“Melupakan” Lebih Banyak Menggunakan Aktiviti Otak Berbanding “Mengingati”

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Melupakan sesuatu lebih mudah daripada kekal mengingatinya. Tetapi benarkah pernyataan tersebut? Kajian terbaharu mendedahkan bahawa dengan memilih untuk melupakan sesuatu berkemungkinan memerlukan lebih banyak usaha mental berbanding untuk mengingatinya berdasarkan penemuan melalui kajian neuroimaging, proses menghasilkan imej struktur atau aktiviti otak atau bahagian lain sistem saraf dengan teknik seperti pengimejan resonans magnetik atau tomografi berkomputer.

Kajian bertajuk “More is Less: Increased Processing of Unwanted Memories Facilitates Forgetting” telah dijalankan oleh penyelidik di The University of Texas at Austin dan telah diterbitkan pada Mac 2019 dalam Journal of Neuroscience. Dalam kajian tersebut, penyelidik menyatakan bahawa untuk melupakan sesuatu perkara atau pengalaman yang tidak dikehendaki, lebih banyak perhatian diperlukan untuk memberi fokus terhadapnya. Hasil kajian yang mengejutkan ini memanjangkan kajian terdahulu berkenaan lupa yang disengajakan, yang memberi tumpuan kepada mengurangkan perhatian kepada maklumat yang tidak diingini dengan mengarahkan perhatian dari pengalaman yang tidak diingini atau menekan kembali pengambilan memori.

Jarrod Lewis-Peacock, pengarang utama kajian yang juga pensyarah di universiti tersebut menyatakan, telah banyak kajian dilaksanakan yang menunjukkan bahawa kita mempunyai kebolehan untuk melupakan sesuatu secara seukarela, tetapi bagaimana otak kita melakukannya masih menjadi satu persoalan. Sebaik sahaja kita menemui cara bagaimana memori dilemahkan dan merangka cara untuk mengawalnya, kita boleh mereka rawatan untuk membantu manusia menyingkirkan sebarang memori yang tidak diingini olehnya. Beliau turut menyatakan bahawa memori tidak bersifat statik dan memori adalah binaan dinamik otak yang sentiasa dikemaskini, diubah dan disusun kembali melalui pengalaman. Otak sentiasa mengingati dan melupakan maklumat, dan kebanyakannya berlaku semasa tidur.

Dengan menggunakan neuroimaging untuk menjejaki corak aktiviti otak, penyelidik telah menunjukkan beberapa imej pemandangan dan wajah kepada sekumpulan individu dewasa sihat, mengarahkan mereka untuk samada mengingati mahupun melupakan setiap gambar. Kajian tersebut bukan sahaja mengesahkan bahawa manusia mampu untuk mengawal apa yang mereka lupakan, tetapi kejayaan melupakannya dengan sengaja memerlukan aktivti otak “tahap yang sederhana” dikawasan deria dan persepsi, iaitu memerlukan lebih banyak aktiviti berbanding apa yang diperlukan untuk proses mengingati. Tracy Wang, pengarang utama kajian dan felo pasca kedoktoran psikologi di universiti yang sama menyatakan, aktiviti otak di tahap yang sederhana adalah kritikal bagi mekanisme “melupakan” ini. Sekiranya aktiviti itu terlalu kuat, ia akan menguatkan memori; sekiranya ia terlalu lemah, aktiviti otak tidak dapat membuat sebarang perubahan.

Penyelidik turut menemui bahawa responden lebih mudah untuk melupakan gambar pemandangan berbanding gambar wajah, yang mana boleh membawa lebih banyak informasi yang bersifat emosi. Penyelidik turut menyatakan sedang membuat kajian bagaimana mekanisme didalam otak kita memberi respon terhadap pelbagai jenis maklumat yang berbeza dan ia memerlukan lebih banyak kajian pada masa hadapan. Kajian-kajian seperti ini membantu kita memahami bagaimana kita memproses maklumat, dan menyingkirkannya sebarang memori bersifat emosi yang terlalu kuat yang memberikan kesan yang terlalu besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut