Para pengkaji juga mendapati bahawa luka yang dirawat dengan CAE juga mengalami proses pembentukan lapisan epitelium yang lebih laju dan pengecutan luka yang lebih baik berbanding luka yang tidak dirawat dengan CAE.
Asiaticoside, salah satu bahan aktif yang terdapat dalam pegaga, dilaporkan membantu untuk meningkatkan pembentukan kolagen di kawasan luka di samping merangsang proses pembentukan salur darah yang baru (angiogenesis). Bahan ini juga membantu untuk menambah baik kekuatan tegangan tisu di kawasan luka, secara tidak langsung menyokong penyembuhan dan pembentukan kulit baru.
Selain itu, asiaticoside juga dikenal pasti berupaya untuk menambah baik masalah kebocoran salur darah kapilari ketika luka dan menghalang atau menekan proses keradangan.
Proses keradangan yang berlaku dalam luka dikaitkan dengan pembentukan parut hipertropi. Lebih sekadar mempercepatkan penyembuhan luka, asiaticoside yang terdapat dalam CAE turut membantu dari aspek kosmetik luka.
Keupayaan untuk merangsang penyembuhan luka ini turut diperhatikan dalam kajian yang membabitkan penyembuhan luka jenis lengah (delayed-type wound healing). Rumusan kajian-kajian yang dilakukan adalah ekstrak CAE membantu merangsang penyembuhan luka dengan lebih baik dan cepat pada pelbagai fasa penyembuhan di samping mempunyai tindakan positif kepada aspek kosmetik luka.
Mempunyai sifat perlindungan kepada sistem saraf (neuroprotective)
Ekstrak pegaga dikatakan mempunyai sifat perlindungan yang baik untuk sistem saraf akibat daripada kandungan kompaun antioksidan yang terdapat di dalamnya. Memandangkan kesan stres oksidatif dan juga gangguan dalam mekanisma antioksidan semula jadi badan memainkan peranan penting dalam pembentukan penyakit kognitif seperti penyakit Alzheimer (AD) jenis sporadik, ekstrak Centella asiatica (CAE) melalui tindakan antioksidannya dikatakan berpotensi untuk mencegah defisit kognitif hasil daripada pendedahan kronik kepada radikal bebas.
Sebagai contoh, satu kajian yang melihat tindakan terbitan bahan asiaticoside menentang kesan toksik beta-amyloid pada kultur sel dan juga hirisan bahagian hippocampus mendapati ia berupaya untuk menghalang kematian sel yang dicetuskan oleh radikal bebas dan juga daripada pendedahan kepada beta-amyloid.
Pendedahan kepada beta-amyloid merupakan salah satu mekanisma yang membawa kepada terjadinya penyakit Alzheimer. Terbitan kompaun asid asiatik yang terdapat dalam ekstrak pegaga juga menunjukkan kesan perlindungan saraf yang signifikan pada sel kortikal otak dengan cara menguatkan mekanisma perlindungan oksidatif sel.
Dalam satu kajian lain yang membabitkan tikus yang telah diberikan streptozotocin untuk mencetuskan gangguan kognitif dan stres oksidatif, CAE telah diberikan (100, 200 dan 300 mg/kg selama 21 hari) sebagai rawatan untuk melihat keupayaan CAE untuk menambah baik fungsi kognitif tikus tersebut di samping menzahirkan keupayaan antioksidan yang terdapat di dalamnya.
Dalam kaitan yang bergantung kepada dos (dose-dependent relationship), tikus-tikus yang telah dirawat tersebut didapati berupaya untuk menunjukkan peningkatan fungsi kognitif mereka.
Penurunan paras malondialdehyde (MDA) yang signifikan dan juga peningkatan paras antioksidan glutathione dan enzim catalase diperhatikan dalam tikus-tikus yang dirawat dengan 200 dan 300 mg/kg CAE. Kompaun-kompaun yang terdapat dalam CAE ini terbukti berkesan dalam memberi perlindungan kepada sel-sel saraf daripada kecederaan oksidatif.
Pencegahan strok sekunder dan peningkatan keupayaan kognitif pasca-strok
Strok, atau dikenali sebagai angin ahmar dalam warga tempatan, boleh mengakibatkan penurunan keupayaan kognitif. Kekerapan gangguan kognitif selepas strok iskemia ini berada pada julat 20 hingga 30%, dengan risiko yang meningkat dalam dua tahun pertama selepas diserang strok.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen