklusinya, belalang adalah halal untuk dimakan oleh individu yang beragama Islam. Selain itu, ia juga sebenarnya mungkin amat bermanfaat terhadap kesihatan kita ekoran kandungan nutrisinya yang agak tinggi. Pun begitu, pelbagai lagi kajian lanjutan mengenainya perlu dilakukan unntuk mengetahui kesahihannya..

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 10/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan