Senjata Baru Dalam Melawan Karies Gigi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Percaya atau tidak, penyakit kronik yang paling lazim di dunia bukanlah kencing manis atau tekanan darah tinggi – kedudukan tersebut adalah milik sejenis penyakit mulut iaitu karies gigi.

Beban penyakit yang kurang dibicarakan

Walaupun ia boleh dicegah dengan baik, hampir 100% orang dewasa di seluruh dunia mempunyai karies gigi pada kadar keterukan yang berbeza. Kanak-kanak adalah kumpulan populasi yang paling berisiko tinggi untuk menghidap karies gigi yang teruk sehingga memerlukan rawatan. Di seluruh dunia, sekitar 60 hingga 90% daripada kanak-kanak mempunyainya dan lebih 600 juta mengalami Early Childhood Caries (ECC).

Di Malaysia, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan 9 daripada 10 orang dewasa di Malaysia pernah mengalami penyakit periodontal dan juga karies gigi pada suatu ketika yang lalu dalam hidup mereka. Data tempatan ini menunjukkan sekitar 40 hingga 75% daripada pelajar sekolah menghidapinya. Darjah keterukan yang lebih tinggi dalam kanak-kanak ini turut dilihat berdasarkan data yang menunjukkan 76% daripada kesemua kanak-kanak di bawah usia 5 tahun telahpun mempunyai 8 daripada 10 gigi susu mereka terjejas dengan karies.

Di sebalik angka yang membimbangkan ini, kesedaran terhadap kesihatan dan kebersihan mulut kekal pada paras yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Majoriti hanya akan mendapatkan rawatan apabila masalah telah menjadi teruk dan rawatan doktor diperlukan. 

Pencegahan adalah jauh lebih baik berbanding rawatan

Dari simptom yang cukup menyusahkan, sehinggalah ke rawatan yang mahal, kepentingan untuk mencegah penyakit ini daripada berlaku tak dapat ditekan lagi. Jika dibiarkan tidak terkawal, bakteria dalam plak gigi akan terus memecahkan gula dalam mulut dan terus menghasilkan asid yang banyak. Asid yang tinggi dalam mulut ini akan perlahan-lahan menghakis enamel gigi dan berupaya untuk menghasilkan lubang ataupun kaviti. Tanpa langkah intervensi, kaviti-kaviti tersebut akan terus membesar sehingga mendedahkan lapisan dentin dan terjadinya kaviti akar. Apabila ini berlaku, kaviti pulpa akan terdedah dan rasa sakit yang cukup menjengkelkan (yang sering dikaitkan dengan kaviti) boleh berlaku. Selain itu, penghakisan berterusan boleh menyebabkan gigi menjadi pecah, pembentukan nanah di sekitar gigi (berupaya untuk menyebabkan jangkitan yang sistemik), gangguan fungsi seperti masalah untuk mengunyah, dan juga isu-isu berkaitan dengan aspek psikologikal seperti kurang keyakinan diri (akibat masalah estetik gigi).

Di Malaysia, rawatan yang ada melibatkan pemasangan silara gigi (crown installment), tampalan gigi (tooth fillings), mencabut gigi (tooth extraction) dan juga pembentukan laluan akar (root canalisation). Rawatan-rawatan ini bukan sahaja mahal, bahkan ia datang dengan beberapa keburukan khususnya untuk cabutan gigi. Menurut Prof. Dr. Rahimah Abdul Kadir, Pengerusi Kesatuan Global untuk Masa Depan Bebas Kaviti (ACFF) Bahagian Malaysia, hampir kesemua alatan yang digunakan untuk rawatan kaviti diimport dari negara luar. Walaupun hal ini dapat memastikan taraf rawatan kita adalah antara yang terbaik, namun ia juga menjadikan rawatan-rawatan tersebut sangat mahal.

“Apabila cabutan gigi telah dibuat pada usia yang sangat muda, ini akan mempengaruhi pembentukan rahang muka dan juga ketumbuhan gigi-gigi yang lain. Ini akan mendorong untuk terjadinya ‘kesesakan’ (crowding) dan masalah maloklusi (malocclusions),” kata Prof. Dr. Rahimah.

Menguatkan ‘senjata’ dalam memerangi kaviti

Walaupun rasa sakit merupakan simptom klasik untuk keadaan ini, kaviti yang kecil jarang mengakibatkan rasa sakit pada peringkat permulaan. Ini boleh menyukarkan seseorang itu untuk menyedari bahawa mereka mempunyai masalah gigi seumpama bom jangka, menunggu masa untuk menjadi lebih teruk. Di sini pentingnya kesedaran menjaga kebersihan mulut dan juga untuk mendapatkan janji temu berkala bersama doktor gigi bagi membolehkan pengesanan penyakit mulut di peringkat awal. Ini dapat mengelakkan anda daripada mendapat komplikasi yang kekal dan juga rawatan yang mahal. Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, strategi terbaik adalah untuk mencegah keterjadian kaviti. Langkah pencegahan melibatkan perkara seperti memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida, menggunakan cecair kumur mulut (mouth rinse) dan juga pengubahsuaian diet yang tinggi gula. 

Dari kiri: Tanya Teng, Pengarah Bersekutu Colgate Palmolive Hab ASEAN, Prof. Dr. Rahimah Abdul Kadir, Pengerusi Kesatuan Global untuk Masa Depan Bebas Kaviti (ACFF) Bahagian Malaysia.

Usaha kolektif diperlukan bagi menghasilkan kesedaran terhadap kesihatan mulut dan untuk menurunkan insiden kaviti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Ini selari dengan misi ACFF yang ingin mencapai masa depan bebas kaviti untuk setiap kanak-kanak selepas tahun 2026. ACFF bekerjasama dengan Colgate-Palmolive sebagai pemain industri produk penjagaan gigi yang strategik dan berpengaruh demi mencapai matlamat tersebut. Menurut Tanya Teng, Pengarah Bersekutu Colgate Palmolive Hab ASEAN, Colgate kini telah menggunakan teknologi terbaru dalam produk mereka yang khusus untuk perlindungan daripada kaviti, yang dikenali sebagai teknologi ‘Amino Power’.

Inovasi ini melibatkan penggunaan sejenis asid amino semula jadi yang terdapat dalam air liur, arginin, untuk membantu menurunkan paras asid dalam mulut. Berbeza dengan formulasi lampau, arginin merupakan bahan organik yang dapat membantu menguatkan mekanisma perlindungan semula jadi mulut terhadap asid,” kata Tanya.

Kesedaran terhadap masalah karies gigi di Malaysia perlu dipertingkatkan. Penjagaan kebersihan dan kesihatan mulut yang baik adalah penting bagi memastikan kesihatan mulut dan juga badan secara menyeluruh. Lebih daripada sekadar penjagaan nilai estetik, terdapat risiko kesihatan yang serius apabila anda membiarkan karies terus merebak dalam mulut anda. 

Dalam usaha membanteras kaviti, pastikan anda mendapatkan maklumat yang betul berkaitan dengan penggunaan dan juga produk penjagaan gigi yang tepat. Amalkan langkah pencegahan yang mencukupi dan jadualkan janji temu berkala bersama doktor gigi untuk diri anda dan juga anak-anak anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut