backup og meta

Makanan Ringan: Naluri ‘Rebel’ Kurangkan Pengambilannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    Makanan Ringan: Naluri ‘Rebel’ Kurangkan Pengambilannya

    Makanan ringan adalah makanan yang sangat digemari oleh kebanyakan individu terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Rasanya yang ternyata sangat sedap mungkin merupakan punca utama golongan ini menggemarinya. Beri sahaja makanan ringan secara percuma kepada mereka, siapa sahaja yang mampu menolaknya?

    Pun begitu, anda sewajarnya tahu bahawa ia sebenarnya bukan makanan yang sihat. Malahan itu juga, ia berisiko tinggi untuk mengakibatkan salah satu daripada masalah kesihatan utama yang berlaku di negara kita iaitu obesiti, diabetes dan pelbagai lagi komplikasi kesihatan yang lain. Ingin tahu mengenai makanan ringan dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini. 

    Makanan ringan & kesan pengambilannya

    Seperti yang diketahui ramai, terdapat banyak kesan pengambilan makanan ringan terhadap kesihatan individu. Namun begitu, masih ramai yang mengambilnya tanpa mempedulikan kesan pengambilannya. Atau mungkin juga, mereka tidak tahu-menahu akan akibatnya. Disebabkan itu, pasti akan timbul tanda tanya buat kita iaitu apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan makanan ringan?

    makanan ringan

    Apa itu makanan ringan?

    Ia adalah satu istilah yang merangkumi segala aspek; menambah kalori, lemak dan gula dalam tubuh badan kita. Ia juga meliputi setiap jenis makanan dan minuman yang tidak sihat seperti soda dan air berkarbonat serta makanan segera dan makanan manis seperti donut, ais krim serta pelbagai lagi jenis makanan dan minuman yang lain.

    Kebiasaannya, apabila kita berhadapan dengan makanan ringan atau turut dipanggil sebagai snek, kita menjadi tidak berdaya untuk menolaknya terutama yang menjadi kegemaran kita. Tabiat menggemari makanan tidak sihat ini adalah tidak baik untuk tubuh badan kita, terutama kepada organ dalaman seperti hati dan buah pinggang kita.

    Adalah satu perkara normal bagi kita apabila tiba-tiba mempunyai keinginan untuk mendapatkan makanan manis (mungkin gula atau kafein). Anda tidak keseorangan, kerana keinginan seperti ini turut dihadapi oleh ramai lagi individu lain. Ketagihan ini, sama ada keinginan makanan manis, masin atau berlemak yang anda hadapi ini adalah sama seperti otak anda akan bertindak balas terhadap ketagihan pengambilan dadah.

    Pun begitu, anda perlu tahu bahawa pengambilannya yang terlalu banyak sudah pasti akan mendatangkan kesan yang negatif terhadap tahap kesihatan fizikal dan mental anda selain daripada berisiko mengakibatkan pelbagai penyakit yang lain.

     Mengapa makanan ringan tidak elok dimakan oleh kanak-kanak dan remaja?

     

    Makanan ringan sangat menarik minat kanak-kanak atas pelbagai sebab terutamanya rasa, harga dan mudah untuk didapati. Namun begitu, mereka mungkin tidak tahu akan kesan sampingannya. Makanan yang mempunyai kandungan gula tinggi memang dikenali akan mendorong kelakuan negatif kanak-kanak. Begitu juga dengan makanan ringan yang mempunyai pewarna dan perasa artifisial yang boleh menjejaskan kelakuan anak anda.

    junk food

    Kesan pengambilan makanan ringan yang terlalu banyak

    Semakin banyak makanan ringan yang anda makan, semakin kecil kemungkinan anda menggunakan nutrien penting yang bergantung pada tubuh badan anda. Selain itu, anda perlu tahu bahawa ia mampu mendatangkan kesan terhadap tubuh badan kita secara menyeluruh iaitu termasuklah aspek fizikal dan mental. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa ia turut menyebabkan kanak-kanak atau remaja berkelakuan buruk. 

    Terlalu penat, bosan atau marah akan mengakibatkan kanak-kanak berkelakuan buruk. Namun begitu, pemakanan kanak-kanak juga boleh menjadi punca kepada kelakuan buruk mereka. Makanan ringan adalah salah satu daripadanya. Oleh itu, ibu bapa perlu mengehadkan makanan ringan dalam diet anak anda sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kelakuan buruk anak anda.

    Berikut merupakan antara kesan-kesan makanan ringan terhadap mereka:

    #1. Menyebabkan pelbagai jenis penyakit

    Seperti yang diketahui umum, makanan ringan adalah musuh utama kesihatan tubuh badan. Ini kerana ia berisiko tinggi menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti obesiti, diabetes, masalah paru-paru dan sakit jantung. Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit-penyakit ini menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi setiap tahun. Faktor yang menyebabkannya termasuklah penggunaan tembakau, alkohol serta pemakanan yang tidak sihat atau lebih tepat lagi, makanan ringan.

    #2. Merosakkan kesihatan oral

    Sekiranya ia diambil dengan sangat kerap, snek yang mempunyai kandungan gula tinggi boleh menyebabkan karies pada gigi. Ini berlaku disebabkan oleh plak yang terdapat dalam mulut akan menukarkan gula dan kanji daripada makanan, kepada asid. Ia kemudiannya akan mengakibatkan penghasilan karies pada gigi.

    Selain itu, minuman ringan juga adalah penyumbang kepada pertambahan gula dalam pemakanan. Ini juga akan menambahkan punca berlakunya karies. Selain gula, kebanyakan minuman ringan ini juga mengandungi asid fosforik dan asid sitrik sebagai bahan penambah perisa. Asid-asid ini pula akan menyebabkan gigi terhakis.

    #3. Mengurangkan keupayaan mengawal selera makan

     

    Pengambilan lemak trans yang terdapat dalam makanan digoreng dan diproses boleh menghantar isyarat campuran ke otak yang menjadikannya sukar memproses apa yang anda telah makan dan kelaparan. Ini seterusnya mungkin menyebabkan anda makan terlalu atau terlebih banyak daripada yang sepatutnya. 

    Selain itu, fungsi otak yang sihat memerlukan dos harian asid lemak penting seperti omega-6 dan omega-3. Kekurangan dua unsur ini akan meningkatkan risiko gangguan tumpuan, demensia, bipolar dan masalah lain yang berkait dengan otak. Satu kajian pada 2011 menunjukkan bahawa lemak trans boleh menyebabkan keradangan di hipotalamus, bahagian otak yang mengandungi neuron untuk mengawal berat badan.

    #4. Menyebabkan perasaan kurang sabar dan mudah marah

     

    Perasaan kurang sabar dan mudah marah yang anda alami mungkin disebabkan oleh ketidakmampuan untuk mengawal keinginan atau nafsu makan. Makan makanan yang manis boleh meningkatkan kadar gula dalam darah buat sementara waktu sehingga anda berasa gembira dan puas tetapi sebaik sahaja ia kembali normal, anda akan berasa lebih mudah marah dan kurang sabar.

    #5. Menyebabkan kemurungan

     

    Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa makan makanan yang tinggi gula dan lemak sebenarnya mengubah aktiviti kimia otak menjadikannya lebih bergantung pada makanan tersebut. Satu kajian yang dijalankan di Universiti Montreal, Kanada terhadap tikus menunjukkan bahawa ia mengalami simptom penarikan selepas diet makanan ringan biasa dihentikan.

     

    Bagi manusia, simptom penarikan ini boleh menyebabkan ketidakupayaan menangani tekanan, membuat anda berasa tertekan dan akhirnya akan kembali kepada makanan tersebut untuk menghiburkan diri dan mengendalikan perasaan itu. Ketidakseimbangan asid lemak juga adalah satu sebab orang yang mengambil lebih banyak makanan ringan mempunyai risiko kemurungan yang lebih tinggi.

    #6. Menjejaskan masalah ingatan dan pembelajaran

    Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada 2011, didapati bahawa individu sihat yang makan makanan ringan selama 5 hari ujian kognitifnya kurang baik yang mana mengukur perhatian, kelajuan dan mood. Ini mungkin berpunca daripada pemakanan toksik yang boleh menyebabkan tindak balas kimia tertentu yang menyebabkan keradangan di kawasan hipokampus otak yang berkaitan dengan ingatan dan pengiktirafan khusus.

    Diet yang tinggi kandungan gula dan lemak boleh menindih aktiviti peptida otak yang dikenali sebagai BDNF (faktor neurotropik yang berasal dari otak) yang membantu pembentukan pembelajaran dan memori. Selain itu, otak mengandungi sinapsi yang bertanggungjawab untuk pembelajaran dan memori. Makan terlalu banyak kalori boleh mengganggu pengeluaran yang sihat dan berfungsi dengan sinapsinya.

    #7. Risiko demensia

    Ini telah menjadi salah satu penemuan paling menakutkan yang berkaitan dengan pengambilan makanan ringan. Sepertimana yang kebanyakan dari kita tahu bahawa insulin dihasilkan pada organ pankreas dan membantu dalam pengangkutan glukosa. Insulin juga dihasilkan di otak yang mana ia akan membantu dalam membawa isyarat antara sel-sel saraf dan membentuk kenangan. 

    Satu kajian yang dijalankan di Universiti Brown menunjukkan bahawa terlalu atau terlebih banyak makanan berlemak dan gula-gula boleh meningkatkan tahap insulin dalam tubuh kita. Sama seperti kes diabetes jenis 2, dengan tahap insulin yang lebih tinggi, otak berhenti bertindak balas terhadap hormon ini dan menjadi tahan terhadapnya. Ini dapat mengehadkan keupayaan untuk berfikir, mengingat atau mencipta kenangan, sehingga meningkatkan risiko demensia.

    Kesan-kesan berikut menunjukkan bahawa makanan ringan akan menyebabkan pelbagai kesan buruk bukan sahaja kepada fizikal, malahan juga mental. Bahkan, seperti yang dapat kita lihat kesan kepada mental inilah yang sebenarnya lebih berbahaya buat individu yang gemar makan makanan tidak sihat ini terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja.

    Naluri ‘rebel’ kurangkan pengambilan makanan ringan

    Jadi, apa yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan pengambilan makanan yang tidak sihat ini adalah dengan menggunakan naluri ‘rebel’ bagi kanak-kanak dan remaja. Persoalannya, apakah itu naluri ‘rebel’?

    Dalam usaha melawan obesiti, para penyelidik kesihatan awam telah berusaha selama beberapa dekad untuk mencari cara bagi meyakinkan kanak-kanak dan remaja untuk mengelakkan makanan ringan dan makan secara sihat. Salah satu halangan terbesar tersebut ialah jumlah pemasaran makanan yang didedahkan kepada kanak-kanak dan remaja setiap hari. Pemasaran tersebut direka untuk memupuk perkaitan positif yang kuat dengan makanan ringan di minda kanak-kanak dan menggalakkan mereka untuk makan secara berlebihan, dan penyelidikan telah menunjukkan bahawa teknik pemasaran tersebut sememangnya berfungsi.

    Satu penyelidikan baharu dari University of Chicago Booth School of Business mendapati bahawa intervensi yang mudah dan ringkas dapat memberikan perlindungan yang bertahan lama untuk kanak-kanak dan remaja terhadap kesan berbahaya pemasaran makanan ini.

    Kajian yang bertajuk ‘A Values-Alignment Intervention Protects Adolescents from the Effects of Food Marketing’ yang diterbitkan pada 15 April 2019 melalui jurnal Nature Human Behaviour, pasukan penyelidik mendapati bahawa reframing semula bagaimana pelajar melihat kempen pemasaran makanan boleh merangsang kanak-kanak dan remaja, terutamanya lelaki, untuk membuat pilihan makanan harian yang lebih sihat untuk jangka masa yang panjang. Kaedah ini berfungsi dengan sebahagiannya memanfaatkan keinginan semula jadi kanak-kanak dan remaja untuk memberontak terhadap pihak yang berkaitan atau yang berkuasa.

    Menurut Bryan, salah seorang penyelidik dari Booth School of Business, pemasaran makanan sengaja direka untuk mewujudkan perkaitan emosi positif dengan makanan ringan, untuk menghubungkannya dengan perasaan bahagia dan menyenangkan.

    Intervensi pendedahan pemasaran makanan ringan

    Antara dua penemuan terbesar dalam eksperimen ini adalah: intervensi telah menghasilkan perubahan yang kekal dalam kedua-dua kanak-kanak lelaki dan perempuan iaitu bagi gerak hati mereka dan tindak balas emosi kepada mesej pemasaran makanan ringan, dan bagi golongan lelaki, iaitu kumpulan yang sukar untuk diyakinkan bagi meninggalkan makanan ringan, sudah mula membuat pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat di kafeteria sekolah mereka.

    Menurut Bryan lagi, salah satu perkara yang paling menarik ialah mereka mendapat reaksi gerak hati segera yang lebih negatif terhadap makanan ringan dan pemasaran makanan ringan, dan reaksi gerak hati segera yang lebih positif kepada makanan yang sihat.

    Dalam penyelidikan baharu ini, kumpulan remaja bermula dengan membaca bahan pemasaran dan kemudian melakukan aktiviti yang disebut “Make It True”, yang dimaksudkan untuk mengukuhkan gambaran negatif pemasaran makanan. Para pelajar menerima imej iklan makanan di iPad dengan arahan untuk menulis atau melukis di atas iklan tersebut dengan menggunakan gaya grafiti untuk mengubah iklan daripada maklumat yang salah kepada maklumat yang benar.

    Penyelidikan yang menggunakan sampel baharu pelajar di Tahap 8, mendapati bahawa kesan daripada intervensi pendedahan pemasaran tersebut telah bertahan dalam tempoh baki persekolahan mereka iaitu tiga bulan penuh. Kesannya sangat mengagumkan dalam kalangan lelaki, yang telah mengurangkan pembelian minuman dan makanan ringan yang tidak sihat setiap hari di kafeteria sekolah sebanyak 31 peratus dalam tempoh masa tersebut, berbanding dengan kumpulan kawalan.

    Dengan menggunakan dorongan semula jadi remaja yang cenderung untuk menentang dan melawan dan rasa keadilan mereka yang semakin meningkat akhirnya dapat memberikan jalan bagi komuniti kesihatan awam untuk bersaing dengan pemasar makanan ringan. Intervensi yang berskala ringkas, murah, dan mudah ini kelihatan memberikan perlindungan yang bertahan lama terhadap kuasa pemasaran makanan ringan dan mengubah tabiat pemakanan untuk menjadi lebih baik.

    Perbezaan kesan intervensi terhadap kanak-kanak perempuan

    Kajian tersebut kurang konklusif mengenai kesan intervensi terhadap pembelian di kafeteria oleh kanak-kanak dan remaja perempuan. Walau bagaimanapun, sepertimana kanak-kanak lelaki, kanak-kanak perempuan turut mengalami reaksi gerak hati segera yang lebih negatif terhadap makanan ringan selepas intervensi pendedahan tersebut. Tetapi, pembelian mereka di kafeteria setiap hari adalah sama, tanpa mengira sama ada mereka membaca intervensi pendedahan tersebut atau melalui bahan pendidikan kesihatan lain secara tradisional.

    Apa yang tidak jelas adalah sama ada pembelian yang sama bermakna bahawa intervensi tidak meningkatkan pilihan pemakanan wanita atau kedua-duanya berkesan pada kanak-kanak perempuan, tetapi atas sebab-sebab yang berbeza. Penyelidik mengesyaki bahawa, pendidikan kesihatan tradisional secara sepenuhnya tidak berkesan dalam mengubah tingkah laku kanak-kanak lelaki, ia mungkin mempengaruhi pilihan pembelian bagi kanak-kanak perempuan kerana ia menyatakan jumlah kalori, yang mungkin mencetuskan tekanan sosial untuk menjadi kurus. Sekiranya itu berlaku, ia menunjukkan bahawa intervensi pendedahan mungkin pilihan yang lebih baik untuk kanak-kanak perempuan kerana ia turut mencapai hasil yang sama dengan kurang risiko penghinaan terhadap tubuh badan.

    Menurut salah seorang penyelidik, Yeager dari University of Texas di Austin, kajian ini menunjukkan kemungkinan untuk mengubah tingkah laku semasa zaman remaja dengan menggunakan intervensi sentuhan ringan. Menurut beliau lagi, zaman remaja adalah peringkat perkembangan walaupun pendekatan promosi kesihatan yang paling lama tidak mempunyai kesan terhadap mereka. Disebabkan begitu banyak masalah sosial, daripada pendidikan hingga tingkah laku yang berisiko, bermula pada zaman remaja, kajian ini membuka jalan bagi penyelesaian kepada beberapa cabaran paling sukar untuk menggalakkan kesihatan awam global.

    Konklusi

    Konklusinya, makanan ringan mempunyai 1001 kesan buruk terhadap individu. Namun begitu, ia bukan bermakna anda tidak boleh langsung mengambilnya. Ada juga snek yang berkhasiat dan bagus untuk kesihatan anda, terutamanya yang melibatkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Oleh itu, cuba elakkan makan makanan ringan yang terlalu atau terlebih banyak untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi kesihatan yang telah dinyatakan dalam artikel.

    Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda dan keluarga untuk lebih memahami keburukan makanan ringan. 

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan