Ish! Media Sosial Buat Individu Lebih Kerap Melancap?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

“Bro, cuba kau tengok body awek cun kat insta aku ni, hot siot!”, pelawa Syahir kepada kawannya sambil menunjukkan gambar seorang wanita yang berpakaian seksi di telefon pintarnya. Perbualan seperti ini adalah biasa berlaku dalam kalangan sekumpulan remaja lelaki ketika melepak sesama mereka. Apa yang bahaya, gambar-gambar ini mungkin akan mendorong individu melakukan perkara yang tidak senonoh seperti melancap!

Media sosial & individu

Di seluruh dunia, kira-kira sekitar 40 peratus penduduk bumi ini mempunyai dan menggunakan media sosial. Menurut kajian pakar, kita akan menghabiskan masa kira-kira 2 jam dalam sehari berada di platform media sosial untuk upload, like, share, tweet, update atau bermain apa-apa sahaja fitur yang terdapat di dalamnya. Tidak dinafikan, ia memang menyeronokkan.

Dalam erti kata yang lain, kita semua mungkin sudah menjadi ‘hamba’ kepada media sosial. Kebanyakan kita akan menggunakannya untuk bersosial. Tidak mengejutkan, remaja adalah golongan yang paling gemar menggunakan platform ini untuk mengisi masa lapang mereka. Tidak salah untuk menggunakannya, cuma kita perlu tahu batasnya terlebih dahulu.

Hakikatnya, media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah sesuatu yang akan memudahkan individu. Dengannya, kita tidak lagi perlu membayar untuk text atau call orang tersayang, bukan? Dengannya juga, kita boleh berkenalan dengan ramai orang. Jadi, tidak perlu lagi pergi blind date! Namun di sebalik banyak manfaatnya, terdapat juga mudaratnya.

Mudarat media sosial

Pendek kata, memang banyak mudarat menggunakan media sosial. Ia mungkin akan mendorong kita terhadap beberapa perkara termasuklah:

  • Ketagih perhatian dari rakan alam maya
  • Mengabaikan individu di sekeliling alam realiti
  • Membandingkan diri kita dengan orang lain yang lebih dari kita
  • Menjadi orang yang narsistik
  • Tidak dapat tidur dengan cukup dan lena kerana terlalu leka bermain media sosial
  • Terlibat di dalam buli atau jenayah siber

Selain itu, akan timbul satu lagi isu yang sangat membimbangkan iaitu media sosial berkemungkinan akan membuat individu lebih kerap melancap. Benarkah penyataan ini?

melancap

Lebih kerap melancap akibat media sosial

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sesawang WebMD, hampir 95% lelaki dan 89 wanita pernah melancap!

Melancap atau beronani adalah satu perbuatan memuaskan nafsu secara sendiri. Ia dilakukan dengan perbuatan menyentuh, mengurut atau menggosok alat kemaluan sehingga mencapai klimaks lalu mengeluarkan air mani. 

Individu mungkin akan melancap untuk melegakan keinginan seksual mereka akibat nafsu syahwat terlalu terangsang. Persoalannya, adakah media sosial turut menyumbang kepada kekerapan individu itu melakukan onani?

Jawapannya adalah mungkin ya. Menurut soal selidik yang dijalankan oleh laman sesawang Sugarcookie.com terhadap 2,000 pengunjungnya, didapati bahawa 39% lelaki dan 42% wanita daripada jumlah itu mengaku pernah melancap sambil melihat gambar atau video seksi kenalan pejabat mereka di media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook.

Wah, angka ini sangat mengejutkan, bukan? Pun begitu, ia hanya satu kajian yang hanya menggambarkan permukaan tapi bukan keseluruhan. Ya, memang benar ia mungkin sedikit sebanyak menjadi punca permasalahan ini. Akan tetapi, tidak adil untuk kita menyimpulkan bahawa media sosial adalah punca utamanya. Segalanya terletak kepada individu itu sendiri.

Konklusi

Kesimpulannya, media sosial memang mempunyai banyak manfaat namun tidak lari dari mudarat. Semua perkara di dunia ini pasti mempunyai pro dan kontranya, bukan?

Tentang persoalan artikel ini, jawapannya adalah ya. Media sosial mungkin boleh jadi punca individu lebih kerap melancap. Namun, ia adalah terpulang kepada anda sendiri. Jadi, cuba untuk tidak memuat naik sebarang foto atau video seksi anda ke media sosial untuk mengelakkan anda dari jadi ‘bahan’ untuk orang lain memuaskan nafsu syahwat.

Mungkin Syahir dan golongan yang mempunyai perangai sama sepertinya juga perlu berhenti berkongsi gambar awek yang cun dan hot kepada kawan-kawan untuk mengelak perkara ini menjadi lebih teruk. Mencegah itu sudah pasti lebih baik dari mengubati. Akhir kata, gunakanlah media sosial dengan bijak!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut