BCL Tempah Kubur Sebelah Ashraf, Mungkin Alami Kesan Balu Yang Menyebabkan Risiko Kematian Tinggi

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 21/05/2020

Pemergian Ashraf Sinclair memang mengejutkan ramai. Tanpa menunjukkan sebarang tanda masalah kesihatan, beliau pergi buat selamanya disebabkan oleh serangan jantung.

Dalam suasana sedih, Bunga Citra Lestari (BCL) sudah tentunya merupakan insan yang paling terkesan dek kematian suami.

Penyanyi ini juga telah menempah tanah perkuburan bersebelahan dengan arwah suaminya dengan bayaran sebanyak RM75,000 dan berharap jasadnya akan disemadikan di situ.

Ramai yang menganggap perbuatan BCL itu tidak masuk akal.

Namun tahukah anda, dalam tempoh 6 bulan selepas kematian suami, pelantun lagu Wanita Terbahagia ini mempunyai risiko kematian yang tinggi? Mitoskah? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Kematian suami tercinta, BCL alami kesan balu (the widowhood effect)

bcl, kematian suami
Kredit: mediahiburan.my

Mungkin anda pernah terdengar akan cerita bagaimana seorang suami atau seorang isteri mati sejurus selepas kematian pasangan mereka. Ia bukan mitos dan fenomena tersebut mempunyai penerangan sains di sebaliknya. 

Kesan balu (Widowhood effect) merupakan bukti kesihatan fizikal, mental dan sosial memainkan peranan penting terhadap kelanjutan hayat individu. Ia tidak mengenal bangsa, usia atau jantina.

Kajian-kajian berkaitan dengannya mendapati risiko kematian pasangan berada antara 30 hingga 90% pada 3 bulan pertama (waktu kritikal).

Punca kematian tidak ada penerangan yang jelas, namun kesannya terhadap individu yang meratapi pemergian insan tersayang bergantung pada cara kematian pasangan. 

Perkara ini perlu diambil berat terutamanya daripada konteks kesihatan berikutan kematian suami atau isteri boleh menyebabkan peningkatan kepada risiko kematian. Ini boleh memberikan impak yang besar kepada tahap kesihatan awam.

Berkemungkinan besar mereka yang meratapi pemergian pasangan tidak menguruskan diri mereka dengan baik.

Ini boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kesihatan terutamanya jika individu itu sendiri pernah didiagnosis dengan penyakit kronik.

Usaha untuk memahami kesan balu ini dengan lebih dalam bukanlah satu perkara yang mudah. Ia berikutan data yang tidak mencukupi membuatkan kita hanya mampu membuat tanggapan berdasarkan kepada dapatan sedia ada.

Namun, tidak dinafikan bahawa, kesihatan mental dan sosial memainkan peranan penting dalam peningkatan kadar kematian yang dialami oleh balu.

Ia terutamanya tinggi pada 3 bulan pertama selepas kematian dan ketika ini, emosi dan hubungan sosial mereka yang meratapi kematian suami berada pada paras yang tidak sihat.

Hati yang terluka boleh membunuh, kematian balu tidak boleh dijangka

kematian suami

Pada tahun 2008, Universiti Harvard telah menjalankan kajian yang melibatkan 373,189 pasangan berkahwin.

Pada penghujung kajian, 317,300 pasangan telah mengalami kematian disebabkan oleh pelbagai jenis masalah kesihatan termasuklah kanser dan penyakit kardiovaskular.

Kajian tersebut mendapati kematian suami boleh menyebabkan risiko yang tinggi pada pasangan yang berusia untuk mengalami kematian, lebih-lebih lagi jika mereka menghidap kanser usus dan kanser paru-paru. 

Dalam konteks kisah kematian Ashraf Sinclair, pemergiannya memang tidak dijangka.

Bahkan, BCL merungut apabila disangkakan Ashraf tertidur apabila dimintanya untuk melihat dan memilih gambarnya. Tidakkah sesiapa yang berada di tempat BCL akan turut mengalami dilema dan ketakutan yang sama?

BCL mengaku bahawa beliau masih lagi berasa takut tatkala hendak tidur di dalam biliknya memikirkan keadaan suaminya yang tertidur dan terus pergi menghadap Ilahi.

Rendahkan risiko kematian pasangan, beri tumpuan kepada aspek kesihatan menyeluruh

kematian

Kesan balu mungkin memberi impak kepada isteri lebih kepada suami namun tidak dinafikan bahawa tiada siapa yang terselamat daripada berasa sedih sewaktu kehilangan pasangan hidup.

Jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan kemurungan, kegelisahan dan peningkatan pada risiko kematian pada individu.

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menghindarkan komplikasi ini daripada berlaku. Antaranya adalah:

  • Dapatkan bantuan daripada rakan dan keluarga terdekat. Dinamik hubungan yang seharusnya wujud ketika seseorang itu diuji dengan pemergian pasangan hidup perlu bersifat dua hala. Kadangkala, mereka yang sedang menghadapi musibah tidak rela meminta bantuan daripada pihak lain. Maka dalam situasi tersebut, alternatif pertolongan perlu diutarakan kepada mangsa. 
  • Dapatkan bantuan pakar. Jika anda berasa situasi tersebut sukar untuk dikawal, dapatkan bantuan daripada pakar. Apa yang anda perlu tahu adalah, kesedihan selepas kematian pasangan adalah normal. Ia bukan penyakit mental namun jika ia berterusan untuk jangka masa tertentu ia boleh menyebabkan masalah tersebut. Oleh sebab itu penting untuk kita mendapatkan bantuan daripada pakar bagi memastikan perkara tersebut tidak berlaku.
  • Amalkan gaya hidup sihat. Hakikatnya, sukar untuk kita mengawal rutin harian kita seperti sedia kala memandangkan motivasi kita berada pada paras yang rendah. Rakan-rakan dan keluarga memainkan peranan penting bagi memastikan mereka yang sedang bersedih mengambil makanan yang berkhasiat, melakukan senaman dan mendapatkan tidur yang cukup.
  • Beri bantuan kewangan atau alternatif yang seumpama dengannya. Jika mereka yang masih hidup tidak mempunyai status kewangan yang stabil, sumbangan wang ringgit, bahan makanan dan sebagainya boleh meringankan beban. Kematian pasangan merumitkan status kewangan seseorang terutamanya jika mereka mempunyai tanggungan namun beban dapat diringankan melalui tangan yang suka menghulur.

Konklusi

Apabila penulis mengungkapkan bahawa risiko kematian BCL tinggi, ia tidak bermaksud yang beliau akan mati.

Tanpa penjagaan yang betul, selebriti terkenal tanah seberang ini boleh mengalami tekanan emosi dan jiwa seterusnya menyebabkan tahap kesihatan beliau terganggu. Ia boleh menyebabkan kematian jika tidak diuruskan dengan betul.

Jika anda merupakan salah seorang yang merana atas kehilangan pasangan, pastikan anda menjaga kesihatan anda sebaiknya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    serangan jantung, sakit jantung

    Sakit Jantung! Apa Langkah Awal Yang Perlu Anda Buat?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 23/02/2020
    Ashraf Sinclair

    BELASUNGKAWA, Ashraf Sinclair Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Semasa Tidur

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 18/02/2020