backup og meta

Makanan Seimbang Pencegah Penyakit Kronik? Jom Amalkan Pinggan Sihat Malaysia!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 17/06/2020

    Makanan Seimbang Pencegah Penyakit Kronik? Jom Amalkan Pinggan Sihat Malaysia!

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan inisiatif Pinggan Sihat Malaysia (PSM) sebagai alat komunikasi yang lebih berkesan untuk menterjemahkan saranan pemakanan seimbang daripada Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan.

    Untuk pengetahuan anda, PSM adalah alat visual yang berupaya untuk memberikan gambaran yang jelas tentang jumlah makanan dan pecahan makro dan mikro nutrien dalam sesuatu hidangan demi mencapai maksud makanan seimbang dan sihat tubuh badan. 

    Persoalannya, apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan PSM yang KKM perkenalkan ini? Selain itu, apakah faedahnya terhadap kesihatan? Jom baca artikel dengan lebih lanjut!

    Serba sedikit mengenai Pinggan Sihat Malaysia

    makanan seimbang

    Melalui pengenalan PSM, gambaran suatu pinggan yang sihat itu dapat dizahirkan dengan jelas dan mudah.

    Kekuatan PSM ini dapat mendorong rakyat Malaysia untuk meningkatkan pengambilan buah dan sayur; mengawal sukatan nasi, mi, roti dan bijirin lain; menggalakkan pengambilan bijirin penuh; memastikan pengambilan ikan, ayam, daging dan kekacang yang mencukupi; serta menggalakkan pengambilan air kosong.

    Tambahan lagi, konsep makanan seimbang yang diketengahkan oleh PSM ini secara tidak langsung menyarankan hidangan yang rendah lemak, gula dan garam sejajar dengan Panduan Diet Malaysia, 2010.

    Antara faedah PSM terhadap kesihatan tubuh badan adalah ia sangat penting dalam usaha mencegah penyakit kronik. Persoalannya, adakah ia benar-benar efektif?

    Bagaimana makanan seimbang boleh mencegah penyakit kronik?

    makanan seimbang

    Saranan PSM dalam memastikan rakyat Malaysia memperoleh makanan seimbang, menunjukkan bahawa separuh daripada pinggan kita perlulah diisi dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

    Satu per empat daripada keseluruhan pinggan pula perlu diisi oleh sumber protein seperti daging, ikan dan ayam.

    Akhir sekali, satu per empat yang berbaki daripada keseluruhan pinggan tersebut dipenuhi dengan nasi, mi atau bijirin penuh. 

    Melebihkan serat dalam makanan

    Aspek yang paling jelas dan nyata dalam PSM ini adalah galakan untuk rakyat Malaysia meningkatkan pengambilan serat dalam hidangan mereka.

    Serat secara definisinya adalah komponen karbohidrat tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dipecahkan dan diserap oleh badan manusia.

    Ini kerana fisiologi badan kita tidak mempunyai enzim yang mampu untuk memisahkan ikatan antara rantaian karbohidrat tumbuhan.

    Daripada sudut penyakit kronik, pengambilan serat yang lebih adalah aspek yang penting dalam makanan seimbang.

    Serat berupaya untuk meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori.

    Ini membolehkan serat untuk menghasilkan rasa kenyang yang sama dengan pengambilan kalori yang lebih banyak, sekali gus mendorong seseorang itu untuk berasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah.

    Sayur, Bukan Sekadar Pelengkap Hidangan

    Kesan ini berupaya untuk mencegah penyakit berkaitan dengan pengambilan kalori yang tinggi seperti berat badan berlebihan, obesiti dan juga kencing manis.

    Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan serat yang konsisten boleh mengurangkan risiko seseorang untuk menghidapi penyakit kanser usus.

    Selain itu, serat yang boleh larut akan mengikat kepada asid hempedu dalam usus kecil, mengurangkan kemungkinan untuk ia diserap semula ke dalam badan serta mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

    Kolesterol yang rendah dalam darah adalah faktor pelindung daripada penyakit-penyakit berkaitan salur darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar (strok).

    Mengurangkan karbohidrat dalam makanan

    Di Malaysia, nasi merupakan makanan ruji – pinggan-pinggan di Malaysia rata-ratanya didominasi oleh nasi berbanding saranan PSM yang mencadangkan ianya dipenuhi dengan serat daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Dalam satu hidangan bersertakan satu minuman sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi.

    Akibat daripada tabiat mengambil makanan yang tinggi dengan kalori daripada karbohidrat, ia menyebabkan badan seseorang itu terus menerus membawa dan mengumpul kalori yang berlebihan dan juga simpanan gula (glukosa) yang tinggi dalam badan.  

    Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ia digunakan.

    Tanpa aktiviti yang memerlukan kalori yang tinggi, gula berlebihan ini akan disimpan di dalam hati dalam bentuk glycogen.

    Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil.

    bijirin

    Selain itu, ianya juga boleh menyebabkan rintangan insulin.

    Susulan daripada pengambilan gula berlebihan dan rintangan insulin ini adalah penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2).

    Dalam pada itu, lebihan gula dalam badan juga boleh melalui proses di mana ianya akan ditukarkan menjadi lemak.

    Pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti.

    Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung.

    Oleh sebab itu, PSM menyarankan agar karbohidrat, khususnya yang diproses, perlu dikurangkan dalam diet harian bagi mengurangkan risiko untuk penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan juga obesiti.

    Jadi, marilah kita sama-sama amalkan Pinggan Sihat Malaysia untuk elak penyakit kronik!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 17/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan