Mengapa Saya Mengalami Kitaran Haid Tidak Teratur?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kitaran haid tidak teratur dialami jika jarak antara haid anda kerap berubah. Haid anda mungkin datang lebih awal atau lebih lewat daripada kebiasaan. Purata kitaran haid (tempoh daripada awal haid hingga awal haid yang seterusnya) normal bagi seseorang individu wanita kebiasaannya adalah 28 hari, namun, ia adalah berbeza bagi setiap individu. Maka adalah normal untuk mempunyai kitaran haid yang lebih pendek atau panjang. Kitaran tidak teratur adalah apabila tempoh kitaran melebihi 35 hari atau kitarannya tidak menentu.

Selepas akil baligh, kebanyakan wanita mengalami kitaran haid teratur dengan tempoh masa yang sama antara haid. Pun begitu, adalah biasa untuk seseorang wanita itu berbeza beberapa hari berbanding kitaran sebelumnya. Kitaran haid tidak teratur tidak semestinya menandakan masalah, tetapi kadangkala anda mungkin perlu bertemu doktor.

Apa itu kitaran haid?

Haid, merupakan sebahagian daripada kitaran haid di mana endometrium, yang merupakan lapisan uterus, disingkirkan. Ia akan menjadi seperti pendarahan dari rahim yang dikeluarkan melalui faraj.

Haid biasanya bermula semasa akil baligh bagi seseorang anak gadis, antara umur 10 sehingga 16 tahun, dan ia akan berterusan sehingga seseorang individu wanita itu mengalami menopaus, pada usia antara 45 sehingga 55 tahun.

Haid yang tidak teratur ini, turut dikenali sebagai oligomenorrhea – jumlah bilangan haid yang dialami kurang dari 6 hingga 8 kali setahun –, turut boleh berlaku jika anda mengamalkan kaedah kontrasepsi, ketidakseimbangan hormon, perubahan hormon ketika dalam proses menopaus dan senaman ketahanan.

Rawatan untuk merawat masalah haid tidak teratur ini kebiasaannya tidak diperlukan, tetapi sekiranya, masalah ini berlaku ketika dalam tempoh pembiakan, nasihat perubatan mungkin diperlukan.

Apakah simptomnya?

Bergantung kepada individu, seperti dinyatakan di atas, kitaran haid kebiasaannya adalah sekitar 28 hari, tetapi ia boleh berubah antara 24 hari hingga 35 hari. Kebanyakan wanita akan mempunyai haid antara 11 hingga 13 kali setahun. Pendarahan haid pula, selalunya berlangsung sekitar 5 hari, tetapi ia juga boleh berubah, dari 2 hingga 7 hari.

Selepas haid pertama bermula, untuk mendapatkan kitaran haid biasa, kebiasaannya akan mengambil masa sehingga hampir 2 tahun. Selepas akil baligh, selalunya kitaran haid seorang wanita adalah normal dan tempoh kedatangan haid adalah hampir sama pada setiap kali haid.

Tetapi, bagi sesetengah individu wanita, tempoh haid dan jumlah darah yang keluar adalah berbeza-beza dan inilah yang dikatakan sebagai kitaran haid yang tidak teratur. Simptom utamanya adalah apabila kitaran menjadi lebih panjang daripada 35 hari, atau tidak menentu dan kerap berubah.

Selain itu, jika darah haid yang keluar adalah lebih banyak atau berkurangan, ia juga menjadi antara simptom yang boleh dikenal pasti selain dari tempoh kedatangan haid yang berbeza-beza setiap kali haid tiba.

Jika anda mungkin mengalami kitaran haid yang tidak teratur, anda mungkin boleh memberikan perhatian kepada simptom lain yang ditunjukkan oleh badan anda apabila anda akan mengalami kedatangan haid. Antara simptomnya adalah:

Kitaran Haid Tidak Teratur Mengapa ia Terjadi

  • Kekejangan pada bahagian belakang badan atau kekejangan badan
  • Payudara terasa berat atau sakit
  • Mengalami sakit kepala
  • Muncul jerawat
  • Tidur terganggu
  • Berlaku perubahan emosi
  • Perut kembung

Kenapa masalah kitaran haid ini boleh berlaku?

Berikut boleh dikatakan menjadi antara penyebab mengapa kitaran haid menjadi tidak teratur.

Kitaran kehidupan dan kehamilan

  • Selepas kitaran haid pertama, 2 hingga 3 tahun selepas haid bermula
  • Perimenopaus, kitaran haid akan berakhir
  • Kehamilan
  • Tempoh selepas melahirkan
  • Menyusukan bayi
  • Keguguran berulang

Kitaran bangun dan tidur

  • Kerja shift atau shift waktu malam
  • Gangguan tidur
  • Jet lag atau melalui jarak perjalanan jauh

Perubahan fizikal atau emosi

  • Tekanan kronik
  • Senaman yang berlebihan
  • Pengambilan atau penyalahgunaan bahan tertentu
  • Perubahan berat secara mendadak
  • Gangguan pemakanan seperti tidak mendapat kalori yang mencukupi
  • Pengambilan ubatan tertentu

Keadaan perubatan tertentu

  • Sindrom ovari polisistik
  • Gangguan tiroid
  • Diabetes yang tidak terkawal
  • Jangkitan pada saluran pembiakan
  • Kelainan serviks atau faraj
  • Kanser tertentu atau kewujudan ketumbuhan
  • Gangguan pendarahan
  • Keadaan perubatan lain seperti prolaktinoma, kegagalan ovari utama, yang disebut sebagai sindrom Asherman.

Punca kitaran haid tidak teratur

Kitaran Haid Tidak Teratur Mengapa ia Terjadi

Banyak perkara yang boleh menjadi penyebab kepada haid yang tidak teratur. Perubahan dalam tahap hormon estrogen dan progesteron turut boleh mengganggu corak kitaran haid anda.

Terdapat banyak kemungkinan punca haid menjadi tidak teratur. Punca utama haid tidak teratur termasuklah:

  • Akil baligh – haid anda mungkin tidak teratur untuk setahun atau dua tahun pertama haid berlaku
  • Permulaan menopaus –  (biasanya antara umur 45 dan 55)
  • Awal kehamilan – jalani ujian kehamilan untuk kepastian
  • Penyusuan
  • Beberapa jenis kontraseptif hormon – seperti pil kontraseptif seperti Depo-Provera (medroxyprogesterone acetate) dan Implanon (etonogestrel) atau alat intrauterin (IUD) yang berasaskan levonogestrelpil kawalan kelahiran. Ini kerana kebanyakan pil kawalan kelahiran mempunyai gabungan hormon estrogen dan progestin, terdapat juga pil yang hanya mengandungi progestin. Pil ini akan mengekang ovari daripada melepaskan telur. Pengambilan atau pemberhentian pengambilan pil boleh menjejaskan haid. Sesetengah wanita mungkin akan mengalami tempoh haid tidak teratur sehingga enam bulan selepas berhenti mengambil pil tersebut. Jadi adalah penting untuk anda merancang pengambilan pil ini sebaiknya.
  • Penggunaan ubat tertentu, sebagai contoh thyroxine.
  • Senaman yang berlebihan
  • Masalah perubatan – seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) atau masalah dengan tiroid anda. Jika anda mengalami sindrom ini, ovari anda akan menghasilkan sejumlah besar androgen – iaitu sejenis hormon lelaki. Kantung kecil berisi cecair (sista) mungkin akan terbentuk di ovari. Ini boleh dilihat pada ultrasound. Perubahan hormon boleh menjejaskan telur dari menjadi matang dan sekali gus menyebabkan ovulasi mungkin berlaku secara tidak konsisten. Ada masanya, individu wanita dengan PCOS akan mempunyai tempoh haid yang tidak teratur atau berhenti mengalami menstruasi sepenuhnya. Di samping itu, keadaan ini turut berkait dengan masalah obesiti, ketidaksuburan dan hirsutisme -pertumbuhan rambut dan jerawat secara berlebihan. Ia mungkin disebabkan ketidakseimbangan hormon, walaupun punca sebenar masih tidak diketahui. Rawatan untuk PCOS adalah bergantung sama ada individu wanita tersebut ingin hamil atau tidak. Sekiranya kehamilan bukan matlamat, maka penurunan berat badan, pil kontraseptif oral dan ubat Metformin® – insulin yang digunakan dalam masalah diabetes – boleh mengawal kitaran haid wanita. Sekiranya individu wanita itu ingin hamil, ubatan yang boleh merangsang ovulasi boleh dicuba.
  • Fibroid rahim – adalah ketumbuhan yang melekat pada dinding rahim. Mungkin terdapat satu atau beberapa fibroid yang berkembang dari sekadar besar saiz benih biji epal dan berkembang kepada saiz limau gedang. Tumor ini kebiasaannya tidak berbahaya, tetapi boleh menyebabkan pendarahan dan kesakitan yang teramat semasa haid. Jika fibroid itu adalah besar, ia berkemungkinan boleh memberikan tekanan kepada pundi kencing atau rektum, yang menyebabkan ketidakselesaan.
  • Tekanan kehidupan – mengalami pertambahan atau kemerosotan jumlah berat badan yang tertentu, berdiet, perubahan rutin senaman, melancong, penyakit atau gangguan lain berkaitan dengan rutin wanita turut boleh mendatangkan kesan kepada kitaran haid
  • Endometriosis – tisu endometrium merupakan tisu yang disingkirkan setiap bulan ketika haid dan dikeluarkan sebagai haid. Endometriosis berlaku apabila tisu endometrium tumbuh di luar rahim. Selalunya apabila ia tumbuh di luar rahim, tisu ini akan melekat pada ovari atau tiub fallopian, ada masanya ia juga tumbuh pada usus atau organ lain dalam saluran pencernaan yang lebih rendah dan di kawan antara rektum dan rahim. Masalah ini boleh menyebabkan pendarahan, kekejangan atau kesakitan yang tidak normal sebelum dan semasa haid serta ia mungkin menyebabkan hubungan seks menjadi satu perkara yang menyakitkan.
  • Penyakit keradangan pelvik – penyakit ini berlaku disebabkan jangkitan bakteria yang menjejaskan sistem pembiakan wanita. Bakteria boleh memasuki faraj melalui hubungan seks dan kemudian merebak ke rahim dan saluran kelamin. Bakteria juga boleh memasuki saluran pembiakan melalui prosedur ginekologi atau ketika proses melahirkan anak, keguguran atau proses pengguguran. Antara simptom penyakit ini adalah pelepasan faraj yang berat berserta bau yang tidak menyenangkan, haid yang tidak teratur, sakit pada bahagian perut, demam, mual, muntah atau cirit-birit.
  • Ketidaksuburan ovari pramatang –  keadaan ini berlaku pada individu wanita yang berusia di bawah 40 tahun yang mempunyai ovari yang tidak berfungsi secara normal. Kitaran haid terhenti, sama seperti menopaus. Keadaan ini boleh berlaku kepada pesakit yang sedang mendapat rawatan kanser seperti menjalani kaedah kemoterapi dan radiasi atau jika anda mempunyai sejarah keluarga yang berdepan masalah ketidaksuburan ovari pramatang atau keabnormalan kromosom tertentu. Jika ia berlaku, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor.

Bila saya patut bertemu doktor

Anda tidak perlu mendapatkan nasihat perubatan jika anda sentiasa mempunyai kitaran haid yang agak tidak teratur atau anda baru sahaja mengalami akil baligh.

Tetapi dapatkan nasihat doktor jika:

  • Kitaran haid anda tiba-tiba menjadi tidak teratur dan anda berusia bawah 45 tahun
  • Anda mengalami haid lebih kerap daripada setiap 21 hari atau kurang kerap daripada setiap 35 hari
  • Haid anda lebih lama daripada 7 hari
  • Terdapat perbezaan besar (sekurang-kurangnya 20 hari) antara kitaran haid yang paling singkat dan paling panjang
  • Anda mengalami haid tidak teratur dan anda sedang berusaha untuk hamil
  • Anda tidak mengalami haid lebih daripada 3 kali dalam masa setahun
  • Pendarahan yang anda alami adalah banyak berbanding kebiasaannya
  • Anda mungkin tidak mempunyai sebarang masalah, tetapi memahami punca di sebaliknya mungkin membantu anda. Anda mungkin dirujuk kepada pakar yang disebut pakar ginekologi jika anda memerlukan sebarang ujian atau rawatan.

Adakah saya tidak akan hamil?

Anda mungkin sukar untuk hamil jika anda mempunyai kitaran haid yang tidak teratur kerana anda mungkin tidak mengalami ovulasi secara teratur. Mengadakan hubungan kelamin setiap 2 atau 3 hari boleh membantu meningkatkan peluang kehamilan anda. Anda tidak perlu menyasarkan tingkap kesuburan kerana ovulasi anda tidak teratur. Adakalanya anda mungkin memerlukan rawatan hormon atau rawatan kesuburan jika anda sukar untuk hamil secara semula jadi.

Gaya hidup

Jika tekanan merupakan antara penyebab anda mengalami gangguan kitaran tidak teratur ini, anda harus mencuba mempelajari teknik pengurusan tekanan seperti meditasi atau yoga. Cuba untuk tidak bersenam secara berlebihan dan jangan terlalu mengawal pengambilan diet pemakanan secara keterlaluan, ia turut boleh menganggu kitaran haid anda.

Jika anda mengambil sebarang pil kontraseptif, pastikan anda mengikut arahan perubatan yang diberikan. Paling penting, pastikan anda mengawal dan memberikan perhatian kepada gaya hidup yang lebih sihat.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: Ogos 16, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 2, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut