Alamak! Ada Lendir Keluar Daripada Faraj!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Setelah selesai melakukan hubungan kelamin bersama suaminya, Farah bergerak ke tandas untuk mandi sebelum tidur. Memang menjadi rutin buatnya untuk membersihkan diri selepas hubungan seks sebelum tidur namun kali ini Farah tersentak dengan apa yang dijumpainya.

“Abang! Ada lendir keluar!” teriaknya. Haris bergegas ke bilik air untuk melihat apa yang berlaku dan mereka membuat keputusan untuk bergegas ke klinik berdekatan serta-merta. Ingin tahu apa yang sedang berlaku? Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

Fenomena keputihan; Adakah ia perkara biasa?

Seperti apa yang berlaku kepada Farah, tanpa pengetahuan asas berkenaan dengan masalah keputihan, kita akan mudah panik memandangkan lendir putih bukanlah cecair yang biasa keluar daripada faraj. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, masalah keputihan atau fenomena lelehan berwarna putih dialami oleh 75% wanita yang telah berkahwin seusai aktiviti seksual. Jadi, adakah apa yang dialami oleh sebahagian besar wanita tersebut adalah sesuatu yang tidak perlu diambil berat? Jawapannya tidak.

Walaupun kebanyakan lendir putih yang keluar daripada faraj merupakan perkara normal yang tidak berkait dengan apa-apa penyakit, sebahagian daripadanya merupakan kesan daripada aktiviti bakteria yang boleh menyebabkan komplikasi seperti ketidaksuburan dan kanser rahim. Kepercayaan yang menyatakan bahawa kesemua fenomena keputihan merupakan petanda akan bermulanya kitaran haid adalah tidak benar. Mereka yang mengalami lelehan lendir ini perlu mengetahui sedikit sebanyak berkenaan dengannya bagi mengesan masalah keputihan tidak normal yang memerlukan perhatian doktor.

Jangkitan kuman atau keputihan fisiologis?

Secara asasnya, masalah keputihan terbahagi kepada dua iaitu keputihan fisiologi (normal) dan keputihan patologi (tidak normal). Ciri-ciri bagi lendir untuk kedua-dua jenis keputihan adalah seperti berikut:

Keputihan Normal Keputihan Tidak Normal
Warna Putih Kuning, kelabu atau hijau
Bau Tidak berbau Berbau busuk
Sifat lendir Lendir cair dan tidak berbau Lendir pekat dan berbau
Jumlah lendir Sedikit Banyak
Kekerapan Sebelum kitaran haid Semasa jangkitan kuman
Simptom lain Tiada Gatal dan keradangan pada faraj
Rawatan Tidak perlu Perlu (segera)

Terdapat beberapa faktor yang mendorong ke arah masalah keputihan namun perlulah diingatkan bahawa majoriti wanita melalui fasa keputihan normal sebelum bermulanya kitaran haid. Ini bermakna diagnosis untuk penyakit tertentu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya hanya kerana anda mempunyai salah satu faktor yang tersenarai di bawah. Pemeriksaan rapi oleh doktor diperlukan untuk membuat diagnosis.

Faktor hormon

Ketidakseimbangan hormon sering dikaitkan dengan kekerapan berlakunya masalah keputihan dalam kalangan wanita. Stres dan polycystic ovarian syndrome (PCOS) adalah merupakan dua contoh penyakit yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon oestrogen di dalam badan seterusnya menyebabkan peningkatan rembesan cecair vagina. Keputihan patologi yang boleh menyebabkan cecair vagina pekat boleh mendorong kulat untuk melekat pada dinding rahim. Simptom lain seperti peningkatan bulu pada bahagian muka dan badan, kenaikan berat mendadak dan haid tidak teratur boleh dialami oleh wanita yang mempunyai ketidakseimbangan hormon.

Faktor penggunaan antibiotik

Walaupun antibiotik adalah merupakan ubat yang boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis jangkitan bakteria, ia juga boleh mendorong kepada tercetusnya spesies rintang antibiotik (antibiotik resistant). Perkara ini boleh berlaku jika pesakit mengambil antibiotik berlebihan untuk jangka masa panjang yang menyebabkan kematian populasi bakteria baik pada bahagian faraj. Ini boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman pada bahagian faraj dan wanita tersebut boleh mengalami simptom gatal-gatal, ruam dan sakit pada bahagian faraj ketika menjalinkan hubungan kelamin.

Faktor kesuburan dan rangsangan seksual

Wanita boleh mengalami lelehan lendir yang banyak ketika di pertengahan fasa kitaran haidnya. Ini adalah merupakan tindak balas fisiologi badan bagi membuat persediaan untuk proses ovulasi. Jumlah lendir tersebut akan berkurangan setelah telur berjaya dikeluarkan daripada ovari dan pada ketika ini, sebahagian wanita mengalami simptom kenaikan suhu badan, sakit di satu bahagian abdomen dan pendarahan kecil (spotting).

Jumlah lendir ini juga boleh meningkat tatkala wanita mengalami rangsangan seksual. Ini berikutan pengembangan saiz salur darah pada bahagian kemaluan seterusnya menyebabkan peningkatan rembesan cecair faraj sebagai pelincir bagi menyediakan faraj untuk hubungan seksual.

Penggunaan alat pencegah kehamilan (intrauterine device atau IUD)

Walaupun IUD adalah merupakan alat pencegah kehamilan yang efektif, hakikatnya, ia adalah merupakan objek asing di dalam faraj. Alat ini boleh menyebabkan iritasi pada tisu-tisu di sekeliling dinding faraj dan jangkitan kuman. Menurut kajian yang dijalankan oleh Tessa pada tahun 2013 berkenaan dengan IUD dan jangkitan kuman di bahagian faraj, mereka mendapati jangkitan tersebut berlaku kepada 37% daripada jumlah mereka yang menggunakan IUD. Simptom lain yang boleh dialami adalah seperti lendir berwarna kuning, hijau atau kelabu, lendir yang berbau busuk, bengkak pada bukaan faraj dan sakit pada permukaan bukaan faraj.

Gaya hidup dan penyakit kronik

Gaya hidup memainkan peranan penting dalam menentukan kecenderungan seseorang itu untuk mendapat masalah keputihan tidak normal. Wanita yang aktif dan mempunyai ramai teman seksual adalah lebih mudah untuk mendapat penyakit seksual yang boleh menyebabkan simptom lelehan lendir daripada bukaan faraj.

Bagaimana pula dengan penyakit kronik? Sebahagian besar masyarakat umum tahu bahawa penghidap penyakit AIDS, kanser dan kencing manis mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah membuatkan mereka cenderung untuk mendapat pelbagai jenis jangkitan kuman. Namun di antara kesemuanya, pesakit kencing manis kerap mendapat masalah keputihan disebabkan oleh kulat yang lebih suka untuk membiak dalam persekitaran yang tinggi gula.

masalah keputihan

Faktor penting! Tahap kebersihan faraj

Faraj perlu dijaga dengan baik agar ia sentiasa bersih dan bebas daripada jangkitan kuman. Walaupun fakta ini diketahui oleh kesemua wanita, namun sebahagian daripadanya tidak tahu bagaimanakah cara yang terbaik untuk menjaga kebersihan alat sulit masing-masing. Berikut merupakan beberapa isi penting berkenaan dengan bagaimana anda boleh menjaga kebersihan faraj anda.

  1. Pastikan anda membersihkan faraj anda menggunakan air suam dan sabun yang kurang atau tidak berbau. Sesudah itu, bahagian tersebut perlu dibilas dengan baik supaya tiada kesan sabun yang tertinggal.
  2. Buka labia anda dan bersihkan ruang di antara labia dan lipatan klitoris menggunakan air suam dan sabun untuk menghilangkan kesan lendir yang berlebihan.
  3. Lap faraj anda menggunakan tuala lembut sehingga kering.
  4. Semasa haid, tukar tuala wanita atau tampon secara berkala. Pada ketika ini, faraj anda akan dibersihkan secara sendirinya. Jika anda tidak diarahkan untuk menggunakan sebarang ubat-ubatan untuk faraj anda, jangan semburkan sebarang cecair yang dapat mengganggu kestabilan pH faraj anda.
  5. Gunakan air suam dan sabun untuk membersihkan bukaan faraj anda. Jangan masukkan sabun ke dalamnya.
  6. Basuh pakaian dalam yang baru sebelum dipakai menggunakan bahan cuci yang bersesuaian. Gunakan kitaran bilasan tambahan untuk memastikan kesemua bahan cuci tersebut telah pun dibilas.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk anda tahu jika faraj anda sihat ataupun tidak? Faraj wanita mempunyai bau yang berubah mengikut peredaran kitaran haid. Kebanyakan wanita mengalami lelehan lendir sebelum bermulanya haid dan warna bagi lendiran yang sihat mempunyai variasi daripada jernih, putih dan sedikit kekuningan. Jika faraj anda mengeluarkan lendir yang berwarna kelabu, hijau ataupun kuning pekat, berbau busuk seperti bau ikan bersama simptom lain seperti gatal-gatal, kemerah-merahan dan sakit, sila berjumpa dengan doktor untuk menjalani pemeriksaan fizikal dan rawatan lanjut.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut