Mati Pucuk: Keadaan dan Risikonya Terhadap Seorang Lelaki

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mati pucuk atau erectile dysfunction adalah sebuah keadaan dimana zakar seseorang lelaki tidak dapat menegang (penile erection) ketika terlibat dengan aktiviti seks dan ia turut merujuk kepada keadaan dimana seseorang lelaki tidak dapat mengekalkan ketegangan zakar atau alat kelaminnya ketika melakukan hubungan seksual. Mati pucuk turut dikenali sebagai lemah tenaga batin dan ianya merupakan satu penyakit yang bersifat semula jadi. Integrasi antara sistem saraf pusat, sistem saraf periferi, sistem pembuluh darah dan hormon akan menyebabkan ketegangan zakar lelaki dan sebarang perkara yang menyebabkan salah satu sistem ini tidak berfungsi secara normal akan memberi kesan terhadap zakar lelaki seperti masalah ereksi, orgasm atau ejakulasi. Perlu diingati, mati pucuk tidak merujuk kepada keadaan mandul atau ketidakupayaan seseorang untuk memancutkan air mani atau berejakulasi, namun keadaan-keadaan tersebut boleh berkait rapat dengan kedaan mati pucuk.

Kelompok yang berisiko mendapat mati pucuk

Masalah mati pucuk pada kebiasaannya berlaku kepada kaum lelaki apabila mereka mula meniti usia 40 tahun. Penyelidikan turut menyatakan bahawa dalam setiap 10 orang lelaki, 4 daripadanya mempunyai masalah mati pucuk ketika berusia 40 tahun dan ia akan bertambah teruk seiring dengan peningkatan umur. Kajian bebas oleh Pfizer pula mendapati bahawa seorang daripada setiap lima orang lelaki di Malaysia mengalami permasalahan mati pucuk. Antara mereka yang berisiko tinggi adalah mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, perokok, tidak aktif secara fizikal dan mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik seperti darah tinggi, kencing manis, hiperkolestrolemia (kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah) dan sindrom metabolisme.

Kriteria-kriteria mati pucuk

  • Zakar mengalami kesukaran untuk menegang ketika melakukan hubungan seksual
  • Zakar mengalami kesukaran untuk mengekalkan ketegangan atau ereksi sehinggalah pada akhir hubungan seksual
  • Zakar terlihat tidak mempunyai ketegangan yang ketara atau memuaskan
  • Tanda-tanda tersebut berlaku secara berterusan dalam tempoh selama 6 bulan
  • Tanda-tanda tersebut menjadikan seseorang individu mengalami tekanan yang ketara

Punca mati pucuk

Secara umumnya, mati pucuk terjadi apabila terdapatnya halangan yang menyebabkan pengurangan aliran darah atau aliran darah yang tersekat yang menyebabkan gangguan kepada zakar untuk menegang. Ini memberi kesan kepada keadaan zakar yang tidak boleh menegang ke tahap yang sepatutnya dan memuaskan. Terdapat juga pelbagai faktor lain yang boleh menjejaskan keupayaan seorang lelaki untuk mengalami ereksi zakar. Antaranya:

    • Gangguan fikiran serta emosi: gangguan kesihatan mental seperti tekanan, kemurungan, kegelisahan dan gangguan stres selepas trauma (PTSD). Masalah rumahtangga dan kurang rangsangan daripada pasangan turut termasuk dalam gangguan fikiran dan emosi.
    • Masalah saraf: ini termasuklah kecedaraan pada bahagian saraf tunjang, angin ahmar, strok, epilepsy, alzheimer dan slipped disc
    • Masalah salur darah dan penyakit kronik: kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan hati, penyakit buah pinggang, atherosclerosis dan kerosakan pembuluh darah daripada rawatan kanser prostat dan radioterapi
  • Kecederaan pada zakar
  • Kekurangan dan ketidakstabilan hormon: ini termasuklah kekurangan hormon testosteron, endorphin dan penyakit berkaitan thyroid
  • Tabiat yang merisikokan kerosakan saraf dan saluran darah: tabiat yang memberi kesan kepada mati pucuk termasuklah merokok dan pengambilan minuman beralkohol secara melebihi had yang sepatutnya
  • Penyalahgunaan dadah: ganja dan kokain
  • Faktor kesan ubat-ubatan: ubat-ubatan seperti Amphetamines, Barbiturates, ubat jenis beta-blocker bagi tekanan darah tinggi, anti depresi dan anti psychotic turut memberikan kesan terhadap mati pucuk
  • Faktor peningkatan umur individu: penyakit Parkinson boleh mengurangkan hormon Dopamine berkurangan yang akhirnya akan menyebabkan gangguan kepada pengekalan ketegangan zakar

Kesan mati pucuk kepada individu

Mati pucuk memberikan perasaan rendah diri dan malu kepada seseorang individu lelaki yang kemudiannya akan memberikan kesan terhadap psikologi individu. Masalah gangguan psikologi seperti tekanan dan kemurungan yang akan menambah keterukan kepada keadaan mati pucuk tersebut. Perkara seperti ini sememangnya akan menjejaskan hubungan intim antara pasangan.

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya mempunyai tanda-tanda mati pucuk?

Langkah awal yang perlu dilakukan adalah berjumpa dengan doktor perubatan terlebih dahulu bagi mengenalpasti gejala dan mendapatkan khidmat nasihat yang sepatutnya daripada pengamal perubatan yang bertauliah. Elakkan daripada mengambil sebarang jenis ubat-ubatan yang didakwa sebagai ubat kuat yang banyak terdapat di pasaran. Sebahagian besar daripadanya adalah ubat-ubatan tidak berdaftar seperti produk Nan Bao Capsule yang terkandung racun berjadual sildenafil dan tadalafil yang boleh membahayakan nyawa pengguna. Pemeriksaan doktor adalah penting bagi memastikan risiko serangan jantung sebelum memulakan apa-apa rawatan ubat kepada penghidap mati pucuk. Ini memandangkan ubat bagi rawatan mati pucuk boleh menyebabkan penurunan darah secara mendadak sekiranya diambil bersama dengan ubat nitrate bagi rawatan jantung.

Alternatif bagi rawatan mati pucuk

Secara umumnya, rawatan bagi mengatasi masalah mati pucuk boleh dikategorikan kepada tiga; rawatan melalui penggunaan ubat-ubatan, rawatan melalui penggunaan alat dan pembedahan.

  1. Rawatan ubat-ubatan
  • Phosphodiesterase-5 inhibitors: contoh ubat adalah seperti slidenafil, verdenafil dan avanafil. Fungsinya adalah untuk membantu mengembangkan saluran darah agar lebih banyak darah boleh memasuki zakar dan memudahkan ereksi untuk berlaku
  • Androgens: ia adalah ubat untuk individu yang mengalami kekurangan hormon testosterone dalam darah.
  • Intraurehtral Prostaglandin E1 pellet: ubat jenis ini dimasukkan terus ke dalam saluran urehtra (saluran air kencing) yang bertindak membuka saluran darah bagi membantu proses ereksi atau ketegangan
  1. Penggunaan alat
  • Alat penyempitan pangkal kelamin: sesetengah individu mempunyai masalah mati pucuk yang berpunca daripada masalah pembuluh darah. Alat ini digunakan dengan tujuan untuk menghimpit pangkal zakar agar darah tidak mudah mengalir keluar daripada zakar dengan cepat. Ia membantu zakar agar dapat mengekalkan ketegangan dalam satu tempoh yang lebih lama.
  • Alat vakum zakar: ia digunakan untuk menarik aliran darah untuk masuk ke bahagian zakar untuk memudahkan ia mengalami ereksi.
  1. Pembedahan
  • Sekiranya masalah mati pucuk masih berlaku setelah rawatan melalui penggunaan ubat atau alat, terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan iaitu melalui kaedah pembedahan. Salah satunya adalah melalui pembedahan kemasukan implan ke dalam alat kelamin, dan ia berfungsi membantu penetrasi ketika hendak melakukan hubungan seksual walaupun individu tersebut tidak mengalami ketegangan atau ereksi. Implan ini hanya membantu proses penetrasi dan bukannya membantu pesakit untuk mendapat ereksi zakar.

Apakah cara untuk mencegah mati pucuk?

Terdapat beberapa langkah pencegahan yang bersesuaian dan berkesan dalam mengelakkan mati pucuk daripada berlaku. Antaranya melalui pengubahsuaian gaya hidup kearah yang lebih sihat. Semua individu dinasihatkan untuk melakukan senaman atau aktiviti fizikal dengan lebih kerap, mengamalkan diet pemakanan secara sihat, menguruskan stres atau tekanan dengan baik, menghentikan tabiat merokok selain memastikan tekanan darah dan penyakit kencing manis agar lebih terkawal.

Penyalahgunaan dadah terlarang seperti kokain dan ganja beserta pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan hanya akan menjejaskan aliran darah ke bahagian zakar lelaki. Disebabkan itu, hormon akan turut berkurangan dan akhirnya menyebabkan mati pucuk kepada seseorang individu.

Selain itu, rujukan dan pemeriksaan melalui doktor dan pengamal perubatan yang bertauliah amatlah penting. Doktor berkelayakan untuk memberikan nasihat dan panduan kesihatan untuk mencegah penyakit mati pucuk daripada menjadi lebih teruk disamping mengelakkan sebarang risiko untuk mengalami mati pucuk. 

Tindakan berkaitan produk mati pucuk atau ubat kuat tidak berdaftar

Sebelum anda menggunakan sebarang produk ubat kuat atau ubat mati pucuk, adalah amat penting untuk anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu. Ketika anda berjumpa dengan pihak doktor, maklumkan kepada mereka mengenai sebarang pengambilan produk yang telah atau sedang digunakan dan ini termasuklah produk-produk persediaan tradisional, suplemen kesihatan mahupun sebarang krim sapuan.

Selain itu, pengambilan sebarang produk ubat-ubatan dan suplemen kesihatan perlulah diteliti samada ia berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia ataupun tidak. Anda boleh membuat semakan secara online di laman web rasmi Agensi Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia di alamat http://npra.moh.gov.my. Sila buat laporan kepada KKM sekiranya anda mendapati produk yang digunakan tidak berdaftar bagi tujuan penghentian pengedaran produk berbahaya yang boleh memberi kesan kepada orang lain di pasaran. Selain itu, anda juga boleh membuat laporan sekiranya sesuatu produk mati pucuk atau ubat kuat yang anda gunakan membuatkan anda berasa kurang sihat akibat daripada kesan sampingan produk tersebut. Rujuk dengan ahli farmasi berkenaan bantuan untuk mengisi dan menghantar laporan kesan sampingan produk.

Penyakit mati pucuk merupakan salah satu masalah yang jarang diperkatakan atau dibincang secara terbuka oleh masyarakat. Memandangkan ia bersifat hal ehwal dalaman alat sulit lelaki, ia sangat jarang dibincang untuk mengelakkan timbulnya perasaan malu oleh individu yang mengalaminya. Disebabkan oleh situasi ini, muncul pelbagai individu dan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memasarkan produk-produk perangsang seks atau ubat kuat yang boleh diperolehi melalui pembelian atas talian, tanpa perlu bersemuka dengan penjual. Aktiviti penjualan cara ini telah menggalakkan individu yang mengalami mati pucuk untuk mendapatkan ubat-ubatan secara mudah tanpa berasa malu dan ia turut didorong oleh beberapa faktor lain seperti dakwaan testimoni penggunaan tanpa pembuktian saintifik yang sah. Kaedah penjualan produk merawat mati pucuk ini bertujuan bagi melariskan jualan ubat-ubatan tersebut tanpa kawalan dan pemeriksaan yang sepatutnya. Selain produk berbentuk pil atau kapsul, pengeluar atau penjual turut memasarkan produk perangsang seks dengan cara mencampurkannya bersama-sama dengan produk makanan seperti kopi pracampur, gula-gula dan minuman kesihatan. Cara ini bertujuan untuk mengelakkan produk mereka daripada tersenarai dibawah kategori ubat-ubatan yang perlu didaftarkan dengan pihak PBKD, KKM.

Antara kesan sampingan akibat penggunaan produk mati pucuk tiruan atau yang tidak berdaftar adalah tekanan darah rendah yang boleh menyebabkan seseorang hampir pitam, kerosakan hati, kerosakan buah pinggang, gangguan mental dan gangguan terhadap fungsi jantung yang boleh merisikokan pengguna terhadap kejadian kematian secara mengejut.

Pesakit perlu bersikap terbuka bagi menyelesaikan masalah mati pucuk dan berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan yang tepat. Cuba berbincang dengan pasangan sekiranya seseorang individu mengalami masalah mati pucuk, memandangkan sifat kengganan dalam mengakui kegagalan untuk berereksi hanya akan menjejaskan hubungan antara pasangan masing-masing.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut