BMI Sana, BMI Sini. Apakah Sebenarnya BMI Ni?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ramai yang selalu menyebut BMI apabila bercakap mengenai berat badan masing-masing. Tetapi apakah sebenarnya yang disebut sebagai BMI ini?

Apakah yang dimaksudkan dengan BMI?

Secara umumnya, BMI adalah kependekan daripada frasa asalnya iaitu Body Mass Index. Ia adalah satu kaedah ukuran berat badan seseorang individu bersama-sama dengan ketinggiannya. Ia lebih kepada penunjuk berkenaan jumlah lemak tubuh badan seseorang individu dan BMI mempunyai hubung kait atau korelasi dengan jumlah lemak tubuh. Dengan kata lain, semakin tinggi skor BMI anda, maka semakin tinggi jugalah jumlah lemak badan anda.

Kategori-kategori BMI

Terdapat empat pengkategorian BMI yang boleh memberikan gambaran sebenar mengenai jumlah lemak badan anda. Empat kategori tersebut ialah kurang berat badan (underweight), sihat (healthy), berat badan berlebihan (overweight) dan obes (obese). Bagaimana untuk mengetahui kategori bagi berat badan anda? Rujuk senarai di bawah ini.

  • Kurang berat badan: Bawah daripada nilai 18.5
  • Sihat: Nilai antara 18.5 hingga 24.9
  • Berat badan berlebihan: Nilai antara 25 hingga 29.9
  • Obes: Nilai 30 dan ke atas

 

Kategori-kategori BMI ini memberikan gambaran kepada anda berkenaan risiko kesihatan yang berpotensi berlaku kepada anda berdasarkan berat badan anda. 

Perkaitan klinikal BMI

BMI dianggap sebagai penunjuk bagi sebarang risiko kesihatan pada masa akan datang. BMI biasa digunakan oleh profesional kesihatan untuk mengesan individu yang dikategorikan sebagai mempunyai berat badan berlebihan dan obes. BMI digunakan untuk menilai risiko kesihatan seseorang individu yang berkait rapat dengan berat badan berlebihan dan obesiti. Sebagai contoh, mereka yang mempunyai nilai BMI yang tinggi mempunyai risiko terhadap beberapa jenis penyakit seperti:

  • Kolesterol darah yang tinggi dan masalah lipid yang lain
  • Diabetes jenis 2
  • Penyakit jantung
  • Strok
  • Tekanan darah tinggi
  • Sesetengah kanser
  • Penyakit hempedu
  • Apnea tidur dan berdengkur
  • Kematian pramatang
  • Osteoarthritis dan penyakit berkaitan sendi

Adakah terdapat kepentingan untuk saya mengetahui mengenai BMI saya?

Mungkin ramai yang terlepas pandang mengenai hal ini. Ya, dengan mengetahui berapakah nilai BMI anda, akan memberikan beberapa manfaat dan kebaikan. Pertama, ia adalah antara kaedah yang baik bagi mengetahui sama ada berat badan anda berada dalam perkadaran yang sihat, bersesuaian dengan ketinggian yang anda miliki. Selain itu, jika anda mengetahui nilai BMI anda, ia membantu doktor untuk mengenal pasti sebarang risiko kesihatan yang mungkin akan anda alami pada masa hadapan jika ia berada pada kategori overweight dan obese.

Walau bagaimanapun, perkiraan BMI ini tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti umur, jantina, etnik dan juga jisim otot. Selain itu, ia juga tidak sesuai untuk menentukan berat badan sihat bagi warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan juga atlet. Oleh itu, jika anda merupakan salah seorang daripada golongan yang disebutkan ini, nilai BMI anda mungkin tidak berapa tepat dan tidak menggambarkan jumlah sebenar lemak tubuh anda. Rujuk doktor bagi mendapatkan kepastian berkenaan BMI dan risiko kesihatan sebenar anda.

Bagi anda yang tidak berada dalam kategori ini dan ingin mendapatkan nilai BMI anda, cuba Kalkulator Indeks Jisim Badan yang kami sediakan ini. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut