backup og meta

Suka Ambil Makanan Segera, Hati-Hati Ia Boleh Membawa Kepada Penyakit Kronik, Kajian

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/10/2020

    Suka Ambil Makanan Segera, Hati-Hati Ia Boleh Membawa Kepada Penyakit Kronik, Kajian

    Artikel ini akan membincangkan dengan terperinci bagaimana pengambilan makanan segera yang kerap boleh membawa kepada terjadinya penyakit kronik. Di samping tu, artikel ini juga akan mengupas isu berkaitan bebanan penyakit kronik di dunia dan juga di Malaysia.

    Peningkatan insiden penyakit kronik dan bebannya terhadap sistem kesihatan

    Penyakit-penyakit kronik (turut dikenali sebagai penyakit tidak berjangkit) seperti penyakit jantung, kencing manis (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hipertensi), penyakit mental dan juga kanser, menyumbang kepada 47% daripada keseluruhan beban penyakit dunia dan 60% daripada keseluruhan punca kematian. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 80% daripada keseluruhan kematian akibat daripada penyakit-penyakit kronik berlaku dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Daripada jumlah tersebut, 50% kematian berlaku secara pramatang dalam kalangan mereka yang berusia bawah 70 tahun. Di Malaysia, penyakit-penyakit kronik ini telah lama menjadi satu cabaran dan beban untuk negara. Seawal tahun 2000, laporan pertama Kajian Kecederaan dan Beban Penyakit Rakyat Malaysia telahpun melaporkan penyakit jantung dan penyakit serebrovaskular sebagai dua punca kematian utama untuk kedua-dua jantina. Pada tahun 2002 pula, WHO mengeluarkan statistik yang menunjukkan bahawa sekitar 71% daripada keseluruhan kematian di Malaysia (pada tahun tersebut) adalah disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit.

    Peningkatan insiden penyakit kronik dalam kalangan rakyat Malaysia ini meletakkan beban yang berterusan kepada sistem kesihatan disebabkan oleh dua perkara – sifat kronik penyakit tersebut dan juga usaha kerajaan untuk memenuhi permintaan rawatan penyakit-penyakit tersebut. Untuk menjelaskan sifat kronik penyakit tidak berjangkit ini dan bagaimana ianya metelakkan beban kepada kewangan dan tenaga kerja yang berterusan, kita gunakan penyakit tekanan darah tinggi sebagai contoh. Penyakit tekanan darah tinggi ini meletakkan penghidap itu berisiko untuk mengalami komplikasi seperti strok, serangan jantung, kegagalan jantung dan juga kegagalan buah pinggang. Memandangkan tiada rawatan untuk mengundurkan semula kerosakan dalam keupayaan dinding salur darah untuk melakukan adaptasi, rawatan menggunakan ubat antihipertensi yang ada hanyalah sekadar untuk mengawal tekanan darah demi mencegah atau melengahkan komplikasi yang tidak diingini. Oleh yang demikian, pesakit tersebut perlulah mengambil ubat antihipertensi setiap hari untuk jangka masa yang lama ataupun untuk sepanjang hayat mereka. Sifat kronik ini menyebabkan kos yang berterusan terpaksa diserap demi menanggung kos ubat yang diberi untuk jangka masa yang lama. Sekiranya mereka mendapatkan rawatan daripada sektor swasta dan membayar menggunakan wang sendiri sekalipun, sifat kronik penyakit mereka ini akan menjadi beban kewangan dan juga fizikal yang berterusan. Gandakan bilangan pesakit ini dan dicampur pula dengan unjuran peningkatan bilangan penghidap penyakit kronik, ianya menjadi satu sifir yang mudah untuk kita fahami bagaimana ianya membebankan dari sudut kewangan. Beban ini akan lebih teruk sekiranya komplikasi telahpun berlaku. Komplikasi seperti kegagalan buah pinggang bukan sahaja mengganggu kualiti kehidupan, kekerapan hemodialisis 3 kali seminggu itu juga akan menyebabkan kos yang berganda yang terpaksa ditanggung.

    Bagi alasan kedua pula, ianya berkait rapat dengan peningkatan bilangan penghidap penyakit kronik di Malaysia. Untuk memenuhi keperluan rawatan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa menambah, menaiktaraf dan meyelenggara kemudahan dan institusi seperti klinik kesihatan dan hospital bagi memenuhi peningkatan bilangan pesakit yang ada. Kerajaan bergantung kepada wang cukai rakyat demi memastikan ekonomi negara berkembang pesat dan rakyat mampu menikmati taraf kehidupan yang tinggi dan selesa. Sebahagian daripada kehidupan yang tinggi dan selesa ini adalah dengan penyediaan servis kesihatan yang memuaskan. Untuk tujuan itu, bajet KKM sentiasa meningkat dari tahun ke tahun demi memastikan objektif tersebut dicapai. Pada tahun 2018, bajet kesihatan telah meningkat sebanyak 9% berbanding tahun sebelumnya, kepada RM 26.58 bilion. Jumla ini terus meningkat kepada RM 29 billion pada tahun 2019, peningkatan sebanyak 7%.

    Peranan makanan segera dengan penyakit kronik

    Terdapat dua faktor yang menyumbang kepada keterjadian penyakit-penyakit kronik pada seseorang. Dua faktor yang dimaksudkan itu adalah faktor kendiri dan juga faktor persekitaran. Faktor kendiri merujuk kepada faktor yang lazimnya tidak dapat diubah, seperti kecenderungan genetik, sejarah keluarga, umur dan jantina. Oleh yang demikian apabila bercakap tentang pencegahan, faktor persekitaran lazimnya dirujuk kerana ianya adalah faktor yang rata-ratanya boleh diubahsuai. Faktor persekitaran boleh melibatkan pelbagai perkara seperti diet kita, tahap aktiviti fizikal, keadaan sekeliling (suhu, cuaca, indeks pencemaran), kesihatan mental dan juga tabiat kita dalam menangani stres. 

    Di dalam bab dietlah di mana makanan segera memainkan peranannya terhadap keterjadian penyakit kronik. Makanan segera yang sering bermain di kaca tv mahupun terpampang di dada akhbar, mengandungi gula, garam, bahan pengawet dan juga membentuk kalori yang banyak. Kandungan gula, atau glukosa, yang tinggi dalam manisan seperti ais krim dan juga minuman berkrim yang di jual di premis makanan segera menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah dan lebih kalori yang tidak digunakan. Secara asasnya, pengambilan makanan yang tinggi dengan glukosa mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ianya digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional mengambil karbohidrat yang banyak bagi membekalkan badan mereka dengan jumlah tenaga yang tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. Namun yang demikian, rakyat Malaysia yang banyak mengambil makanan segera yang kaya dengan glukosa ini rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar, jauh sekali daripada aktiviti setara dengan para atlet.

    Tanpa aktiviti yang memerlukan kalori yang tinggi, gula berlebihan ini akan disimpan di dalam hati dalam bentuk glycogen. Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil. Selain itu, ianya juga boleh menyebabkan rintangan insulin. Susulan daripada pengambilan gula berlebihan dan rintangan insulin ini adalah penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). Selain itu, lebihan gula dalam badan juga boleh melalui proses di mana ianya akan ditukarkan menjadi lemak. Pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti. Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung.

    Selain itu, makanan segera juga mengandungi garam yang tinggi. Hidangan makanan segera seperti kentang goreng dan ayam goreng misalnya, mengandungi jumlah garam yang banyak untuk melazatkan rasanya. Dengan pengambilan garam yang tinggi ini, makanan segera berupaya untuk menyumbang kepada keterjadian penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi. Selain itu, makanan segera juga kurang mengandungi serat. Malahan, kebanyakan makanan segera tidak langsung mengandungi serat dalamnya. Serat adalah zat yang penting dan telahpun terbukti memainkan peranan yang penting dalam mencegah penyakit kronik. 

    Serat secara definisinya adalah komponen karbohidrat tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dipecahkan dan diserap oleh badan manusia. Ini kerana fisiologi badan kita tidak mempunyai enzim yang mampu untuk memisahkan ikatan antara rantaian karbohidrat tumbuhan. Peranan serat makanan dapat dibahagikan kepada tiga aspek penting iaitu penggemburan (bulking), kepekatan (viscosity) dan juga aspek penapaian (fermentation). Serat berupaya untuk meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori. Ini membolehkan serat untuk menghasilkan rasa kenyang yang sama dengan pengambilan kalori yang lebih banyak, sekali gus mendorong seseorang itu untuk berasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah. Kesan ini berupaya untuk mencegah penyakit berkaitan dengan pengambilan kalori yang tinggi seperti berat badan berlebihan, obesiti dan juga kencing manis.

    Selain itu, penggemburan tinja hasil daripada pengambilan serat juga memberikan kesan perlindungan kepada usus besar dan dubur. Pengambilan serat yang sedikit menyebabkan seseorang itu berisiko untuk menghidap penyakit seperti buasir dan juga anal fissure. Kajian juga menunjukkan bahawa pengambilan serat yang konsisten mengurangkan risiko seseorang untuk menghidap penyakit kanser usus. Akibat daripada pemekatan yang dilakukan serat, ianya menyebabkan lebih sukar untuk enzim memecahkan karbohidrat, sekali gus mengawal paras gula dalam darah khususnya selepas makan. Selain itu, serat yang boleh larut akan mengikat kepada asid hempedu dalam usus kecil, mengurangkan kemungkinan untuk ianya diserap semula ke dalam badan serta mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Kolesterol yang rendah dalam darah adalah faktor pelindung daripada penyakit-penyakit berkaitan salur darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar (strok).

    Dalam kaedah yang sedikit berbeza berbanding kandungan lain, makanan segera meningkatkan lagi risiko seseorang untuk menghidap penyakit kronik akibat daripada kekurangan serat dalam menu mereka. Dari sini, beban makanan segera kepada badan manusia bertindak dengan memberikan bahan-bahan berbahaya dalam kandungan yang banyak, dan memberikan zat penting dalam kandungan yang sangat sedikit. 

    Apa itu Pinggan Sihat Malaysia?

    Ramai yang mungkin cakna dan tahu tentang promosi Piramid Makanan Malaysia yang telah dihasilkan satu ketika dahulu. Inisiatif ini bertindak sebagai panduan dalam penyediaan makanan seimbang dan menekankan jumlah makanan bagi setiap kumpulan makanan. Kesinambungan daripada usaha ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan pula inisiatif Pinggan Sihat Malaysia (PSM) sebagai alat komunikasi yang lebih berkesan untuk menterjemahkan saranan daripada Panduan Diet Malaysia dan Piramid Makanan dalam usaha membantu rakyat Malaysia mengamalkan tabiat makan secara sihat dengan merancang hidangan harian mereka.

    Kelebihan pengenalan PSM ini adalah ianya merupakan alat visual yang berupaya untuk memberikan gambaran yang jelas tentang jumlah makanan dan pecahan makro dan mikronutrien dalam sesuatu hidangan demi mencapai maksud makanan seimbang dan sihat. 

    Melalui pengenalan PSM, gambaran suatu pinggan yang sihat itu dapat dizahirkan dengan jelas dan mudah. Kekuatan PSM ini dapat mendorong rakyat Malaysia untuk meningkatkan pengambilan buah dan sayur; mengawal sukatan nasi, mi, roti dan bijirin lain; menggalakkan pengambilan bijirin penuh; memastikan pengambilan ikan, ayam, daging dan kekacang yang mencukupi; serta menggalakkan pengambilan air kosong.

    Tambahan lagi, konsep makanan seimbang yang diketengahkan oleh PSM ini secara tidak langsung menyarankan hidangan yang rendah lemak, gula dan garam sejajar dengan Panduan Diet Malaysia, 2010.

    Secara umumnya, inisiatif PSM ini sesuai untuk diguna pakai oleh golongan dewasa kerana ianya boleh  membantu dalam pengurusan berat badan dan pencegahan penyakit kronik berkaitan dengan obesiti seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit kardiovaskular. Selain itu, PSM ini juga cukup versatil untuk digunakan oleh golongan yang mengamalkan diet vegetarian daripada pelbagai etnik.

    Namun yang demikian, terdapat golongan tertentu yang mungkin tidak sesuai untuk mengambil PSM ini sebagai panduan hidangan mereka seperti mereka yang mempunyai penyakit atau keadaan kesihatan tertentu, wanita yang hamil dan juga ibu yang menyusukan anak. Bagi golongan ini, mereka disarankan untuk  mendapatkan nasihat profesional kesihatan (sebaik-baiknya Pegawai Dietetetik atau Pakar Pemakanan) berkaitan dengan diet apa yang sesuai untuk diamalkan oleh mereka dan juga nutrisi apakah yang diperlukan dalam kuantiti yang lebih. 

    Bagaimana untuk mengambil makanan segera dengan cara yang lebih sihat?

    Jika anda sampai ke bab ini, jelas sekali makanan segera memainkan peranan yang penting dalam hidup anda. Jika anda tidak mampu untuk mengelaknya, kurangkan kekerapan pengambilannya. Jika itupun merupakan sesuatu yang sukar, anda mungkin boleh cuba kaedah berikut. 

    Pastikan saiz hidangan kecil

    Jika restoran makanan segera menawarkan beberapa saiz sandwich, pilihlah saiz hidangan yang paling kecil. Elakkan daripada mengambil menu burger yang mengandungi dua atau tiga patti daging lembu, kerana jumlah kalori dalam makanan segera seperti itu boleh menjadi hampir 800 kalori. Sebaliknya pilihlah burger biasa atau bersaiz kanak-kanak, yang mempunyai kira-kira 250 kalori. Penukaran dari segi saiz hidangan makanan segera ini sahaja boleh mengelakkan anda daripada memasukkan lebihan 200 hingga 300 kalori ke dalam tubuh badan anda. .

    Memberi perhatian kepada penerangan dalam menu

    Hidangan dilabel deep-fried, pan-fried, basted, batter-dipped, breaded, creamy, crispy, scalloped, atau au gratin biasanya tinggi dengan kalori, lemak yang tidak sihat, dan natrium. Sebaliknya, anda boleh memilih menu makanan segera yang disediakan dengan cara yang membabitkan kurang minyak dan penggunaan garam. Penyediaan yang lebih sihat lazimnya mampu untuk memberikan rasa hebat dan lazat yang sama, dengan penggunaan bahan-bahan yang tidak elok dalam kadar yang sangat sedikit.

    Tumpukan perhatian anda kepada daging panggang

    Elakkan makanan goreng dan dilapisi tepung roti, seperti sandwic ayam rangup dan filet ikan dilapisi tepung roti atau daging yang diproses seperti sosej, bacon, hot dog, atau ham. Sebaliknya pilih ayam belanda, dada ayam, atau daging lembu panggang. Memilih makanan yang disaluti dengan tepung yang tebal akan menyebabkan anda mengambil lebih banyak karbohidrat daripada sepatutnya. 

    Pilihan hijau

    Pilih hidangan utama salad dengan ayam panggang, udang atau sayur-sayuran dengan sos bebas lemak atau rendah lemak, dan bukannya sos salad biasa. Kebanyakan kedai makanan segera kini meletakkan beberapa pilihan sayur dalam menu mereka. Pastikan walau apa pun hidangan anda, dapatkan satu hidangan yang berteraskan sayur-sayuran atau buah-buahan. 

    Anda juga boleh mengambil langkah untuk tidak mengambil tambahan seperti keju dan croutons, yang dengan cepatnya dapat meningkatkan jumlah kalori anda.

    Perhatikan apa yang anda minum

    Minuman berkarbonat yang sering kali disediakan adalah sumber besar gula dan kalori tersembunyi. Secara purata, pek minuman berkarbonat besar berupaya untuk mengandungi sekitar 300 kalori dan 19 sudu gula! Tambahan lagi, jangan mudah terpedaya dengan air limau dan minuman buah-buahan kerana minuman seperti ini biasanya telah ditambah dengan gula dan tidak mengandungi zat yang anda inginkan daripada buah-buahan. Sebaliknya, jadikan satu tabiat untuk memastikan anda meminum air mineral dengan hidangan anda. 

    Dengan pengambilan makanan yang lebih sihat dan mengubah sedikit cara anda mengambil makanan segera, anda berupaya untuk mengurangkan risiko anda untuk menghidap penyakit kronik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan