backup og meta

Bolehkah Wanita Ada Dua Rahim?

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 09/07/2020

    Bolehkah Wanita Ada Dua Rahim?

    Wanita secara amnya dilahirkan mempunyai satu rahim. Namun, wanita dengan dua rahim atau uterus adalah keadaan yang jarang berlaku, tetapi ianya wujud.

    Didelphys uterus atau dua rahim ialah sejenis keabnormalan rahim sejak lahir di mana seseorang wanita itu mempunyai dua uterus dan kadangkala dua bentuk serviks. Malahan, sesetengah wanita dengan keadaan ini turut mempunyai dua faraj.

    Kejadian terbaru membabitkan seorang remaja perempuan dari Oldham mendapati dirinya mempunyai dua rahim selepas bangkit dari koma selama empat hari.

    Menurut BBC, remaja berusia 18 tahun, Ebony Stevenson, terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami sawan dan dimasukkan ke dalam koma. Sebelum kejadian, remaja ini tidur kerana mengalami sakit kepala.

    Mengejutkan lagi, doktor mendapati bahawa remaja tersebut sedang hamil dan mempunyai dua rahim; satu rahim sedang mengandungkan bayinya dan satu rahim lagi masih mengalami menstruasi. Stevenson juga mengalami pre-eklampsia, iaitu suatu komplikasi kehamilan yang menyebabkannya mendapat sawan. Jadi, rawatan efektif untuk keadaan tersebut adalah dia perlu segera melahirkan bayinya.

    Stevenson kemudian hanya tersedar dari koma selepas empat hari dan menyedari dirinya sudah selamat bergelar ibu. Dia juga baru mengetahui mempunyai dua rahim dan tidak tahu tentang kehamilannya, kerana masih mengalami menstruasi setiap bulan dan tidak mengalami mabuk hamil.

    Mengapa boleh ada dua rahim?

    Wanita yang ada dua rahim adalah kelainan kongenital yang jarang berlaku. Dalam fetus wanita, rahim bermula sebagai dua tiub kecil. Apabila fetus berkembang, tiub biasanya akan bergabung untuk membentuk satu organ yang berongga dan lebih besar – rahim atau uterus. Bagaimanapun, ada kalanya tiub tidak boleh bergabung sepenuhnya. Sebaliknya, setiap tiub berkembang menjadi struktur yang berasingan. Dua rahim mungkin boleh mempunyai satu pembukaan (serviks) ke dalam satu vagina, atau setiap rongga rahim mungkin mempunyai serviks. Dalam kebanyakan kes, dinding tisu nipis mengalir ke bawah faraj, membahagi kepada dua bukaan berasingan.

    Akan tetapi, penyebab sebenar keadaan ini berlaku tidak diketahui. Ia boleh jadi berkait dengan genetik.

    Simptom-simptom

    Biasanya, tiada simptom khusus yang menunjukkan seseorang wanita itu mempunyai dua rahim. Keadaan ini biasanya diketahui apabila doktor melakukan rutin pemeriksaan pelviks atau semasa melakukan ujian untuk mengetahui penyebab berlakunya keguguran berulang.

    Bagaimanapun, bagi wanita yang mempunyai dua faraj dengan dua rahim, dia mungkin akan mengalami pendarahan menstrual walaupun jika dia memakai tampon. Ini kerana dia hanya memakai tampon pada satu faraj sahaja dan satu faraj lagi mengalami pendarahan haid.

    Komplikasi

    Kebanyakan wanita yang mempunyai dua rahim menjalani kehidupan seks yang normal, serta kehamilan dan kelahiran. Akan tetapi, kadangkala mereka yang mempunyai dua rahim dan keabnormalan perkembangan rahim dikaitkan dengan:

    • Ketidaksuburan
    • Keguguran
    • Kelahiran pramatang
    • Keabnormalan buah pinggang

    Penting untuk anda ingat bahawa wanita dengan dua rahim adalah keadaan yang jarang berlaku, dan dalam kebanyakan kes ia tidak boleh dikesan kerana keadaan ini tidak menimbulkan masalah. Bagaimanapun, jika anda mengetahui tentang keadaan anda selepas kehamilan, dapatkan nasihat doktor tentang penjagaan terbaik untuk diri anda dan kandungan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan