backup og meta

Ujian Pap

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/04/2022

    Ujian Pap

    Apakah ujian Pap? Mengapa dan siapa yang memerlukannya? Artikel ini akan memberikan maklumat lanjut mengenai hal ini.

    Apakah itu ujian Pap?

    Pap smear atau lebih dikenali sebagai ujian Pap adalah prosedur pemeriksaan untuk mengetahui sama ada anda mempunyai kanser serviks atau tidak. Untuk lebih spesifik, ia mengesan kewujudan sel-sel pramatang atau kanser yang berlaku di serviks – pada bahagian pembukaan uterus. Semasa membuat ujian Pap, doktor akan ‘mengikis’ atau mengambil sedikit sel-sel dari serviks anda dan akan mengujinya untuk pertumbuhan yang tidak normal.

    Sebab perlu lakukan ujian

    Sama ada lelaki mahupun wanita boleh mendapat jangkitan HPV (Human Papillomavirus) melalui hubungan seks. Bagi individu yang aktif secara seksual adalah amat berisiko untuk dijangkiti HPV dan melakukan ujian Pap adalah amat penting, sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali.

    Ujian Pap tidak boleh digunakan untuk mengesan jangkitan menular seksual lain. Namun, kadang-kadang, ia dapat mengesan pertumbuhan sel yang boleh menyebabkan kanser lain.

    Siapa perlu lakukan ujian?

    Kebiasaanya individu yang mencapai usia 21 tahun perlu menjalani ujian Pap.

    Sekiranya anda HIV positif atau mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah akibat kemoterapi atau pemindahan organ, doktor boleh memberikan lebih banyak ujian kepada anda kerana terdapat risiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kanser.

    Untuk individu berusia 30 tahun dan telah menjalani ujian ini yang normal 3 kali berturut-turut, boleh mendapatkan pandangan doktor sama ada anda boleh mendapatkan satu ujian untuk setiap 5 tahun jika ujian digabungkan dengan pemeriksaan HPV.

    Wanita yang berusia lebih 65 tahun dengan sejarah ujian Pap yang normal, boleh berhenti menjalani ujian ini pada masa hadapan.

    Walaupun anda menjalani hubungan monogami, iaitu hubungan seks dengan hanya satu pasangan, anda masih perlu menjalani ujian Pap kerana HPV boleh menjadi tidak aktif untuk satu tempoh masa yang lama dan kemudian menjadi aktif secara tiba-tiba.

    Keputusan ujian

    Selepas mengambil ujian, hasil yang diperolehi boleh menjadi normal atau tidak normal. Jika keputusan anda adalah normal, anda mungkin tidak perlu melakukan ujian ini selama 3 tahun lagi.

    Namun jika sebaliknya, itu tidak bermakna anda mempunyai kanser. Ia menunjukkan terdapat sel-sel tidak normal di serviks anda dan beberapanya boleh menjadi kanser. Bergantung kepada hasil ujian anda, doktor mungkin akan mencadangkan untuk mengambil beberapa ujian lain untuk memberikan diagnosis lanjut.

    Pap smear adalah tepat dan jitu, malah ujian ini akan mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit kanser serviks sebanyak 80 peratus. Seperti kebanyakan ujian kesihatan yang lain, prosedur ujian ini mungkin mendatangkan ketidakselesaan, bagaimana pun, rasa tidak selesa itu boleh membantu mengesan sebarang perkara tidak normal dalam badan anda.

    Individu dewasa, terutama mereka yang berusia lebih 21 tahun dan ke atas perlu mendapatkan ujian ini secara teratur kerana dapat mengesan penyakit tertentu yang memerlukan rawatan segera.

    Jika anda mempunyai kebimbangan atau pertanyaan, sila berjumpa doktor anda untuk mendapatkan nasihat perubatan, diagnosis dan pemeriksaan lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 27/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan