Lagi Kesan Buruk Makan Makanan Segera- TINGKATKAN Risiko Penyakit Kronik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ia bukan satu maklumat baharu. Pada pengamatan penulis, pembaca sudah sedia maklum bahawa makanan segera yang dijual di restoran tidak mempunyai jumlah nutrisi yang mencukupi bagi seorang individu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan penduduk di Asia Tenggara, khususnya Malaysia, menggemari makanan segera kerana ia mudah didapati di mana-mana. Kesannya, Malaysia masih lagi menduduki tangga teratas dalam carta negara tergemuk di Asia

Kandungan gula yang tinggi pada makanan segera

restoran

Walaupun lemak sering ditakuti oleh populasi umum, ia bukanlah satu-satunya nutrisi yang menyebabkan peningkatan pada kes obesiti di Malaysia. Gula, adalah musuh nombor satu dunia.

Pengambilan gula yang tinggi boleh menyebabkan jumlah lemak di dalam badan meningkat kesan daripada pengumpulan kalori berlebihan. Makanan segera mempunyai kandungan gula yang tinggi. Seringkali kita tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal jumlah tersebut memandangkan ia disediakan oleh tukang masak.

Pada suatu ketika dahulu, makan luar merupakan satu ganjaran buat individu selepas berjaya mencapai sesuatu. Sebagai contoh, jika anda lulus peperiksaan dengan cemerlang, ibu bapa pasti membawa anda makan luar, seperti di restoran KFC atau McDonald’s. 

Kini, jumlah restoran makanan segera meningkat. Di Amerika Syarikat, 20% kalori yang diambil oleh setiap individu datangnya daripada restoran yang menjual makanan segera. Ini merupakan berita buruk buat individu memandangkan pengambilannya dengan jumlah gula, garam dan lemak yang tinggi meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit kronik.

McDonald’s, restoran makanan segera yang menyediakan makanan bergaram tinggi

restoran

Berapa keperluan garam bagi seorang manusia? Apabila kita menggunakan perkataan garam, ia merujuk kepada natrium. 

Natrium adalah nutrisi mikro yang sangat penting kerana ia mengawal atur proses fisiologi badan. Walau bagaimanapun, pengambilannya secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan natrium harian tidak boleh melebihi 2,000 mg sehari. Tahukah anda kebanyakan makanan segera yang disediakan oleh restoran McDonald’s mempunyai kandungan natrium lebih daripada 2,500 mg?

Ia juga mengandungi jumlah gula dan garam yang sangat tinggi. Keperluan harian lemak bagi setiap individu adalah 60g. Namun di McDonald’s, tiada makanan yang mempunyai kandungan lemak kurang daripada 200g.

Begitu juga dengan gula. WHO menyarankan pengurangan gula kepada 25g sehari. Namun, di McDonald’s, kebanyakan makanan mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Sebagai contoh, Vanilla Triple Thick Shake mengandungi jumlah gula setinggi 60g.

Pengambilan makanan yang mengandungi gula yang tinggi boleh meningkatkan tahap kolesterol di dalam badan.

Kalau macam itu, kita makan KFC lah

makanan segera

Lebih kurang sama juga. Kebanyakan makanan yang dijual di restoran seperti KFC mengandungi jumlah gula, garam dan lemak yang tinggi.

Penggunaan semula minyak masak bagi menggoreng ayam sudah biasa berlaku di mana-mana cawangan restoran KFC. Akibatnya, makanan di restoran tersebut mempunyai kandungan sodium bicarbonate, monosodium glutamate dan pelbagai komponen tidak sihat yang tinggi.

Pernah juga KFC membuat kolaborasi dengan syarikat Beyond Meat yang menampilkan produk makanan segera ayam goreng yang bukan ayam. Mungkin anda keliru, apa yang ayam tapi bukan ayam. Ia seperti ayam yang dimakan oleh golongan pemakan sayur (vegetarian) iaitu produk seakan daging yang diperbuat daripada tumbuhan.

Kebanyakan pelanggan tidak perasan pun perbezaan rasa di antara kedua-dua produk tersebut, namun adakah ia merupakan alternatif yang lebih sihat? Menurut pakar pemakanan dari Universiti Purdue, makanan sebegitu tidak dianggap sebagai hidangan yang dapat memberikan sumber protein lengkap.

Lebih teruk lagi adalah, makanan tersebut tetap digoreng dan gabungannya dengan air berkarbonat dan makanan segera lain menjadikannya hidangan yang tidak sihat untuk diambil.

Elak makan luar, masak di rumah

makanan segera

Alternatif yang lebih sihat adalah untuk anda memasak sendiri makanan di rumah. Menurut Julia A. Wolfson, seorang felo di Universiti Johns Hopkins, mereka yang masak sendiri kebiasaannya makan makanan yang mengandungi jumlah gula, garam dan lemak yang rendah.

Mereka cenderung untuk mengambil lebih banyak serat, kalsium dan zat besi berbanding dengan individu yang suka makan luar. Perkara yang membimbangkan pada masa kini adalah kebanyakan individu lebih cenderung untuk mengambil makanan segera.

Oleh sebab itulah risiko penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung, strok dan kanser gastrousus terhadap populasi umum meningkat. Jadi, bagaimanakah caranya untuk anda menurunkan risiko tersebut? Masak di rumah dan kawal penggunaan gula dan garam dalam masakan.

Ia bukan sahaja dapat menjamin kualiti makanan yang tinggi dan tahap kesihatan optimum, malah mereka yang suka makan masakan sendiri juga boleh berjimat. Di Malaysia, walaupun kos sara hidup dan jumlah penduduk miskin bandar meningkat, namun makanan segera masih mendapat tempat dalam hati mereka.

Siapa ada masa nak masak sendiri, kan? Lebih baik keluar dan beli makanan segera. Perkara ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius pada masa akan datang. 

Konklusi

Pengambilan makanan segera secara tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan pada tren penyakit kronik di Malaysia. Tiada salahnya jika anda ingin makan luar sekali-sekala namun jika kerap dilakukan, ia berbahaya untuk kesihatan anda.

Cuba masak sendiri dan kawal penggunaan gula dan garam dalam masakan anda. Aspek pemakanan perlu diambil berat memandangkan ia merupakan faktor penting dalam mencapai kelanjutan usia.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 5, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Mac 4, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut