Jeruk: Adakah ia Baik untuk Kesihatan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda pasti pernah memakan jeruk, bukan? Terdapat pelbagai jenis jeruk di pasaran tidak kiralah sama ada jeruk buah, seperti jeruk mangga, jeruk betik atau jeruk yang diperbuat daripada sayuran seperti jeruk timun, mahupun jeruk cili. Tetapi, dari segi aspek kesihatan, adakah pemakanan yang melalui proses penapaian sebegini baik untuk kesihatan? Atau mungkin ia akan mendatangkan kesan kepada tahap kesihatan seseorang individu? Ikuti perkongsian berikut untuk mendapatkan lebih pemahaman mengenai jeruk.

Apa itu Jeruk?

Jeruk merupakan satu teknik pengawetan makanan kuno yang telah dilakukan sejak dahulu lagi. Penghasilan makanan jeruk ini boleh dilakukan dengan pelbagai jenis pilihan makanan, seperti sayur-sayuran atau buah-buahan, tetapi antara jenis makanan yang sinonim dengan jeruk adalah seperti timun, lobak mahupun cili yang sering diambil ketika hidangan makanan.

Proses penghasilan makanan ini adalah dengan menyimpan dan merendamnya ke dalam air garam yang mengandungi bakteria berfaedah, ini bermaksud, ia boleh menjadi sebagai tambahan yang baik kepada sesuatu makanan yang dijadikan sebagai jeruk. 

Ya, sememangnya betul, dari satu sudut, jeruk bukanlah satu makanan yang baik untuk kesihatan kerana ia mengandungi kandungan natrium atau garam yang tinggi, bermakna ia adalah tidak bagus untuk kesihatan anda jika diambil dalam jumlah yang terlalu banyak dan besar. 

Tetapi dalam masa yang sama, tidak boleh dinafikan, jeruk timun yang dimakan bersama burger, atau jeruk cili yang diletakkan bersama kuetiau goreng anda mahupun jeruk lobak yang dimakan bersama bubur, tetap memberikan manfaat lain. Malah, bagaimana kalau ia mungkin sebenarnya mendatangkan lebih banyak manfaat kesihatan daripada apa yang anda fikirkan, adakah anda percaya?

Sayur-sayuran atau buah-buahan seperti jeruk ini dibuat melalui pembuatan makanan dengan proses penapaian dan dihasilkan dengan air garam atau cuka. Sebagai tambahan untuk menjaga makanan daripada mengalami kerosakan, proses penapaian ini juga menghasilkan bakteria probiotik sebagai hasil sampingan daripada proses yang dijalankan. Ia sangat bermanfaat untuk fungsi usus dan meningkatkan tahap kesihatan anda dengan pelbagai cara. 

Pada dasarnya, proses penapaian ini menghasilkan bakteria yang baik dan dalam masa yang sama menyingkirkan bakteria yang tidak baik. Oleh sebab itu, secara lazimnya, banyak teknik penghasilan dan penyediaan makanan tradisi pada zaman dahulu boleh bertahan lama walaupun tanpa disimpan di dalam peti sejuk atau sebarang kaedah penyejukan. 

Adakah Ia Baik untuk Anda?

Jeruk adalah sejenis makanan yang bebas lemak dan rendah kalori, kedengaran baik untuk kesihatan bukan? Malangnya, ia juga adalah rendah dalam kebanyakan kandungan nutrien lain, kecuali natrium, iaitu garam. 

Satu hidangan makanan bagi 100 gram roti bersamanya mengandungi 457 miligram (mg) natrum, atau hampir 20% daripada pengambilan had harian yang disyorkan. Malah kebanyakannya mempunyai kandungan natrium yang sangat tinggi, jadi adalah amat penting untuk mengehadkan pengambilannya dalam sehari.

Namun, bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi atau masalah kesihatan kardiovaskular, anda mungkin disarankan untuk menghindari langsung pengambilan makanan ini.

Bergantung kepada jenis yang anda ambil, ia biasanya mengandungi beberapa jenis bakteria bermanfaat sebagai kelebihannya. Seperti yang dinyatakan di atas tadi, penghasilan makanan ini menggunakan air garam. Air garam ini adalah air yang dicampur dengan garam atau asid seperti cuka. Air garam yang melalui proses difermentasi mengandungi bakteria baik yang boleh meningkatkan tahap kesihatan. Tetapi ia hanyalah untuk air garam yang melalui proses penapaian.

Jeruk yang melalui proses penapaian atau fermentasi ini akan bertindak seperti probiotik, iaitu melindungi mikrobioma badan dan menyokong pertumbuhan bakteria yang baik dan sihat pada usus. 

Umumnya, perut anda mengandungi berjuta-juta bakteria yang boleh membantu badan untuk proses pencernaan dan menyerap makanan. Bakteria ini boleh menghalang jangkitan yis, membantu masalah cirit-birit dan sembelit serta berpotensi untuk membantu merawat masalah kesihatan berkaitan perut yang kronik, seperti penyakit Crohn. 

Terdapat kajian yang mengatakan bahawa, makanan yang menjalani proses difermentasi atau penapaian ini seperti jeruk, kimchi, sejenis jeruk sayuran popular di Korea, mengandungi probiotik yang menggalakkan kesihatan usus.

Selain bermanfaat untuk membantu memperbaiki pencernaan dan mencegah masalah kecil berkaitan kesihatan perut, terdapat beberapa kajian terhad yang mencadangkan probiotik di dalam jeruk ini turut bermanfaat untuk membantu masalah kesihatan lain, seperti:

Jeruk Adakah ia Baik untuk Kesihatan - jeruk timun

  • Mengurangkan gejala kemurungan dan kegelisahan
  • Merawat kaviti dan gingivitis
  • Menguruskan diabetes
  • Mencegah atau merawat alahan
  • Mengurangkan jangkitan saluran kencing
  • Menurunkan risiko beberapa jenis kanser, seperti kanser kolon

Penyelidikan lain yang dijalankan juga menunjukkan bahawa probiotik dapat berfungsi untuk meningkatkan kesihatan kulit, fungsi imun badan, meningkatkan kesihatan gastrousus yang lebih baik. Kesemua penyelidikan ke atas makanan ini masih di peringkat awal dan masih terdapat banyak penyelidikan lain yang perlu dijalankan untuk membuktikan manfaat makanan ini sebelum sebarang kepastian mengenai kesan-kesan kesihatan probiotik bagi jangka masa panjang. 

Walaupun pada hakikatnya masih banyak penyelidikan yang perlu dilakukan untuk mengesahkan kenyataan berikut, namun sekurang-kurangnya, buat masa ini, kita percaya terdapat kebaikan dengan pengambilan makanan ini dalam jumlah yang terkawal.

Adakah Jeruk dan Jus Jeruk Sama Manfaatnya?

Jeruk telah dianggap sebagai makanan kesihatan selama berabad-abad. Julius Caesar dikatakan telah memberi pasukannya untuk makan makanan ini bagi meningkatkan kekuatan dan Cleopatra menyukainya bagi mendapatkan manfaat kecantikan. 

Jus jeruk juga dikatakan mempunyai beberapa manfaat dalam aspek kesihatan. Ia dipercayai dalam meningkatkan prestasi senaman, mengawal gula dalam darah dan lain-lain lain. Walau bagaimanapun, ia adalah tinggi kandungan garam. Jadi, adakah benar jus jeruk baik untuk kesihatan?

Apa itu Jus Jeruk?

Jeruk dikatakan mula diperkenalkan pada abad 2030 Sebelum Masihi. Ia dipercayai ditapai oleh pengembara dari India yang ingin ke Lembah Tigris. 

Proses penapaian ini hanya memerlukan tiga ramuan utama, iaitu timun, garam dan air. Timun yang melalui proses ini akan difermentasi oleh bakteria Lactobacillus, meliputi keseluruhan timun termasuk kulitnya. 

Walau bagaimanapun, bakteria probiotik yang bermanfaat ini biasanya disingkirkan ketika proses pemprosesan secara komersial dan kemudian, ditambah dengan cuka. Setelah beberapa minggu, timun tersebut akan bertukar menjadi jeruk dan sedia untuk dimakan. Jus yang tertinggal apabila jeruk diambil adalah dipanggil jus jeruk.

Manfaat Jeruk Dan Jusnya untuk Kesihatan

Seperti yang disebut berulang-ulang kali, manfaat makanan ini adalah terletak pada kandungan probiotiknya. Adakah itu sahaja manfaat jeruk? Bagi peminat makanan ini, jangan khuatir. Selain manfaat probiotik, jeruk dipercayai dapat menawarkan manfaat kesihatan lain, seperti:

  1. Memulihkan keseimbangan elektrolit

Elektrolit adalah garam yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan sihat. Apabila seseorang individu mengalami masalah dehidrasi, mereka juga berkemungkinan kehilangan elektrolit. 

Jeruk seperti yang diketahui adalah tinggi dengan kandungan natrium, dan oleh sebab itu, mereka juga tinggi elektrolit. Secara teorinya, ini menunjukkan jus jeruk mungkin menjadi pilihan untuk memulihkan elektrolit kepada individu yang mengalami demam, muntah atau dehidrasi.

Sesetengah atlet memilih mengambil jus ini untuk membantu memulihkan elektrolit mereka selepas melakukan senaman. Namun, tiada bukti untuk mengesahkan bahawa jus ini adalah pilihan yang lebih baik berbanding air atau minuman elektrolit lain. Walau bagaimanapun, bagi individu yang menggemari jus jeruk ini, pengambilan dalam jumlah yang kecil mungkin boleh dianggap sebagai alternatif yang menyelerakan. 

  1. Merawat kekejangan otot

Jeruk Adakah ia Baik untuk Kesihatan - kejang otot

Satu penyelidikan lama yang dijalankan pada 2010 menunjukkan bahawa makanan yang melalui proses penapaian ini boleh membantu merawat masalah kekejangan otot. 

Dalam kajian tersebut, seorang atlet lelaki yang mengalami kekejangan otot serta masalah terhidrat diberikan minum air jus jeruk. Seminggu selepas itu, atlet tersebut dapat pulih dengan kadar yang lebih pantas daripada masalah kekejangan yang dihadapi.

Air berkhasiat (deionized water) tidak menawarkan faedah yang sama, yang membawa maksud bahawa elektrolit dan status penghidratan sahaja tidak dapat menjelaskan hasilnya. Ini bermakna terdapat sesuatu di dalam makanan ini yang dipercayai dapat membantu merawat kekejangan otot selain kandungan air atau elektrolit.

  1. Mengawal gula dalam darah

Penghasilan makanan ini yang menggunakan air garam berasaskan cuka dikatakan boleh membantu mengawal glukosa dalam darah. Tahap glukosa dalam darah yang stabil boleh membantu mengatasi dan mencegah rasa lapar yang keterlaluan. Mencegah peningkatan gula dalam darah juga adalah amat penting untuk kesihatan mereka yang menghidapi diabetes.

Pada tahun 2013, dalam satu kajian kecil telah dijalankan terhadap 14 individu dewasa sihat yang berisiko menghadapi masalah diabetes jenis 2. Peserta yang mengambil cuka pada waktu hidangan makan mempunyai kadar gula dalam darah normal berbanding individu yang tidak. 

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan tahap manfaat dan jumlah cuka yang paling selamat untuk dimakan. Walau bagaimanapun, bagi individu yang berminat dengan cara yang mudah untuk membantu mengawal gula dalam darah, mungkin boleh mempertimbangkan untuk makan jeruk atau makanan yang kaya dengan cuka. Tapi apa yang penting, pastikan ia dalam jumlah yang terkawal!

  1. Memberikan antioksidan

Sama seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, makanan yang melalui proses penapaian ini turut mengandungi fungsi antioksidan. Kajian di makmal menunjukkan bahawa antioksidan dapat mengatasi kesan radikal bebas.

Radikal bebas adalah bahan kimia dalam badan yang boleh memainkan peranan dalam perkembangan pelbagai masalah kesihatan. Ia adalah termasuk seperti kanser, keradangan, penyakit jantung dan pelbagai masalah penyakit kronik lain. Radikal bebas juga dipercayai boleh menyumbang kepada masalah berkaitan dengan isu penuaan. 

Banyak kajian yang mengaitkan antioksidan untuk memberikan tahap kesihatan yang lebih baik. Sebagai contoh, kajian Cochrane pada 2017, mendapati bahawa makanan tambahan antioksidan mungkin dapat membantu mengurangkan masalah kemerosotan makula yang berkaitan dengan usia yang merupakan punca utama kebutaan. 

  1. Kehamilan

Keinginan ingin memakan sesuatu yang masam adalah perkara biasa ketika kehamilan. Ini terutamanya ketika sedang dalam tempoh kehamilan trimester pertama yang sering kali berdepan dengan masalah morning sickness. Walaupun pengambilannya dapat membantu mengatasi rasa loya dan mual, tetapi pastikan anda tidak menngambilnya secara berlebihan. Atau mungkin anda boleh menggantikan keinginan untuk memakan makanan jeruk dengan buah-buahan yang mempunyai rasa masam seperti kiwi hijau, mangga muda (bukan jeruk), dan buah oren. 

Kesan Sampingan 

Walaupun terdapat manfaat daripada jeruk dan jusnya, namun, pastinya ia bukanlah sejenis makanan dan minuman yang sesuai untuk setiap individu. Berikut adalah beberapa kesan sampingan yang perlu anda pertimbangkan sebelum mengambilnya dalam diet pemakanan harian anda. 

  1. Keasidan

Ia boleh menyebabkan masalah bagi individu yang mempunyai masalah berkaitan gout.

  1. Tekanan darah yang lebih tinggi 

Jeruk Adakah ia Baik untuk Kesihatan - tekanan darah

Apabila anda mengekalkan air daripada makanan yang mengandungi garam yang tinggi, tekanan darah anda pastinya akan meningkat naik.

  1. Masalah pencernaan

Pengambilan jus jeruk yang terlalu banyak boleh menyebabkan gas yang cenderung mengakibatkan perut kembung, sakit perut dan cirit-birit.

  1. Kekejangan 

Sesetengah doktor bimbang mengenai pengambilan jus jeruk yang berkemungkinan boleh menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit dan memburukkan lagi masalah kekejangan. Namun, buat masa ini tiada kajian yang boleh menyokong kemungkinan ini. 

  1. Natrium tinggi

Kandungan garam yang terlalu tinggi boleh menyebabkan pengekalan air, bengkak dan kembung. Seperti yang kita semua sedia maklum, pengambilan garam dalam jumlah yang tinggi dan besar adalah amat tidak digalakkan. Ini kerana ia boleh meningkatkan risiko hipertensi dan penyakit jantung. 

Sebagaimana yang disarankan WHO (Pertubuhan Kesihatan Dunia), pengambilan garam dalam diet hidangan pemakanan harian yang disyorkan adalah 5 gram (g) atau satu sudu teh yang jauh lebih kecil berbanding kandungan garam dalam satu sudu teh jeruk. 

Jika anda ingin memakannya, semestinya buatan sendiri adalah lebih baik dari aspek kualitinya kerana kandungan garam dalam dihadkan, berbanding yang dihasilkan secara komersial yang menggunakan bahan kimia seperti natrium benzoat (Sodium benzoate) yang sangat berbahaya. Untuk maklumat umum, natrium benzoat adalah karsinogen yang berpotensi kerana ia menghalang sel-sel oksigen dan memecahkan sistem imun, sekali gus berisiko menyebabkan kanser.

  1. Kandungan minyak tinggi

Selain dihasilkan dengan garam dan cuka, sesetengah penghasilan makanan ini turut menggunakan minyak. Apabila jeruk ingin dibuat, sayur-sayuran akan direndam dalam minyak. Ini kerana minyak dalam bertindak untuk menghalang kelembapan daripada tersingkir. Penggunaan minyak juga dikatakan dapat menghalang pencemaran yang disebabkan oleh bakteria dan kulat yang pada umumnya akan menyebabkan makanan menjadi rosak dan busuk. 

Jeruk Adakah ia Baik untuk Kesihatan - berminyak

Tetapi jangan dilupakan, walaupun minyak membantu dalam proses penghasilan makanan ini, ia juga dalam masa yang sama meningkatkan kadar kolesterol anda. Ini bermaksud anda juga mengalami risiko terkena penyakit jantung atau ia akan memburukkan lagi tahap kesihatan berkaitan jantung anda. Tahap kolesterol yang tinggi juga cenderung untuk merosakkan hati untuk jangka masa panjang. 

  1. Cenderung gastrik

Dalam satu kajian yang dilakukan di Selatan India, penyelidikan terhadap sekumpulan individu yang mempunyai corak pemakanan dan latar belakang sosio ekonomi yang sama, menunjukkan pengambilan sayur-sayuran jeruk cenderung untuk meningkatkan risiko gastrik.

Hadkan Pengambilan

Mungkin terdapat penyelidikan yang membuktikan bahawa jeruk dan jusnya mungkin berkesan dalam merawat beberapa masalah kesihatan seperti kekejangan dan membantu pengawalan gula dalam darah. 

Namun, pada hakikatnya, tiada sebarang makanan tunggal boleh menyembuhkan penyakit atau memperbaiki pelbagai masalah kesihatan. Makanan ini bukanlah sejenis makanan keajaiban atau istimewa. 

Tetapi bagi individu yang gemarkan rasanya, mungkin boleh menjadikan ia sebagai makanan tambahan yang baik untuk pengambilan diet makanan yang berkhasiat. Walau bagaimanapun, pastikan anda mengehadkan pengambilannya dalam sehari. Bahaya jika berlebihan!

Manakala, bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, gangguan metabolik, atau ketidakseimbangan nutrisi, sebaiknya sebelum anda melakukan sebarang perubahan dalam diet pemakanan harian anda, dapatkan nasihat dan berbincanglah dengan doktor mahupun pakar pemakanan anda terlebih dahulu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.