Awasi Salad Segar Jenama Vege 2 Fresh

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan produk Iceberg Lettuce (sejenis salad) berjenama Vege 2 Fresh dicemari bahan kimia Fipronil. Berikutan daripada itu, jualan produk ini telah diarahkan untuk dihentikan serta merta.

Singapura juga telah mengarahkan produk salad berjenama Pasar dan Iceberg keluaran Malaysia ditarik balik dari pasaran negara tersebut selepas mendapati bahan kimia fipronil telah mencemari produk berkenaan.

Fipronil adalah sejenis racun serangga

Ia sering digunakan untuk mengawal banyak serangga termasuk semut, kumbang, lipas, pijat dan kutu. Fipronil adalah serbuk berwarna putih dengan bau yang kurang enak.

Fipronil terdapat dalam pelbagai produk racun untuk mengawal serangga di dalam rumah atau digunakan dalam industri pertanian. Anda boleh mengenal pasti kandungan produk racun serangga yang dibeli melalui label pada produk tersebut.

Bahaya terkena fipronil

Apabila racun ini masuk ke dalam badan serangga, ia akan menyerang sistem saraf sehingga menyebabkan kematian serangga terbabit. Kesannya lebih buruk terhadap serangga berbanding manusia. Namun, manusia masih boleh mengalami risiko yang tinggi jika diracuni fipronil.

Seseorang mungkin diracuni fipronil melalui sentuhan langsung kulit atau mata, bernafas udara atau memakan makanan (sayur-sayuran seperti salad) mengandungi fipronil.

Antara simptom keracunan yang mungkin dialami adalah:

  • Berpeluh.
  • Mual dan muntah.
  • Sakit kepala.
  • Sakit perut.
  • Pening kepala.
  • Badan menjadi lemah.
  • Sawan.

Sila berwaspada dengan produk makanan yang diambil

Perancangan untuk menjalani pemakanan sihat mungkin akan terganggu apabila terdapat pihak tertentu yang menghasilkan makanan yang didakwa sihat tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

Tindakan yang diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan produk makanan, khususnya sayur-sayuran segar, di pasaran bebas daripada bahan-bahan yang membahayakan kesihatan adalah satu langkah yang baik.

Sebagai ahli masyarakat, kita haruslah peka dan berwaspada dengan semua produk makanan yang diambil. Meskipun ia adalah makanan yang sihat seperti salad dan buah, anda juga harus memastikan bahawa ia benar-benar dihasilkan melalui proses yang sihat.

Sebagai panduan umum, anda boleh melihat kepada beberapa perkara:

  • Kedai atau pasaraya dalam keadaan bersih dan tidak mempunyai rekod buruk.
  • Keadaan sayur atau buah dalam keadaan segar dan tidak rosak atau busuk.
  • Harga yang dijual adalah berpatutan dan tidak terlalu murah atau mahal.

Jika anda mendapati terdapat pencemaran atau keracunan pada produk makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 8, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 29, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut