Nota Pengarang: Minggu Kesedaran Otak 2019

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penyakit Alzheimer (AD) merupakan sejenis penyakit demensia yang biasa berlaku di mana ia merupakan satu sindrom kehilangan fungsi otak yang boleh menyebabkan kehilangan memori, kebolehan berfikir dan berkomunikasi.

Penyakit ini seringkali dihidapi oleh warga emas berusia 65 tahun ke atas dan sering dihubungkaitkan dengan penggumpulan protein dalam sel saraf. Kehadiran protein tersebut telah menyebabkan kegagalan fungsi sel saraf.

Minggu ini, bermula 11 hingga 17 Mac, merupakan Minggu Kesedaran Otak, sebuah kempen global yang mempromosi kajian terhadap otak dan bagaimana ia dapat memanfaatkan masyarakat global. Perlunya satu strategi yang ampuh dan kaedah percubaan klinikal ke atas pesakit AD dengan keberkesanan rawatan teruji sewajarnya, memandangkan ia semakin relevan dengan populasi global yang semakin menua.

[BACA: Alzheimer dalam Kalangan Warga Tua, Apa yang Anda Perlu Tahu]

Menurut Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (2016), mengunjurkan terdapat 50 ribu pesakit menghidap AD di Malaysia. Diramalkan bilangan golongan warga emas yang menghidap penyakit ini akan menjadi dua kali ganda bagi setiap 20 tahun di seluruh dunia. Amat mendukacitakan kerana di Malaysia ramai beranggapan bahawa AD atau demensia adalah sebahagian daripada proses penuaan, maka mereka tidak didiagnosis dan mendapat nasihat perubatan bagi menambah baik kualiti hidup disebabkan penyakit ini.

Menurut sebuah kajian oleh Tsolaki (2009) mendapati waris atau penjaga (caregiver) mengambil masa lebih daripada 16 bulan bagi mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan di mana ia adalah diakibatkan oleh salah tanggapan mereka mengenai demensia yang sering dianggap sebagai satu tanda penuaan.

Ini merupakan salah satu kepentingan dalam mewujudkan kesedaran dan menghapuskan stigma mengenai demensia terutama kepada waris dan penjaga. Oleh itu, AD bukan hanya menjejaskan pesakitnya, malah keluarga, rakan-rakan dan penjaga. Bagi meningkatkan kualti kehidupan mereka, waris dan penjaga harus disiapsediakan dengan maklumat bagaimana mengurus pesakit supaya beban yang ditanggung mereka dapat dikurangkan.

Manakala menurut Alzheimer’s Disease International (2014), kelaziman demensia dalam kalangan warga emas Malaysia adalah 123 ribu orang pada tahun 2015.

Angka ini diramalkan akan meningkat kepada 261 ribu orang menjelang tahun 2030 dan akan terus meningkat kepada 590 ribu orang pada tahun 2050. Ini merupakan satu bukti menunjukkan demensia adalah satu penyakit yang harus dipandang serius walaupun keputusan kajian kelaziman adalah berbeza di seluruh dunia mengikut pelbagai metodologi digunakan.  

Namun begitu, terdapat angka terhad mengenai kajian kelaziman demensia di Malaysia. Kajian dijalankan ke atas komuniti luar bandar di Selangor dalam kalangan peserta berbangsa Melayu berusia lebih 60 tahun mempunyai kelaziman ketidakupayaan kognitif sebanyak 22.4%. Kelaziman demensia bagi komuniti bandar adalah sebanyak 6% yang dijalankan di Kuala Lumpur dalam kalangan golongan warga emas berbangsa Melayu.

[BACA: Tahap Demensia Yang Perlu Anda Tahu]

Kepentingan penyelidikan mengenai otak berkait dengan AD dilakukan dengan lebih mendalam

Satu kajian pada tahun 2017 menggunakan kaedah pengimejan resonans magnetik bagi membandingkan AD dengan gangguan bipolar; iaitu sejenis keadaan mental dengan simptom kelakuan dan kognitif yang sama. Pengkaji mendapati AD adalah dikaitkan dengan lebih banyak gangguan di bahagian otak terutama di bahagian pemprosesan emosi dan pengecaman objek berbanding gangguan bipolar. Gangguan ini adalah diakibatkan oleh penyusutan sel saraf yang akhirnya menjejaskan kelakuan dan ketidakupayaan emosi.

Satu percubaan dan kajian sedang giat dijalankan bagi menyiasat potensi faktor-faktor yang berhubungkait dengan AD dan kadar perkembangannya menggunakan soal-jawab, ujian darah, pengimejan otak dan sejarah pesakit. Pengkaji berharap dengan penanda-bio (biomarker) yang dikenalpasti, keadaan episodik (berulang) atau faktor gaya hidup yang berisiko terhadap AD, akan lebih memudahcara rawatan bermaklumat dan pelan penjagaan pesakit di masa hadapan.

Penyelidikan otak mengenai AD dapat meningkatkan kefahaman kita mengenai penyakit ini dan sangat bermanfaat dalam membentuk rawatan dengan potensi lebih baik.

Kaedah Rawatan yang digunapakai ketika ini

Satu kajian baru-baru ini, telah melatih pesakit AD dengan kaedah ‘chunking’, iaitu teknik memori yang melibatkan pengecaman dan kemudian pemampatan corak maklumat. Secara purata, pesakit yang dilatih, dapat mengingati turutan yang mempunyai 6.3 nombor manakala pesakit yang tidak dilatih hanya dapat mengingati turutan yang mempunyai 5.8 nombor. Tambahan pula, latihan tersebut adalah dihubungkait dengan penyusutan aktiviti fungsi otak di bahagian memori bekerja. Ini menunjukkan kurangnya usaha yang diperlukan bagi mengingati turutan tersebut.

Percubaan SOUVENIR 2010 pula mengkaji sama ada minuman yang direkabentuk bagi pembentukan semula sel saraf dapat meningkatkan fungsi kognitif dalam kalangn pesakit dengan AD tidak serius. Setelah 12 minggu, 40% pesakit yang mengambil minuman tersebut setiap hari, telah meningkatkan keupayaan mereka untuk mengenalpasti semula perkataan. Ini berbanding hanya 24% pesakit daripada kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun, ketika percubaan seterusnya pada tahun 2017, mendapati minuman tersebut dikaitkan dengan penyusutan kognitif yang sedikit, ia didapati tidak mempunyai impak signifikan ke atas proses memperlahankan demensia.

Penyelidikan otak adalah sangat penting demi pembangunan rawatan untuk AD tetapi persoalan utama yang sering ditanya adalah berapa banyak kajian yang perlu dilakukan sehingga membuahkan penawar?

Adakah penawarnya telah ditemui?

Percubaan AD2000 yang dilakukan pada 2008 telah memberi aspirin kepada pesakit AD. Kajian terdahulu telah mendedahkan AD jarang berlaku kepada pengguna aspirin. Sebagai rekod, aspirin mengurangkan pembekuan darah, di mana dapat meningkatkan risiko kepada AD.

Bagaimanapun, rawatan selama 2 tahun menggunakan aspirin tidak memberi manfaat kepada pesakit malah meningkatkan risiko pendarahan yang teruk.

Begitu juga halnya mengenai Percubaan DARAD pada tahun 2013 yang mendapati rawatan selama 12 bulan menggunakan dua jenis antibiotik yang dikaitkan dengan kemerosotan ketara hasil kognitif.

Manakala Percubaan NILVAD pada 2018 mendapati rawatan selama 18 bulan dengan ubat tekanan darah mempunyai hubungkait dengan penyusutan kognitif sedikit dalam kalangan pesakit AD yang tidak kritikal berbanding pesakit yang tidak dirawat, tetapi penyusutan ketara dalam kalangan pesakit AD sederhana. Percubaan klinikal ke atas rawatan dan penawar bagi AD adalah masih berterusan. Percubaan DESPIAD kini menguji sama ada ubat CPHPC merawat AD dengan berkesan dan mengurangkan komponen plak yang ditemui dalam otak yang terkesan akibat AD. Para saintis berharap agar keputusan percubaan ini akan membuahkan hasil positif yang signfikan.

[BACA: Penyelidikan Ubat Untuk Alzheimer Mungkin Menawarkan Harapan Kepada Pesakit]

Apakah cabaran dalam mendepani kesihatan otak dan penyakit Alzheimer di Malaysia?

Sepertimana data yang dikongsikan di atas, kini semakin ramai warga emas Malaysia menghidapi AD dan ini merupakan satu beban kepada masyarakat dan pesakitnya.

Kelewatan dalam pengesanan AD akan menjerumus kepada kualiti kehidupan yang menyusut dan bakal mengakibatkan tekanan yang berlebihan kepada keluarga pesakit AD.

Tambahan pula, ini dapat menghalang mereka yang menghidap demensia dan waris penjaga mereka daripada mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kebajikan masyarakat kerana mereka tidak mengetahui akan bantuan yang sedia ada kerana tidak mahu dianggap sebagai lepas tangan terhadap ahli keluarga yang terkesan akibat demensia. Selain itu, terdapat juga masalah lain yang membelenggu mereka seperti komitmen dan kos penjagaan pesakit.

[BACA: Penjagaan Ibu Bapa Menghidap Alzheimer]

Stigma juga satu masalah yang memainkan peranan penting dalam menentukan tindakan waris penjaga dalam menghadapi demensia dalam kalangan ahli keluarga yang sudah berusia. Satu kajian bagi memahami demensia dalam kalangan etnik minoriti dan kumpulan kecil (2007) yang meneroka persepsi masyarakat mengenai proses penuaan dan demensia telah menunjukkan stigma dan kejahilan yang menghalang pesakit AD mendapatkan bantuan.

Kajian tersebut turut disokong oleh satu lagi kajian mengenai stigma dan demensia dalam kalangan keluarga Eropah Timur dan Asia Selatan (2006) di mana waris penjaga mengakui mempunyai ahli keluarga yang menghidap demensia akan mengundang kecaman daripada masyarakat. Akibatnya, terputus jaringan sosial yang penting dalam memastikan sistem sokongan bagi memastikan pesakit demensia tidak rasa terasing yang akhirnya menyusutkan kualiti kehidupan mereka.

[BACA: Ubat Anti-Demensia, Meredakan Simptom Tingkah Laku dan Psikologi Dalam Demensia]

Sehingga kini, terdapat pelbagai komuniti kesihatan dan perkhidmatan sokongan tersedia bagi membantu warga emas yang menghidap demensia dan waris penjaga mereka. Perkhidmatan tersebut adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat. Perkhidmatan yang disediakan oleh mereka adalah seperti penjagaan kesihatan, panduan dan kaunseling, perkhidmatan rekreasi, khidmat nasihat berdasarkan ajaran agama dan perkhidmatan kebajikan. Kebajikan disini adalah berdasarkan konteks bantuan kewangan dan institusi penjagaan bagi pesakit demensia yang tidak mempunyai keluarga dan waris.

Walaupun komuniti kesihatan bagi AD yang dijuarai oleh pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan menawarkan banyak perkhidmatan dan penjagaan paliatif di mana ketersediaan pasukan perubatan yang merangkumi pakar perubatan, jururawat, jurufarmasi, ahli psikologi klinikal dan ahli terapi pekerjaan adalah berada pada tahap terbaik. Perkhidmatan paliatif ini juga ditawarkan bagi penjagaan di rumah mengikut keperluan pesakit.

[BACA: Penjagaan Paliatif: Bantu Pesakit Berasa Lebih Baik]

Di sebalik perkembangan positif mengenai perkhidmatan dan penjagaan yang tersedia bagi pesakit dan waris penjaga, namun begitu penjagaan psikiatrik adalah sangat terhad terutama bagi masyarakat di luar bandar.

Begitu juga halnya mengenai kualiti dan kredibiliti tenaga kerja profesional dalam bidang penjagaan kesihatan khususnya kesihatan mental. Penyediaan perkhidmatan kesihatan mental dalam masyarakat majmuk berbilang kaum adalah sesuatu yang mencabar. Perbezaan dalam fahaman agama, bahasa dan persepsi mengenai keadaan mental adalah berbeza mengikut kumpulan etnik yang memberi pola berbeza bagaimana mereka mendapatkan bantuan.

Malaysia masih lagi baru dalam pengurusan warga emas, namun kerajaan sangat komited dalam meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan bagi warga emas yang menghidap demensia. Pelbagai perkhidmatan dan insentif diperkenalkan demi manfaat pesakit dan waris penjaga. Namun begitu, semua ini hanya akan jadi sia-sia jika tidak mendapat sambutan daripada kumpulan sasar.

Maka, adalah menjadi keutamaan bagi semua pemegang taruh untuk memastikan usaha berterusan promosi, kesedaran dan peningkatan kefahaman masyarakat dan sektor kesihatan awam mengenai demensia dan AD. Ini dapat dicapai menerusi latihan komprehensif untuk jururawat, pakar perubatan, pakar geriatik dan sebagainya. Selain itu, komunikasi antara pesakit dan waris penjaga adalah penting bagi memupuk pemahaman yang lebih baik mengenai penyakit ini, perkembangannya, perkhidmatan yang tersedia dan sumber lain. Kerajaan dan sektor swasta juga harus berganding bahu dalam mempromosikan kehidupan berkualit ke arah usia emas sihat.

Pesanan umum mengenai otak buat masyarakat

AD memberi kesan kepada fungsi otak. Ini bermakna ia menyerang organ paling penting yang dapat memberi fungsi logik dan membentuk persepsi kita kepada dunia.  Otak kita adalah merangkum segalanya mengenai kita; pemikiran, memori dan emosi kita. Boleh diringkaskan, diri kita adalah cerminan otak kita.

Penyelidikan mengenai otak telah menjadikan pemahaman kita yang lebih mendalam mengenai AD, di mana membawa kita semakin hampir dengan rawatan dan penawar yang berpotensi menghasilkan hasil positif.

[BACA: Kenali Bahagian Otak Anda Yang Membentuk Memori]

[BACA: Alzheimer dan Demensia: Mengapa Ingatan Terhadap Muzik Tidak Boleh Hilangkan?]

[BACA: Gelombang Otak – Rentak-Rentak Minda]

Walau bagaimanapun, jumlah percubaan klinikal dengan keputusan negatif menunjukkan pemahaman kita mengenai AD masih lagi samar-samar.

Namun begitu, anda juga boleh mengambil langkah proaktif dalam memastikan kesihatan otak dan mental sentiasa berada dalam keadaan terbaik dengan mengamalkan gaya hidup sihat mengambilkira daya tumpuan otak yang lebih baik agar sel-sel saraf aktif, sekaligus mengurangkan faktor risiko kepada demensia dan AD.

[BACA: 12 Cara Meningkatkan Tumpuan]

[BACA: Pemakanan Sihat Untuk Kesihatan Mental]

[BACA: Tabiat Buruk yang Boleh Menjejaskan Otak Anda]

Sempena Minggu Kesedaran Otak, mari kita renung sejenak untuk menghargai dan bersyukur kerana dikurniakan otak; satu organ ajaib, malah tunjukkan juga sokongan kita kepada para penyelidik perubatan dan tulang belakang sektor kesihatan awam yang bekerja keras (menerusi kajian rawatan, ubat-ubatan dan penjagaan primer) demi memastikan kita terus menikmati fungsi otak selagi nyawa masih di badan.

~Pengarang, Hello Doktor.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut