Limau Vs Lemon: Apa Beza Dua Buah Sitrus Ini?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Di seantero dunia, terdapat banyak jenis buah-buahan sitrus. Antaranya yang paling popular adalah strawberi, kiwi, belimbing, oren, sitron, limau dan lemon. Kesemua buah sitrus ini dikatakan mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi dan pelbagai lagi nutrisi yang agak serupa. Persoalannya, apakah yang membezakan mereka? 

Mungkin masih ramai individu yang belum arif berkenaan perbezaan buah-buahan sitrus ini terutamanya buah limau dengan buah lemon. Meskipun kedua-dua buah sitrus ini boleh dijadikan bahan penambah perasa di dalam minuman kegemaran masyarakat kita seperti teh O ais, ia sebenarnya mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. 

Ingin mengetahui mengenai perbezaan buah limau dengan buah lemon? Sila ikuti artikel ini dengan lebih lanjut.

Apa itu buah sitrus?

Sebelum pergi lebih lanjut, kita perlu tahu terlebih dahulu mengenai buah sitrus. Secara umumnya, buah sitrus adalah sekumpulan buah yang sangat luas penanaman dan pengeluarannya. Sebanyak 30% buah sitrus ini diproses untuk menghasilkan pelbagai jenis produk, terutamanya jus. Sebenarnya, terdapat banyak buah-buah tidak kira tempatan atau tidak yang boleh tergolong dalam kategori buah ini. Antara ciri utamanya adalah ia sangat kaya dengan vitamin C!

Apa itu limau?

Limau adalah sejenis buah sitrus yang biasa dijadikan bahan penambah perasa di dalam masakan masyarakat kita selain turut popular di negara luar seperti Thailand, Vietnam, India dan Mexico. Untuk pengetahuan anda, buah sitrus ini mempunyai pelbagai jenis seperti limau nipis, limau kasturi, limau bali, limau gedang dan selalunya lebih kecil dan kurang masam berbanding buah lemon.

Limau jenis Tahiti atau Parsi selalu digunakan di dalam masakan di kebanyakan negara luar, namun bagi masyarakat kita, limau nipis adalah yang paling popular. Ia lebih kecil, bulat dan mengandungi kandungan asid yang lebih tinggi berbanding jenis lain.

Salah satu tempat di luar negara yang dikatakan dengan penanaman limau adalah di Key West, Florida di Amerika Syarikat. Pun begitu, ia tidak benar kerana buah sitrus ini lebih sesuai ditanam di kawasan beriklim subtropika seperti Mexico, India, Mesir dan negara kita sendiri.

Fakta unik dan menarik mengenai limau

  • Sebiji buah sitrus ini boleh menyediakan 32 peratus vitamin C yang diperlukan dalam masa satu hari
  • Nutrisi yang terdapat di dalamnya boleh menggalakkan kesihatan kulit dan jantung selain mampu membantu mengurangkan risiko asma
  • Jusnya boleh dibuat bahan penambah perasa minuman serta pencuci pinggan mangkuk
  • Sebelum menggunakannya, pastikan anda membasuh kulit luar buah sitrus ini terlebih dahulu 

melon

Apa itu lemon?

Lemon adalah sejenis buah sitrus yang juga biasa dijadikan bahan penambah perasa di dalam makanan atau minuman, namun lebih popular sebagai herba dan rempah. Ini mungkin disebabkan oleh rasanya yang sangat masam dan kuat. Ekoran itu, buah sitrus ini lebih banyak dijadikan bahan penambah perasa seperti di dalam sos, kuah, minuman dan pemanis mulut.

Seperti yang diketahui umum, lemon merupakan sumber vitamin C yang sangat bagus. Ada satu kajian lama yang mendapati ia mampu membantu merawat penyakit scurvy. Pada 1747, James Lind mendapati bahawa ramai kelasi kapalnya yang menghidapi penyakit ini. Pelbagai ikhtiar telah dilakukan dan akhirnya beliau mendapati lemon adalah jawapannya.

Fakta unik dan menarik mengenai lemon

  • Buah sitrus ini sangat tinggi kandungan vitamin C selain bersifat antiokasidan
  • Disebabkan itu, ia mampu menghasilkan kolagen yang bagus untuk kesihatan kulit selain mampu membantu mencegah kanser
  • Jusnya boleh digunakan sebagai bahan penambah perasa minuman, salad dan pelbagai pencuci mulut
  • Sebelum menggunakannya, pastikan anda membasuh kulit luar buah sitrus ini terlebih dahulu 

Limau vs lemon

Meskipun nama kedua-dua buah sitrus ini seringkali kita salah erti, buah limau (citrus aurantifolia) sebenarnya mempunyai beberapa perbezaan yang agak ketara dengan buah lemon (citrus limon) yang mungkin kita belum tahu.

Kedua-dua buah sitrus ini adalah sama sekali berbeza secara genetiknya walaupun saling berkait rapat antara satu sama lain. Ada pakar yang berpendapat bahawa lemon adalah diperbuat daripada hibrid buah limau dengan buah sitron, iaitu sejenis buah sitrus yang besar dengan kulit yang tebal. Pun begitu, ia hanya merupakan teori yang ternyata belum terbukti. 

Seperti yang diketahui umum, limau dan lemon adalah dikategorikan sebagai buah sitrus sama seperti pelbagai lagi buah yang lain seperti strawberi, kiwi, belimbing, oren, sitron dan lain-lain. Kedua-dua buah sitrus ini adalah sangat popular di persada dunia namun lebih banyak ditemui di kawasan tropika dan subtropika.

Limau adalah sejenis buah sitrus yang mempunyai pelbagai jenis di dunia ini seperti limau nipis, limau kasturi, limau gedang dan berbagai lagi. Sementara itu, lemon pula tidak mempunyai banyak jenis dan merupakan natif dari kawasan Asia. Pun begitu, kedua-duanya adalah berasal dari keluarga sitrus yang sama. Dari segi luarannya, ia memang agak jauh berbeza ekoran bentuk, warna dan teksturnya yang masing-masingnya adalah sangat unik dan menarik. 

Buah-buah sitrus ini sangat popular dengan rasanya yang masam dan kandungan asidnya yang tinggi lantas menjadikannya sebagai antara bahan utama dalam industri kulinari. Ia sangat sesuai dijadikan sebagai bahan penambah perasa makanan dan minuman serta bahan pengawet masakan.

Minyak patinya pula selalu digunakan untuk tujuan kosmetik dan perubatan. Ini disebabkan oleh sifat buah-buah ini yang sebenarnya mengandungi ciri antibakteria dan bau yang wangi.

Bentuk buah

Kedua-dua buah sitrus ini sudah pasti mempunyai bentuk yakni tekstur dan warna yang berlainan. Seperti mana yang dapat kita lihat, kedua-dua buah sitrus ini adalah seakan-akan bulat. Limau adalah berwarna hijau dan lebih kecil berbanding lemon yang berwarna kuning dan mempunyai bentuk yang lebih besar. Selain itu, lemon juga mempunyai kulit yang lebih tebal berbanding limau.

Rasa buah

Secara umumnya, kedua-dua buah sitrus ini sebenarnya mempunyai rasa yang lebih kurang sama sahaja. Namun, terdapat sedikit perbezaan. Lemon mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi, menjadikan rasanya lebih manis jika hendak dibandingkan dengan buah limau yang mempunyai rasa masam dan lebih sesuai untuk dicampurkan ke dalam minuman atau koktel. Lemon pula mempunyai rasa buah yang lebih sedap dan segar, menjadikannya lebih sesuai untuk dibuat lemonade. Akan tetapi, kedua-duanya masih mempunyai rasa asid yang mampu meloyakan lidah dan tekak. Disebabkan itu, buah sitrus ini selalunya dicampurkan dengan masakan yang lain sebelum dimakan.

Kandungan nutrisi

Berikut merupakan kandungan nutrisi bagi setiap 100 gram atau 3.5 auns kedua-dua buah sitrus ini:

Limau Lemon
Kalori 30 29
Karbohidrat 11 gram 9 gram
Serat 3 gram 3 gram
Lemak 0 gram 0 gram
Protein 1 gram 1 gram
Vitamin C 48% RDI 88% RDI
Zat besi 3% RDI 3% RDI
Potasium 3% RDI 4% RDI
Vitamin B6 2% RDI 4% RDI
Vitamin B9 2% RDI 3% RDI

Jadi, apa yang kita boleh lihat berdasarkan jadual ini? Kedua-dua buah sitrus ini sebenarnya memiliki kandungan nutrisi yang lebih kurang sama sahaja. 

Mungkin terdapat sedikit sahaja perbezaan bagi kandungan kalori, karbohidrat, potasium, vitamin B6 dan vitamin B9. Namun, kedua-duanya adalah sama sahaja kandungan serat, lemak, protein dan zat besi.

Pun begitu, mungkin perbezaan yang jelas dan nyata adalah kandungan vitamin C. Seperti yang dapat kita lihat, lemon jauh lebih tinggi kandungan vitamin ini berbanding limau.  

Kandungan asid

Selain itu, kita juga perlu tahu bahawa terdapat sedikit perbezaan di dalam kadar pH di antara kedua-dua buah sitrus ini, iaitu:

  • Limau: kadar pH adalah dalam linkungan 2.00 ke 2.35
  • Lemon: kadar ph adalah dalam lingkungan 2.00 ke 2.60

Ini menunjukkan bahawa lemon adalah sedikit berasid berbanding dengan limau.

Manfaatnya terhadap kesihatan

Kedua-dua buah sitrus ini dikatakan mempunyai sejarah yang sangat panjang di dalam perubatan tradisional. Kedua-duanya mempunyai kandungan antioksida, vitamin dan mineral yang sangat tinggi dan penting untuk kesihatan. Berikut merupakan manfaat buah-buah sitrus ini terhadap kesihatan individu:

#1. Membantu menguatkan imuniti

Kedua-duah buah sitrus ini adalah kaya dengan kandungan vitamin C, yang turut popular dengan nama asid askorbik. Ia mampu membantu menguatkan sistem imun anda. Vitamin yang sangat kritikal ini mampu merangsang penghasilan sel darah putih yang merupakan lapisan pertahanan yang pertama buat tubuh badan apabila diserang oleh apa-apa jenis jangkitan atau penyakit.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh pihak International Antioxidant Research Centre yang bertempat di King’s College, London, vitamin C dan zat besi yang wujud di dalam buah-buahan sitrus ini mampu mengelakkan kerosakan DNA di dalam sel-sel yang sihat. 

#2. Membantu melancarkan penyembuhan

Seperti mana yang diketahui umum, vitamin C yang terdapat di dalam kedua-dua buah sitrus ini memainkan peranan yang sangat kritikal di dalam penghasilan kolagen. Ia sangat diperlukan untuk pertumbuhan dan dan pembangunan otot, sel kulit, tisu dan tulang pada tubuh badan kita. Tanpanya, tahap penyembuhan penyakit atau jangkitan mahupun kecederaan akan menjadi sedikit perlahan.

#3. Membantu membaikpulihkan sistem penghadaman

Menurut Dr. Sherry Tanumihardjo dari Universiti Wisconsin-Madison, kedua-dua buah sitrus ini juga sebenarnya merupakan sumber serat yang bagus. Menerusi kajiannya lagi, sifat buah-buah sitrus yang kaya serat ini adalah sangat bagus untuk sistem penghadaman kerana ia dapat melegakan sembelit, menyingkirkan gas dan angin di dalam perut.

3 gram serat yang terdapat dalam buah-buah sitrus ini mewakili sekurang-kurangnya 10 peratus pengambilan serat harian yang dicadangkan. Pun begitu, rasanya yang masam mungkin tidak membenarkan anda merealisasikannya. Jadi, cuba campurkan ia ke dalam masakan anda agar rasanya tidak terlalu ketara.

#4. Membantu melancarkan pengaliran darah

Kedua-dua buah sitrus ini mengandungi zat besi yang sangat tinggi, yang merupakan elemen penting di dalam hemoglobin. Tanpa paras zat besi yang betul, individu mungkin akan mengalami anemia. Simptomnya anemia adalah lemah, letih, keliru dan sukar untuk tidur.

#5. Membantu mengurangkan berat badan

Hampir kesemua buah sitrus mengandungi kandungan serat yang sangat tinggi dan kalorinya yang rendah adalah sangat sesuai untuk individu yang sedang dalam proses menurunkan berat badan. Sama ada ia digunakan sebagai bahan penambah perasa makanan atau minuman, ia sudah pasti boleh membantu mengurangkan berat badan anda.

#6. Aktiviti antioksidan

Buah sitrus seperti buah-buah ini mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi, di samping penambahan vitamin C, yang boleh memberi kesan kepada radikal bebas. Menurut beberapa kajian yang lepas, buah-buahan ini mampu merendahkan tahap stres oksidatif sekali gus mengurangkan risiko penyakit yang kronik seperti kanser.

Penggunaannya

Di dunia ini, sebenarnya terdapat banyak makanan dan minuman yang mengandungi limau dan lemon kerana rasanya yang masam dan kuat. Ini menjadikan ia sebagai salah satu daripada bahan penambah perasa yang sangat popular di seantero dunia. Sebagai contoh, individu selalu menggunakan jus daripada buah ini untuk membuat sos dan kuah atau ditambah sahaja sebagai penambah perasa.

Selain itu, buah sitrus ini yang dicampurkan dengan bawang putih, cili dan lada juga merupakan kombinasi yang sangat bagus untuk memeram daging, ikan atau ayam. Dalam pada itu, buah sitrus ini juga merupakan tambahan yang bagus untuk minuman tidak kira sejuk atau panas. Sebagai contoh, ia sangat sesuai untuk ditambah ke dalam air untuk membuat air yang mempunyai rasa ‘sitrus’ seperti di dalam teh O.  

Disebabkan oleh kandungan asidnya yang tinggi, buah-buahan sitrus ini juga sangat efektif untuk membunuh bakteria. Lantaran itu, banyak produk pencuci seperti pencuci pinggan mangkuk mula diperbuat daripada bahan berasaskan buah sitrus, termasuklah peluntur.

Ada juga kajian yang menunjukkan bahawa minyak pati daripada buah-buahan sitrus boleh meningkatkan keadaan kesihatan mental melalui proses pernafasan aromaterapi. Sifatnya yang antimikrobia juga mampu mengurangkan inflamasi kulit. 

Risikonya

Secara keseluruhannya, kedua-dua buah sitrus ini adalah selamat untuk diambil dan dimakan oleh individu. Walau bagaimanapun, buah-buahan sitrus ini boleh mengakibatkan rasa yang sakit atau pedih jika terkena pada luka terutamanya ulser yang terdapat di dalam mulut.

Kandungan asidnya yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah gastrik dan pedih hulu hati atau apa-apa masalah penghadaman yang lain terutamanya kepada individu yang pernah mempunyai masalah gastroesophageal reflux disease (GERD).

Selain itu, buah-buahan sitrus ini juga sebenarnya adalah agak berbahaya kepada kesihatan oral. Jika diambil pada jumlah yang banyak, ia mampu menghakis enamel gigi lantas mengakibatkan kaviti.

Pernahkah anda menggunakan produk pencuci yang mengandungi buah sitrus di dalamnya dan anda mendapati tangan anda mengalami iritasi? Ini adalah disebabkan tahap keasidannya, oleh itu gunakan sarung tangan dan elakkan sentuhan secara langsung ke kulit.

Yang mana satu lebih bagus?

Sebenarnya, kedua-dua buah sitrus ini mempunyai kandungan nutrisi yang lebih kurang sama sahaja. Apa yang membezakannya mungkin adalah kandungan vitamin C yang sangat nyata jauh berbeza. Pun begitu, masing-masing mempunyai keupayaan tersendiri yang unik dan menarik.

Limau mungkin kurang kandungan vitamin C namun ia sangat banyak digunakan dalam makanan dan minuman.

Lemon pula mempunyai kandungan vitamin C yang lebih banyak dan tidak kurang hebatnya untuk digunakan di dalam makanan dan minuman.

Jadi, mungkin kita boleh dapat jawapannya bahawa lemon adalah lebih baik. Oleh itu, apa kata anda mula gunakan lemon untuk menggantikan limau dalam cara pemakanan anda?

Konklusi

Konklusinya, kedua-dua buah ini mempunyai keupayaannya yang tersendiri. Namun mengikut penelitian yang lebih lanjut, buah lemon adalah lebih berkhasiat dan bermanfaat. Akan tetapi, buah limau juga tidak kurang hebatnya. Jadi, ia sebenarnya adalah terpulang kepada anda sendiri untuk menentukannya.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu anda untuk lebih mengenali dan memahami mengenai buah sitrus ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut