HPV Lebih Lazim Dalam Kalangan Wanita Transgender?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Berdasarkan kajian di dua buah bandar di Amerika Syarikat, golongan wanita transgender (TGW) didapati mempunyai kadar prevalens virus Human papillomavirus (HPV) yang tinggi. Apabila dibandingkan dengan golongan lelaki yang bersemburit (MSM), golongan yang cukup berisiko untuk jangkitan kelamin seperti HPV, golongan TGW masih mengatasi kumpulan ini. 

Mengenal pasti risiko dalam kumpulan epidemiologi yang baru

Umum mengetahui bahawa kadar prevalens jangkitan kelamin seperti HIV dan HPV adalah sangat tinggi dalam kalangan lelaki yang bersemburit. Ini disebabkan oleh kaedah mereka melakukan hubungan kelamin (seks anal) yang mempunyai risiko penyebaran jangkitan yang tinggi. Namun, tidak banyak yang diketahui tentang prevalens jangkitan virus ini dalam kalangan wanita transgender (TGW). Malahan, golongan ini merupakan sub-kumpulan baru dalam kajian epidemiologi, menyebabkan pelbagai aspek penyakit jangkitan kelamin tidak diketahui untuk mereka. Untuk itu, satu kajian telah dijalankan untuk mengenal pasti kadar prevalens HPV dan juga pengetahuan tentang virus ini dalam kalangan wanita transgender. 

Wanita transgender vs MSM

Peserta yang diambil untuk menyertai kajian ini adalah golongan TGW dan juga MSM daripada klinik-klinik sekitar Chicago dan juga Los Angeles, Amerika Syarikat. Peserta dalam rekod daripada tahun 2012 hingga tahun 2014 adalah dalam lingkungan usia 18 hingga 26 tahun. Sebelum kajian dijalankan, peserta diminta untuk melaporkan identiti gender mereka, status HIV, pengetahuan tentang HPV dan juga status vaksinasi. Spesimen anal dan oral telah diuji untuk 37 jenis DNA HPV. Selain itu, serum peserta juga telah diuji untuk antibodi terhadap HPV.

Daripada 1033 peserta yang melibatkan diri dalam kajian ini, 49 daripadanya adalah wanita transgender. 

Saringan awal mendapati 44 golongan TGW dan juga 855 MSM tidak mendapatkan sebarang vaksin untuk virus ini. Daripada jumlah ini, 39 (88.6%) daripada golongan TGW dikesan mempuyai DNA virus HPV dalam spesimen anal mereka. Peratusan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding golongan MSM iaitu sebanyak 606 (70.9%). Peratusan bagi spesimen oral pula adalah sedikit rendah untuk golongan TGW (9.1%) berbanding golongan MSM (9.5%). Kewujudan antibodi terhadap HPV pula dikesan dalam 37 (84%) daripada golongan TGW dan dalam 467 (54.6%) golongan MSM. Dari sudut kesedaran HPV pula, apa yang cukup mengejutkan adalah kebanyakan golongan TGW (55.1%) tidak pernah dengar pun tentang vaksin HPV. 

Sebagai konklusi, kajian ini mendapati golongan TGW mempunyai kadar prevalens HPV yang tinggi diikuti oleh tahap pengetahuan yang rendah terhadap virus ini. Ini menyebabkan mereka menjadi golongan yang cukup rapuh dan berisiko untuk mengalami komplikasi HPV dan juga untuk menyebarkan jangkitan ini kepada pasangan mereka. Menurut pasukan pengkaji, manfaat kajian ini adalah ia berjaya mengenal pasti sub-kumpulan lain berisiko tinggi yang baru dalam kajian jangkitan kelamin. Oleh itu, mereka berharap agar kempen kesedaran, program vaksinasi dan fokus yang lebih dapat diberikan kepada golongan wanita transgender ini demi kebaikan kesihatan awam.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut