backup og meta

Tip Nak Mengandung- Kena Tahu Cara Periksa Serviks Sendiri, Ada Petuanya Kena Patuhi!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 02/09/2022

    Tip Nak Mengandung- Kena Tahu Cara Periksa Serviks Sendiri, Ada Petuanya Kena Patuhi!

    “Ibu, kita akan ke labour room ya untuk memeriksa bukaan serviks anda!” Selalunya, doktor atau jururawat akan mula melontarkan ukuran – 4 cm, 6 cm, 8 cm dan kami pasti anda tidak faham mengenainya.

    Cara memeriksa serviks sebenarnya senang untuk dipelajari sendiri. Ia juga penting untuk anda mengetahui perubahan posisi serviks sekitar kitaran haid.

    Ini boleh membantu anda di masa depan jika merancang untuk hamil.

    Kenali serviks anda

    Serviks, atau dikenali sebagai pangkal rahim ialah saluran kelahiran yang menghubungkan rahim dan faraj anda. Ia terletak di hujung rahim, sebelum faraj dan terdiri daripada otot yang kuat.

    Oleh sebab ia berada di hujung rahim dan faraj anda, serviks boleh senang dirasai dengan menggunakan jari.

    Struktur serviks anda boleh berubah sepanjang kitaran haid, di awal kehamilan dan juga semasa beranak.

    Cara memeriksa serviks penting kerana ia dapat membantu anda mengetahui tempoh ovulasi dan tempoh kesuburan maksimum.

    Petua memeriksa serviks

    Sebelum bermula, ingatlah bahawa cara memeriksa serviks memerlukan kemahiran tinggi dan pengalaman yang banyak.

    Jikalau anda tidak berupaya untuk merasai serviks pada kali pertama atau kali kesepuluh sekalipun, janganlah berputus asa.

    Selepas mengenal tanda-tanda, struktur dan posisi serviks percayalah ia menjadi lebih mudah untuk anda.

    Sebelum memeriksa serviks, ingatlah beberapa petua seperti:

    1. Elakkan memeriksa serviks semasa atau selepas bersenggama. Kedudukan serviks anda berbeza dengan tahap rangsangan tanpa mengira masa kitaran haid anda.
    2. Dalam proses pembelajaran, keraplah memeriksa serviks anda setiap hari walaupun anda belum dalam tempoh ovulasi. Hal ini akan membantu anda membezakan rasa dan struktur serviks semasa ovulasi atau bukan ovulasi. Selain itu, serviks lebih senang untuk dirasai ketika bukan ovulasi.
    3. Periksa serviks anda pada masa yang sama tiap hari. Masukkanlah ia ke dalam rutin harian anda seperti selepas mandi.

    Cara memeriksa serviks

    Semasa anda memeriksa serviks, ingatlah bagaimana rasa serviks setiap kali dan catatkan dalam buku atau telefon bimbit anda untuk rekod sendiri.

    Janganlah risau untuk melakukannya sendiri kerana anda tidak akan mencederakan diri anda.

    cara memeriksa serviks

    1. Basuhlah tangan anda

    Sebelum bermula, pastikan anda mencuci tangan dengan sabun terlebih dahulu. Langkah ini penting supaya anda tidak membawa kuman ke dalam organ pembiakan anda.

    Sekiranya anda menghadapi jangkitan kuman di faraj, sila dapatkan rawatan dan tunggu sehingga sembuh sebelum memeriksa serviks anda.

    Pastikan kuku sentiasa pendek untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman.

    2. Peka dan sentiasa berwaspada

    Jika anda dalam tempoh bersalin dan masih mahu memeriksa serviks anda, ingatlah pemeriksaan yang terlalu kerap boleh menyebabkan jangkitan kuman, terutama sekali jika air ketumban sudah pecah.

    Walaupun anda boleh memeriksa serviks, ingatlah untuk membasuh tangan terlebih dahulu, dan kurangkan pemeriksaan sendiri.

    3. Berada dalam posisi yang selesa

    Posisi badan anda seharusnya membolehkan anda untuk mencapai serviks anda dengan mudah.

    Sebagai contoh, posisi yang senang untuk anda lakukan pemeriksaan ialah mencangkung, duduk di mangkuk tandas dan meletakkan sebelah kaki di hujung tab mandi.

    Berhati-hati dan cuba elakkan daripada jatuh atau mencederakan diri anda.

    4. Masukkan jari ke dalam faraj anda

    Jari yang sesuai untuk pemeriksaan ialah jari telunjuk atau jari tengah anda. Masukkan jari perlahan-lahan ke dalam faraj anda, menghala ke atas dan depan sehingga anda dapat merasai serviks.

    Serviks anda akan berada di penghujung faraj anda, seakan-akan “pintu” untuk rahim anda.

    5. Cuba mengesan serviks anda

    Faraj anda mempunyai konsistensi seperti span, dan mudah memberi ruang kepada tekanan.

    Berbeza dengan faraj, konsistensi serviks lebih pejal dan berbentuk bulat. Jika bukan ovulasi, konsistensinya sama seperti hujung hidung anda.

    Jika anda belum berovulasi, serviks akan mudah dicapai dan dirasai. Ketika ovulasi, serviks anda akan bertukar ke posisi lebih tinggi dan lebih lembut seperti konsistensi bibir anda.

    Selain itu, cuba rasai pembukaan serviks anda. Pembukaan serviks sangat kecil seperti belahan sahaja. Ia berlaku sebelum ovulasi, sebelum haid atau semasa haid.

    Namun jika anda sudah beranak atau pernah mengalami keguguran, usah risau jika serviks anda terbuka sedikit luas.

    cara memeriksa serviks

    6. Catat pemeriksaan anda

    Rekodkan pemeriksaan anda dalam carta kesuburan.

    Cara ini membantu anda untuk lebih memahami perubahan serviks dan mengetahui tempoh kesuburan anda.

    Konklusi

    Pemeriksaan serviks sendiri mudah jika sering dipraktikkan. Ia dapat membantu para ibu yang merancang untuk hamil di masa hadapan.

    Lakukanlah pemeriksaan setiap hari dan rekodkanlah untuk anda lebih mengenali sistem reproduktif anda sendiri.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 02/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan