Terung, Kaya Khasiat untuk Kesihatan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Terung atau turut dikenali sebagai eggplant di Barat merupakan tumbuhan yang saiz agak panjang, berbentuk bujur yang mempunyai warna ungu gelap. Walaupun ia mungkin bukan satu tumbuhan yang popular, namun terung merupakan antara sayuran yang sering menjadi pilihan dalam masakan Melayu. Tetapi, adakah anda mengetahui apakah khasiat yang terkandung di dalam sayuran ini? Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya. 

Apa itu terung?

Dipanggil sebagai terung, mungkin bukan sesuatu yang memelikkan, namun pernah anda terfikir kenapa ia dipanggil eggplant atau terjemahan secara terus dalam bahasa Inggeris, ‘tumbuhan telur’,  sedangkan ia langsung tidak mempunyai kaitan dengan telur? Sebenarnya, panggilan ini merujuk kepada terung yang ditanam dan tumbuh di Eropah yang berwarna kekuningan atau putih yang menyerupai telur. Dan, nama itu melekat sehinggalah ia mula dibawa masuk ke Barat. 

Nama lain bagi sayuran ungu gelap ini adalah Solanum melongena. Ia dikatakan berasal dari keluarga ubi kentang dan tomato dan berkaitan dengan nightshade family Solanaceae. Ia boleh dikenal pasti dengan kewujudan daun yang bersaiz besar, bunga yang berwarna putih keungguan dengan stamen kuning. Ia boleh didapati dalam bentuk bujur atau telur besar dengan kulit licin dan berkilat dengan warna ungu gelap. 

Oleh sebab terung dikatakan mempunyai kaitan dengan tumbuhan nightshade, pada awalnya ia dipercayai sebagai tumbuhan beracun. Namun terdapat kepercayaan yang mengatakan bahawa memakannya secara mentah adalah tidak begitu digalakkan- adakah ia benar?

Sebenarnya, terung walau dimakan secara mentah adalah tidak beracun walaupun ia dalam kumpulan keluarga nightshade. Tetapi, daun dan bunga tumbuhan ini mungkin boleh menjadi toksik. Ini kerana tumbuhan yang berasal daripada keluarga nightshade, seperti terung, ubi kentang, lada benggala dan tomato ini mengandungi alkaloid yang dipanggil solanine. Dalam dos yang sangat tinggi, solanine boleh menyebabkan keracunan. 

Bagi individu dewasa 400mg solanin boleh mengancam nyawa. Purata jumlah solanin pada tumbuhan dalam keluarga nightshade ini kebiasaannya antara 2 hingga 13mg dan terung mengandungi jumlah solanin yang paling banyak iaitu 11mg. Jadi, memakan terung mentah mungkin akan mendatangkan bahaya dan beracun jika anda memakannya sebanyak 36 biji. Banyak bukan? Oleh sebab itu, anda tidak perlu khuatir jika anda ingin memakannya secara mentah dalam jumlah yang munasabah. 

Namun, tidak boleh menolak kemungkinan, walaupun dalam jumlah yang kecil, terdapat individu yang mungkin akan mengalami alahan dengan tumbuhan daripada keluarga nightshade ini. Antara contoh situasinya adalah seperti bersentuhan dengan tumbuhan ini berkemungkinan boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit. Tetapi kebiasaannya ia hanya akan menyebabkan kegatalan yang tidak serius. 

Dipercayai berasal dari India, kewujudan terung ini telah tersebar ke seluruh dunia dan ia boleh didapati dalam pelbagai jenis masakan di negara yang berbeza. Sebagai contoh, di Perancis, ia dikenali sebagai aubergine, dan merupakan salah satu ramuan utama dalam hidangan ratatouille Perancis yang terkenal. 

Manakala di negara Timur Tengah, sayuran ungu ini akan dihancurkan dan diadun dengan bahan-bahan lain seperti tahini untuk menghasilkan baba ghanoush, krim pencecah yang dimakan bersama roti pita. Terung jeruk dan miso-glazed pula merupakan antara hidangan makanan popular di Japan. 

Terung, Kaya Khasiat untuk Kesihatan - sejarah terung

Sejarah terung

Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai khasiat dan kebaikan tumbuhan ungu ini, apa kata kita layari sejarah ringkasnya terlebih dahulu. Seperti yang dikatakan di atas, tumbuhan ini dipercayai berasal dari India dan tumbuh liar di negara itu. Kemudian ia mula di tanam di China pada abad ke-5 sebelum masihi. 

Ia mula diperkenalkan di Afrika sebelum Zaman Pertengahan dan kemudian mula memasuki negara Itali, pada abad ke-14. Ia mula tersebar ke seluruh Eropah dan Timur Tengah. Beberapa abad kemudian, tumbuhan ini mula diperkenalkan di Hemisfera Barat oleh penjelajah Erofah. Hari ini, Itali, Turki, Mesir, China dan Jepun merupakan antara negara penanam terung yang terkemuka.

Fakta menarik tentang terung

  • Tumbuhan ini boleh didapati dalam pelbagai jenis warna, bentuk dan saiz.
  • Kandungan antisionin yang terdapat dalam tumbuhan ungu gelap ini berkeupayaan membantu melindungi kesihatan jantung.
  • Satu lagi bahan kimia dalam terung, nasunin, boleh membantu meningkatkan aliran darah ke otak.
  • Pelbagai kaedah dan cara penyediaan serta masakan yang boleh dibuat bersama terung, antaranya seperti mengukus, memanggang, merebus atau menggoreng. Tetapi mengukus dikatakan antara kaedah yang dapat mengekalkan tahap antioksidan paling efektif.
  • Penyelidik dan saintis sedang dalam usaha serta pencarian untuk mendapatkan cara bagi memaksimumkan antioksidan dalam terung dan dalam masa yang sama cuba untuk mengurangkan rasa pahit yang terdapat di dalamnya.

Nutrisi terung

Hidangan terung seberat 99 g (gram) mengandungi:

  • 35 kalori
  • 0.82 g protein
  • 8.64 g karbohidrat, di mana 3.17 g adalah gula
  • 0.23 g lemak
  • 2.5 g serat makanan
  • 188 miligram (mg) kalium – merupakan mineral dan elektrolit utama yang terlibat dalam kebanyakan proses dan fungsi badan, termasuk sistem saraf serta pergerakan jantung dan otot.
  • 6 mg kalsium
  • 1 mg natrium
  • 0.12 mg zink
  • 1.3 mg vitamin C – viitamin larut air yang bertindak sebagai antioksidan untuk melawan radikal bebas yang berpotensi merosakkan sel badan dan penyumbang penting dalam sintesis kolagen.
  • 0.25 mg zat besi
  • 11 mg magnesium
  • 15 mg fosforus
  • 14 mikrogram (mcg) folat – sejenis vitamin larut air yang membantu dalam penghasilan DNA dan RNA serta  memetabolisma asid amino.
  • 85 mcg vitamin B6 – adalah vitamin larut air yang berfungsi di belakang tabir sebagai koenzim (coenzyme) dalam banyak tindak balas penting dalam badan, termasuk metabolisma protein dan pembentukan sel darah merah, serta pelbagai fungsi badan yang lain. 
  • 2.9 mcg vitamin K – merupakan vitamin larut lemak yang membolehkan pengaktifan enzim dalam proses pembekuan yang bertanggungjawab untuk pembekuan darah. Juga membina tulang dengan mengubah osteocalcin supaya ia dapat mengikat kalsium, sehingga membina ketumpatan tulang.

Kebaikan terung untuk kesihatan

Menariknya, walaupun kebanyakan daripada kita menganggap ia sebagai sayuran. Namun, secara teknikalnya ia adalah sejenis buah-buahan, memandangkan ia tumbuh daripada tumbuhan berbunga dan mengandungi biji benih. 

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia boleh didapati dalam pelbagai saiz dan warna. Jika di Malaysia, terung yang sering kita lihat adalah berwarna ungu gelap, tetapi ia juga boleh hadir dalam warna merah, hijau atau hitam. 

Selain menawarkan tekstur dan rasa unik kepada pelbagai resepi masakan, terung juga menawarkan pelbagai khasiat dan manfaat yang baik untuk kesihatan. Berikut adalah antara beberapa faedah yang boleh diperolehi dengan mengamalkan pengambilan terung:

Terung, Kaya Khasiat untuk Kesihatan - warna terung

  1. Kaya dengan antioksidan

Buah ini (ya, seperti yang dikatakan tadi ia adalah sejenis buah) mengandungi antioksidan yang membantu melawan bahan yang merosakkan sel-sel di dalam badan iaitu radikal bebas. Kehadiran antioksidan mampu mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser. Antioksidan utama yang terkandung di dalamnya adalah anthocyanin.

Dalam penyelidikan yang dilakukan oleh US Agricultural Service di Beltsville, Maryland, mendapati bahawa terung adalah sumber yang kaya dengan sebatian fenolik yang berfungsi sebagai antioksidan. Tumbuhan ini membentuk sebatian yang berperanan melindungi diri daripada tekanan oksidatif daripada pendedahan kepada elemen dan jangkitan bakteria dan kulat. 

  1. Mengurangkan risiko penyakit jantung

Kandungan antioksidan seperti yang disebutkan di atas adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada pengurangan risiko penyakit jantung. Terung juga terbukti membantu mengurangkan kadar kolesterol di dalam darah bagi kolesterol LDL yang dikatakan sebagai kolesterol ‘tidak baik’ dan trigliserida. Kolesterol adalah faktor risiko utama bagi penyakit jantung.

Kandungan serat, kalium, vitamin C, vitamin B6, dan kandungan phytonutrient (fitonutrien) dalam tumbuhan ini, kesemuanya menyokong kesihatan jantung. Malah, menurut tinjauan yang diterbitkan dalam American Journal of Clinical Nutrien (AJCN) pada tahun 2008, menyatakan, mengambil makanan yang mengandungi flavonoid tertentu seperti antosianin (anthocyanin), boleh dikaitkan dengan risiko kematian yang lebih rendah bagi penyakit jantung. 

Dalam satu kajian, individu yang mengambil lebih daripada tiga hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap minggu yang mengandungi antosianin mempunyai risiko penyakit jantung 34% lebih rendah berbanding mereka yang kurang mengambilnya. Dalam penyelidikan lain, peningkatan pengambilan antosianin juga dikaitkan dengan tahap tekanan darah yang jauh lebih rendah. 

Dalam satu penyelidikan yang dijalankan kepada arnab yang mempunyai masalah kolesterol tinggi dan diberikan jus terung, menunjukkan hasil penurunan dalam berat badan dan kadar kolesterol darah.  

  1. Makanan baik untuk otak

Terdapat penyelidikan yang dijalankan ke atas tumbuhan ini memberikan tumpuan kepada kandungan anthocyanin phytonutrient (fitonutrien antosianin) yang terdapat pada kulit terung dipanggil nasunin. Nasunin adalah sejenis antioksidan yang kuat dan bahan kimia radikal bebas yang terbukti melindungi membran sel daripada kerosakan. 

  1. Mengawal gula dalam darah

Kaya dengan serat, ia boleh mengurangkan kadar gula dalam darah dengan melambatkan penghadaman dan penyerapan gula. Proses penyerapan yang lambat mampu mengekalkan gula pada kadar yang stabil dan mengelakkan lonjakan gula secara mendadak.

Sejenis bahan yang terkandung dalam terung iaitu polifenol (polyphenol) didapati mengurangkan penyerapan gula serta merangsang pelepasan insulin.

  1. Fungsi kognitif

Penemuan daripada penyelidikan terhadap haiwan yang dilakukan menunjukkan nasunin, kimia antosianin yang terkandung dalam kulit terung, adalah antioksidan yang kuat dan dapat melindungi membran sel otak daripada kerosakan radikal bebas. Ia juga membantu dalam pengangkutan nutrien ke dalam sel. 

Penyelidikan juga menunjukkan bahawa antosionin membantu mencegah neuroinflammation dan memudahkan aliran darah ke otak. Ini dapat membantu meningkatkan ingatan dan mencegah gangguan mental yang berkaitan dengan usia. 

  1. Membantu menurunkan berat badan

Terung kaya dengan serat dan mengandungi rendah kalori membuatkan ia sangat sesuai dijadikan diet untuk mengurangkan berat badan. Serat melambatkan proses penghadaman serta membuatkan anda kenyang lebih lama. Jadi, pengambilan makanan akan dapat dikurangkan. Ditambah dengan jumlah kalorinya yang rendah, buah ini boleh digantikan dengan makanan tinggi kalori yang lain.

  1. Melawan kanser

Terung mengandungi beberapa bahan yang didapati berpotensi melawan sel-sel kanser. Antaranya ialah solasodine rhamnosyl glycosides (SRGs). Bahan ini boleh menyebabkan sel kanser mati, khususnya bagi kanser kulit. 

Polifenol yang terkandung dalam terung dipercayai mempunyai kesan antikanser. Antosianin dan asid klorogenik melindungi sel-sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas dan kesannya ia akan mencegah pertumbuhan tumor serta pembiakan dan penyebaran sel-sel kanser. 

Walau bagaimanapun, kajian tentangnya adalah agak terbatas dan banyak dijalankan ke atas haiwan. Lebih banyak kajian diperlukan ke atas manusia untuk melihat keberkesanannya dalam melawan kanser.

  1. Membantu pesakit anemia

Individu yang mengalami kekurangan zat besi mungkin dapat melawan beberapa simptom sekiranya memasukkan terung dalam hidangan makanan mereka. Isi putih daripada tumbuhan berkulit ungu berkilat ini mempunyai banyak mineral penting termasuk zat besi dan tembaga yang membantu meningkatkan kesihatan sel darah merah dalam aliran darah. Memakan makanan dengan sebatian ini boleh meningkatkan tenaga dan kekuatan, serta membasmi rasa keletihan dan kelesuan. 

  1. Manfaat tulang

Terung juga merupakan tumbuhan yang kaya dengan kandungan tembaga dan vitamin K, bersama fenol yang dipercayai dapat membantu mencegah osteoporosis, meningkatkan kepadatan mineral tulang, menguatkan dan baik untuk kesihatan tulang secara keseluruhan. Ini kerana tembaga membantu mengekalkan pembentukan kolagen tisu yang menjadi penghubung tisu dan tulang. Asid oksalat yang terdapat dalam makanan ini mungkin akan menghalang penyerapan kalsium, tetapi ia hanya akan berlaku jika tumbuhan ini diambil dalam jumlah yang tinggi. Namun, anda boleh mengatasi keadaan ini dengan mengambilnya bersama makanan tinggi kalsium yang lain seperti keju.

Resepi terung

Anda telah mengetahui tentang kebaikan buah berkulit licin berwarna ungu ini. Jadi, bagaimana jika anda mencuba memasak beberapa hidangan dengan menggunakan tumbuhan ini? Siapa tahu, ia mungkin menjadi makanan kegemaran anda sekeluarga? Selamat mencuba!

#1. Baked-Eggplant Parmesan

Terung, Kaya Khasiat untuk Kesihatan - baked eggplant

Bahan-bahan:

  • Minyak zaitun, sebagai sapuan pada dulang pembakar
  • 2 biji telur
  • ¾ cawan serbuk roti
  • 1 sudu teh oregano kering
  • 1.2 sudu teh basil kering
  • Garam dan serbuk lada hitam, secukup rasa
  • 2 biji terung – dikupas kulit dan dihiris secara bentuk bulatan dengan kelebaran ½ inci
  • 6 cawan atau bersamaaan 48 auns sos tomato bersama ketulan tomato
  • 1½ cawan keju mozzarella cincang
  • 1 cawan keju parmesan
  • Air 

Cara penyediaan:

  1. Panaskan ketuhar sehingga suhu mencapai 375 darjah. Masukkan kertas pembakar ke dalam dulang dan dengan minyak zaitun, dan ketepikan. Dalam sebuah mangkuk, masukkan telur bersama 2 sudu air dan pukul sebati. Dalam mangkuk yang lain, campurkan serbuk roti, ¾ cawan keju parmesan, oregano, basil, garam dan serbuk lada hitam.
  2. Celupkan hirisan terung ke dalam campuran telur, dan masukkan ke dalam campuran serbuk roti. Pastikan salutannya rata. Letakkannya ke dalam dulang pembakar. Bakar untuk tempoh 20 hingga 25 minit sehingga ia berubah menjadi warna coklat kecemasan. Keluarkan dari ketuhar dan alihkan untuk memberikan bahagian yang sebelah lagi turut berubah warna coklat keemasan, bakar untuk selama 20 hingga 25 minit. Kemudian, keluarkan dulang pembakar dari ketuhar. Naikkan suhu ketuhar kepada 400 darjah. 
  3. Letakkan 2 cawan sos tomato ke dalam dulang pembakar, seeloknya dulang yang bersaiz 9×3 inci. Susun separuh hirisan terung ke dalam dulang, kemudian masukkan 2 cawan sos tomato pada bahagian atas susunan tersebut. Letakkan ½ cawan keju mozzarella. Ulang langkah yang sama sehingga hirisan terung habis disusun. Taburkan baki keju parmesan. Bakar sehingga sos menggelegak dan keju menjadi cair, dalam sekitar 15 hingga 20 minit. Biarkan ia menyejuk selama 5 minit sebelum dihidangkan. 

#2. Terung Goreng Kicap Bercili

Bahan-bahan:

  • 2 biji terung panjang, saiz sederhana
  • 5-10 biji cili padi, hiris halus
  • 3 ulas bawang putih, hiris nipis
  • 1 biji bawang besar. hiris nipis
  • Kicap manis
  • Garam
  • Minyak, untuk menggoreng dan menumis

Cara penyediaan:

  1. Potong dadu terung tapi jangan terlalu kecil. Gaulkan dengan sedikit garam dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam anggaran 2 cawan dan goreng terung separuh masak. Jangan sampai lembik. Goreng berperingkat sehingga selesai.
  3. Kurangkan minyak dalam anggaran 1 senduk. Tumis bawang besar dan cili padi sehingga naik bau. Kemudian, masukkan bawang putih dan diikuti terung yang digoreng tadi. Masukkan pula kicap pekat. Jika anda suka berkuah, lebihkan kicap.
  4. Angkat dan hidangkan bersama nasi panas.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan