7 Makanan Yang Boleh Membantu Meningkatkan Libido!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

“Libido? Apa benda tu ya?”, tanya Waiz kepada doktor ketika dalam sesi konsultasi mengenai kemampuan seksual dirinya. Mungkin dia bukan seorang sahaja yang tidak tahu maksud sebenar perkataan ini. Nak tahu apakah ia? Jom ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

Apa itu libido dalam hubungan seksual?

Buat anda yang juga tertanya-tanya, libido adalah keinginan seksual, yang secara semula jadinya memang wujud dalam diri setiap individu. Tahap libido ini adalah berbeza-beza mengikut individu. Ada yang tinggi dan ada juga yang rendah bergantung kepada usia, kondisi kesihatan, perhubungan dan pemakanan.

Apa kesannya terhadap kemampuan seksual individu? Sebenarnya, mempunyai libido yang tidak menentu mungkin tidak akan mendatangkan masalah yang besar. Pun begitu, ia mungkin boleh menjejaskan tahap keyakinan diri seseorang itu. Jadi, sesuatu perlu dilakukan. Ayuh ikuti artikel ini untuk tahu beberapa jenis makanan yang boleh membantu meningkatkan libido!

Namun, ini hanyalah cadangan dan kesannya mungkin berbeza-beza bergantung kepada individu itu sendiri. Jadi, sila dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu, ya?

#1. Buah tembikai

Buah tembikai kadangkala dirujuk sebagai ‘viagra semula jadi’. Ini kerana ia mengandungi citrulline, sejenis sebatian yang membantu sel darah menjadi lebih relaks sekali gus melancarkan perjalanan darah dalam tubuh badan.

#2. Kacang pine

Kacang pine adalah sumber zink tinggi. Untuk pengetahuan anda, pengambilan makanan yang mengandungi zat ini dengan lebih banyak dalam diet anda dikatakan mungkin boleh meningkatkan keinginan seksual. 

#3. Kacang walnut

Kacang walnut kaya dengan asid lemak omega-3 dan lemak sihat yang boleh membantu mengeluarkan dopamine dan arginine – asid amino yang boleh meningkatkan nitrik oksida. Kesannya, ia mungkin boleh membantu melancarkan perjalanan darah dalam tubuh badan.

#4. Stik daging

Daging memang terkenal mengandungi zat besi yang berfungsi sebagai penyalur oksigen kepada sel darah merah, sekali gus membekalkan tenaga pada tubuh badan. Tambahan itu, ia juga mengandungi protein dan vitamin B yang sangat membantu dalam perembesan dopamine, neurotransmiter yang mengawal reaksi otak terhadap rangsangan keseronokan.

#5. Coklat gelap

Untuk penggemar coklat di luar sana, anda perlu tahu bahawa ia mengandungi sebatian yang dikenali sebagai phenylethylamine, yang membantu merembeskan endorfin dan dopamine. Kedua-duanya adalah sangat bagus dalam membantu meningkatkan libido.

#6. Rempah-ratus

Rempah-ratus seperti kulit kayu manis, cengkih dan lain-lain sebenarnya telah lama digunakan sebagai aphrodisiac – makanan atau minuman yang boleh meningkatkan keinginan seksual. Dalam pada itu, aroma daripada rempah-ratus ini mungkin boleh membantu meningkatkan mood anda untuk beraksi bersama pasangan di ranjang. 

#7. Asparagus

Ia sangat kaya dengan folat dan vitamin B yang membantu mengeluarkan histamin. Buat anda yang belum tahu, hormon ini dirembeskan ketika seseorang itu sedang mengalami orgasma.

Konklusi

Kesimpulannya, terdapat beberapa makanan dan minuman yang boleh membantu anda untuk meningkatkan keinginan seksual. Pun begitu, ia semua hanyalah cadangan semata-mata. Sebaiknya, jadilah seperti Waiz dan bertanya kepada doktor terlebih dahulu jika anda tidak tahu apa itu libido dan sama ada makanan dan minuman ini benar-benar boleh meningkat libido, ya?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut