Kadar Obesiti Semakin Meningkat – Adakah Kita Kekurangan Makanan Sihat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bilangan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja (5 hingga 19 tahun) di peringkat global meningkat sebanyak 10 kali ganda dalam tempoh 4 dekad yang lalu. Menurut kajian oleh Imperial College London dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), jika trend ini berterusan, bilangan kanak-kanak dan remaja obes akan menjangkaui bilangan mereka yang kurang berat badan menjelang tahun 2022.

Angka ini tentunya melahirkan kebimbangan kerana obesiti merupakan antara faktor risiko utama bagi penyakit kronik seperti penyakit jantung, kencing manis, strok, dan tekanan darah tinggi. Lebih-lebih lagi jika ia bermula sejak kecil, risiko yang dihadapi oleh golongan muda ini lebih tinggi.

Makanan hipster semakin tular, di mana makanan sihat?

Bercakap mengenai obesiti, sudah pasti makanan akan menjadi penyebab utama.

Jika tidak tular dan hipster, pelanggan tidak ramai. Sebab itulah pengusaha makanan hari ini berlumba-lumba menjual makanan yang menarik perhatian pelanggan terutamanya golongan muda.

Jika dulu hanya ada satu jenis cendol, kini sehingga 100 jenis dicampur dengan gula, susu, keju, durian, dan pelbagai jenis manisan. Rasanya memang enak tetapi gula dan kalorinya sangat membimbangkan.

Promosi dan pasaran makanan ini juga sangat terkehadapan sama ada di internet, televisyen, atau papan iklan. Semuanya lengkap dengan menu, nombor telefon, dan khidmat penghantaran.

Persoalannya, di manakah makanan sihat? Adakah ‘disembunyikan’ di sudut kecil bahagian belakang pasar raya?

Langkah perlu dilakukan melalui polisi dan harga barang

Jika kita benar-benar komited untuk menangani obesiti khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, langkah efektif dan menyeluruh harus diambil.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah memperkenalkan polisi dan harga barang yang boleh mengurangkan pengambilan makanan kurang sihat oleh masyarakat. Ini termasuk menaikkan harga barangan bergula (seperti yang termaktub dalam bajet 2019) dan meningkatkan iklan serta promosi makanan sihat.

Jika ketersediaan makanan sihat adalah rendah, masyarakat tentu akan pergi kepada pilihan yang kurang sihat lebih-lebih lagi jika harganya lebih murah. Galakan pemakanan sihat harus disertakan dengan ketersediaan yang tinggi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut