Air Mani: Apa yang Perlu Diketahui Mengenainya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Seorang lelaki normal boleh menghasilkan kira-kira 2 hingga 6 ml air mani apabila berejakulasi. Air mani hadir daripada alat kemaluan lelaki dan ianya bermula daripada sperma. Sperma terhasil daripada testis dan disimpan di bahagian epididimis, satu saluran yang berada di belakang testis, di mana sperma berpindah ke vas deferens. Epididimis bertindak sebagai takungan di belakang testikel. Daripada takungan ini, sperma melalui sperma bergerak (melalui vas deferens) dengan bahagian matanya ditetapkan pada saluran ejakulasi di mana ia akan siap untuk dilancarkan.

Memandangkan sperma bergerak melalui vas deferens, ia mempunyai kesukaran dan tidak mampu untuk melaluinya dengan sendiri. Disinilah muncul peranan bahagian-bahagian lain dalam sistem reproduktif yang membantu sperma dengan mencampurkan cecair mereka untuk membantu sperma melalui laluan tersebut. Cecair-cecair tersebut datang daripada vesikel mani, prostat, dan kelenjar bulbourethral.

Dari manakah air mani terhasil?

air mani

Sperma terhasil daripada testikel dan terdiri daripada 2-5 peratus keseluruhan kandungan air mani. Terdapat sekitar 20 – 100 juta sperma untuk setiap ml ejakulasi, dan memandangkan seorang lelaki boleh mengeluarkan sekitar 2 hingga 6 ml air mani, dianggarkan sekitar 600 juta sperma dikeluarkan bagi setiap ejakulasi yang berlaku. Sperma turut menyukai suhu yang sejuk, iaitu sekitar 2 – 3 darjah lebih sejuk berbanding suhu tubuh badan. Suhu seperti itu hanya disediakan oleh testikel manusia.

Vesikel mani (seminal vesicles) adalah sepasang kelenjar yang terletak di bawah pundi kencing dan di sebelah vas deferens. Inilah bahagian dimana kebanyakan air mani terhasil – sekitar 70% air mani terhasil daripada bahagian ini. Cecair yang terhasil daripada vesikel mengandungi protein, asid askorbik, asid amino, fosforus, kalium, l-karnitin dan nutrien-nutrien lain. Tetapi sebahagian besarnya terdiri daripada fruktosa, atau gula yang telah dipecahkan, yang menyediakan sperma dengan tenaga yang diperlukan untuk bergerak. Sebagai fakta, tubuh badan wanita menganggap sperma sebagai agen asing dan menolaknya dengan aktif. Cecair daripada vesikel mengandungi prostaglandins yang membantu sperma untuk memasuki tubuh badan wanita tanpa disedari atau dikesan.

Kelenjar prostat pula terletak dibawah pundi kencing dan dihadapan rektum. sekitar 25% daripada air mani terhasil daripada cecair yang dikeluarkan oleh prostat. Cecair yang terhasil daripada prostat terdiri daripada asid fosfat, asid sitrik, kalsium, zink dan magnesium. Daripada jumlah ini, zink adalah yang paling produktif dan yang paling penting, kerana ia membantu menstabilkan DNA sperma. Di bahagian ini juga air mani mendapat warna dan rasanya. Prostat juga menghasilkan cecair yang dipanggil prostatic specific antigen. Cecair ini mencairkan air mani dan membolehkan sperma untuk berenang dengan bebas.

Kelenjar bulbourethral menghasilkan sekitar 1% daripada jumlah keseluruhan air mani. Kelenjar ini terletak di bahagian dasar zakar dan mempunyai saiz sebesar kacang pea. Apabila seseorang lelaki terangsang secara seksual, kelenjar ini akan mengekuarkan lendir yang melincirkan kepala zakar, meneutralkan keasidan vagina dan menyingkirkan sebarang air kencing yang tersisa daripada uretra. Pengeluaran cecair daripada kelenjar inilah yang seringkali dirujuk sebagai “pre-cum” dan ianya tidak mengandungi sebarang sperma. Walau bagaimanapun, sekiranya seseorang lelaki baru sahaja berejakulasi, cecair ini kadangkala akan membawa bersama dan mengeluarkan sperma yang tertinggal.

Dua fasa ejakulasi

Fasa 1: pelepasan di mana vas deferens (tiub yang menyimpan dan mengangkut sperma dari testis) berkontraksi untuk mengeluarkan sperma ke arah pangkal zakar melalui kelenjar prostat dan ke dalam uretra. Vesikel mani mengeluarkan sebahagian daripada air mani yang digabungkan dengan sperma. Ejakulasi tidak dapat dihentikan pada peringkat ini.

Fasa 2: ejakulasi di mana otot pada dasar zakar dan uretra berkontraksi. Ini menyebabkan air mani dipaksa keluar dari zakar (ejakulasi dan orgasma) dan fasa ini juga mempunyai penguncupan leher pundi kencing. Kontraksi leher pundi kencing berlaku untuk mencegah aliran balik air mani ke dalam saluran kencing. Orgasma boleh juga terjadi walaupun tanpa pengeluaran air mani (ejakulasi) dari zakar.

Bagaimana ingin mengetahui sekiranya air mani saya normal?

air mani

Air mani yang sihat pada kebiasaannya berwarna putih atau sedikit kelabu dengan konsistensi seakan-akan jeli. Air mani kebiasaannya mempunyai bau seperti bahan peluntur disebabkan oleh kandungan bahan alkali dalam komposisinya. Sifat alkali air mani ini adalah penting untuk melawan sifat keasidan alat kelamin wanita.

Sekiranya air mani anda keluar dengan berwarna merah atau sedikit kecoklatan, ianya mungkin disebabkan pembuluh darah yang pecah dan ianya tidak perlu dirisaukan. Ini kerana dalam waktu sehari atau dua hari, air mani anda akan kembali kepada warnanya yang asal. Darah di dalam air mani atau dikenali sebagai haematospermia adalah satu simptom yang membimbangkan bagi kesemua lelaki. Walau bagaimanapun, adalah amat jarang untuk ia menjadi satu masalah yang serius. Tetapi sekiranya warna air mani tersebut tidak berubah dalam masa beberapa hari, ianya mungkin disebabkan oleh sebarang jangkitan, trauma atau juga kanser (kes yang amat jarang), dan anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.

Tetapi sekiranya air mani mempunyai warna kuning atau hijau, ia mungkin menunjukkan jangkitan yang disebabkan oleh hubungan seksual. Antara gejala lain bagi seseorang lelaki yang mendapat jangkitan melalui hubungan seksual adalah lebam di bahagian zakar, sakit semasa membuang air kecil, gatal-gatal dan kelepuhan.

Apa maksudnya sekiranya saya tidak mengeluarkan air mani?

Dry orgasm ialah satu keadaan di mana seseorang lelaki mencapai klimaks seksual tetapi tidak berejakulasi. Keadaan seperti mampu menakutkan seseorang individu. Bagi kebanyakan lelaki muda, ianya bukanlah satu masalah yang besar dan kadangkala ia disebabkan oleh orgasma yang berulang. Ia menyebabkan zakar kehabisan air mani untuk dikeluarkan lagi.

Walau bagaimanapun, bagi lelaki yang lebih berusia yang pernah menjalani pembedahan prostat, radioterapi atau sebarang rawatan di bahagian prostat, ini mungkin memberi tanda retrograde ejaculation; satu keadaan di mana air mani memasuki pundi kencing dan bukannya keluar melalui zakar semasa orgasma.

Kualiti dan kesuburan sperma

Satu penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Fertility and Sterility pada tahun 2014 menyatakan, lelaki yang mempunyai tahap kesihatan yang rendah akan mempunyai tahap kualiti dan kesuburan sperma yang rendah. Sebagai contoh, pengambilan alkohol secara berlebihan dan tabiat merokok boleh mengurangkan pengeluaran sperma, yang menyebabkan seorang lelaki menjadi kurang subur. Selain daripada itu, tabiat pemakanan yang tidak dikawal yang menyebabkan obesiti turut memberi masalah kepada kualiti sperma. Seorang lelaki yang berlebihan berat badan menghasilkan lebih banyak oestrogen daripada lemak yang turut menghalang pengeluaran sperma.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan bahawa keadaan yang dianggap sebagai kurangnya jumlah sperma adalah apabila hanya terdapat 15 juta sperma bagi setiap mililiter air mani. Kekurangan jumlah sperma dalam air mani akan menyukarkan seseorang atau pasangannya untuk hamil, tetapi ia tidak bermakna bahawa seseorang lelaki itu tidak subur. Terdapat beberapa faktor yang memungkinkan kurangnya jumlah sperma dalam air mani, dan ia termasuklah:

  • Gangguan hormon seperti hyperthyroidism dan hypogonadism
  • Jangkitan
  • Terdedah kepada sebarang radiasi atau toksik seperti bahan kimia industri dan plumbum
  • Penggunaan dadah
  • Pengambilan alkohol secara berlebihan
  • Tabiat merokok
  • Mempunyai berat badan berlebihan
  • Kesan sampingan ubat-ubatan

Kesihatan sperma bergantung kepada tiga perkara:

air mani

  1. Kuantiti: air mani yang keluar bagi setiap kali ejakulasi mengandungi sekurang-kurangnya 15 juta sperma bagi setiap mililiter. Sperma yang terlalu sedikit menyukarkan untuk mendapat kehamilan memandangkan jumlah sperma yang perlu bergerak ke arah telur adalah sedikit.
  2. Pergerakan: untuk sampai kepada telur, sperma perlulah bergerak dan berenang ke bahagian serviks, uterus dan tibu fallopian wanita. Ia dipanggil sebagai motiliti, dan seseorang individu dikira subur sekiranya 40% daripada sperma bergerak.
  3. Struktur sperma: sperma yang normal mempunyai kepala yang berbentuk oval dan ekor yang panjang. Sekiranya seseorang individu mempunyai kuantiti sperma normal yang lebih banyak, maka ia dianggap sebagai subur.

Adakah kerap berejakulasi boleh mempengaruhi kualiti air mani?

Kerap berejakulasi mungkin akan menyebabkan air mani menjadi cair dan tidak mempunyai konsistensi seperti jeli. Sekiranya seseorang individu kerap melancap atau terlibat dengan aktiviti seksual beberapa kali dalam sehari, tubuh tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghasilkan jumlah air mani yang cukup atau yang berkualiti. Dalam satu penyelidikan bertajuk “Analysis of Semen Parameters During 2 Weeks of Daily Ejaculation: A First in Humans Study” yang diterbitkan pada tahun 2016, seramai 20 orang lelaki perlu melakukan ejakulasi setiap hari dalam tempoh 14 hari selepas 3 – 5 hari tidak berejakulasi. Para penyelidik mengumpulkan dan menganalisis sampel air mani peseta pada hari pertama, ketiga dan ke 14 kajian. Mereka mendapati, jumlah kandungan air mani dan jumlah kandungan sperma berkurangan diantara hari pertama dan hari ketiga dan juga diantara hari ke 7 dan hari ke 14.

Langkah untuk menghasilkan sperma yang berkualiti

Terdapat beberapa cara yang boleh membantu menghasilkan sperma yang berkualiti. Antaranya:

  • Mengekalkan berat badan yang sihat: kajian pernah mencadangkan bahawa BMI yang semakin meningkat berkait rapat dengan penurunan jumlah sperma dan pergerakan sperma
  • Amalkan pemakanan sihat: lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mana ia kaya dengan antioksida yang boleh meningkatkan kualiti kesihatan sperma. Kurangkan pengambilan minuman beralkohol dan banyakkan pemakanan makanan yang kaya dengan antioksida seperti kacang walnut. Kurangkan pengambilan kacang soya memandangkan ia kaya dengan kandungan isoflavon yang berkaitan dengan kualiti air mani yang lebih rendah
  • Elakkan penyakit jangkitan seksual (STD): penyakit seperti chlamydia dan gonorrhea boleh menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan lelaki. Gunakan kondom setiap kali anda melakukan hubungan seksual atau kekal dengan hubungan bersama seorang pasangan sahaja
  • Pengurusan stres: stres boleh menurunkan fungsi seksual dan mengganggu hormon yang bertanggungjawab dalam penghasilan sperma. Stres dalam tempoh yang lama boleh meningkatkan tahap kortisol yang mempunyai kesan negatif terhadap testosteron. Apabila tahap kortisol meningkat, tahap testosteron pula akan menurun
  • Kerap melakukan aktiviti fizikal: bersenam dengan kerap boleh membantu meningkatkan tahap testosteron lelaki. Penyelidikan turut menunjukkan bahawa individu yang bersenam dengan kerap mempunyai tahap testosteron yang tinggi dan kualiti air mani yang lebih baik berbanding mereka yang tidak aktif.
  • Dapatkan kandungan zink yang cukup: zink adalah mineral penting yang boleh dijumpai dalam makanan berasaskan ikan, daging, telur dan kerang. Pengambilan zink yang mencukupi adalah antara faktor yang membantu kesuburan lelaki. Pengambilan zink yang tidak mencukupi pula berkait rapat dengan tahap testosteron yang rendah, kualiti sperma yang rendah dan peningkatan risiko ketidaksuburan lelaki.
  • Elakkan pendedahan terhadap persekitaran yang bertoksin: pendedahan diri terhadap persekitaran yang tercemara seperti kualiti udara yang teruk dan bahan kimia berbahaya sering dikaitkan dengan pengurangan kesihatan dan kuantiti sperma. Amalkan langkah-langkah penjagaan terbaik di tempat kerja untuk mengurangkan pendedahan terhadap persekitaran bertoksin. Antara pekerjaan yang perlu diambil berat adalah bagi mereka yang berada di sektor pembinaan, pemesinan, pembuatan logam, penerbitan, minyak dan gas, pelombong arang batu, kitar semula dan pengurusan sisa, mekanik dan pembuatan.

Nutrien utama bagi penghasilan air mani dengan sperma berkualiti

air mani

  1. Coenzim Q10: pengambilan sebanyak 100 – 200 mg setiap hari boleh membantu sperma untuk menukarkan gula kepada tenaga dan melindunginya daripada molekul reaktif. Makanan yang berkaitan adalah avokado, daging lembu tanpa lemak, minyak zaitun dan makanan laut.
  2. Asid Folik/folat: pengambilan sebanyak 400 – 600 mcg setiap hari boleh mengelakkan kekurangan asid folik yang boleh menyebabkan kuantiti sperma yang rendah atau kualiti DNA yang rendah dalam sperma. Makanan yang berkaitan adalah sayur-sayuran hijau dan lentil.
  3. Selenium: pengambilan sebanyak 55 – 100 mcg setiap hari boleh membantu mengawal selia hormon dan menyokong integriti struktur sperma dengan mengukuhkan bahagian leher yang menghubungkan kepala dan ekor sperma. Makanan yang berkaitan adalah daging lembu tanpa lemak, cendawan, makanan laut dan ayam.
  4. Vitamin E: pengambilan sebanyak 15 – 20 mg setiap hari boleh membantu melindungi sperma daripada kerosakan akibat radiasi dan toksin. Makanan yang berkaitan adalah sayur-sayuran hijau, avokado, kekacang, ikan salmon dan makanan laut.
  5. Vitamin C: pengambilan sebanyak 100 – 150 mg setiap hari boleh membantu melindungi sperma daripada radikal. Ia turut digunakan oleh hati untuk mensintesis asid amino yang terlibat dalam penghasilan sperma. Makanan yang berkaitan adalah lada benggala, beri dan buah-buahan sitrus seperti lemon dan oren.
  6. Zink: pengambilan sebanyak 10 – 20 mg setiap hari membantu mensintesis folat yang amat penting dalam penghasilan DNA. Makanan yang berkaitan adalah kekacang, oat, dan makanan laut.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut