Normal Ke Kalau Gigi Kuning?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Masa berbual dengan seseorang, mesti kita akan memandang pada gigi individu tu, bukan? Kalau gigi dia putih berkilau, ‘sure’ kita akan terfikir pandainya dia menjaga gigi. Tapi kalau gigi dia agak kekuningan, terus kita ‘cop’ dia tak tahu menjaga kebersihan gigi, betul tak?

Sudah menjadi stigma untuk kita merasakan gigi putih adalah satu lambang gigi yang sihat, manakala gigi yang kuning akan kita anggap sebagai gigi yang tidak dijaga dengan baik. Tapi betul ke begitu?

Gigi kuning, warna bukan penentu

Menurut Dr Ibrahim Shahruddin, pakar dalam bidang Pemulihan dan Estetika Pergigian (Restorative and Aesthetic Dentistry), gigi yang normal tidak ditentukan dengan hanya melihat pada warnanya. 

Dr Ibrahim memberitahu, gigi sama keadaannya seperti individu yang mempunyai warna kulit yang berbeza di mana ia bukanlah satu masalah. Tetapi sebarang penyakit berkaitan kulit itu adalah perkara yang perlu dirawat. Begitu jugalah dalam aspek pergigian, di mana warna pada gigi bukanlah satu faktor penting tetapi masalah yang terjadi pada gigi adalah yang perlu dibimbangkan.

Jelas beliau lagi, tahap kesihatan gigi seseorang itu tidak dinilai sebagai tidak normal walaupun ianya berwarna kuning. Perkara yang menentukan tahap normal dan kesihatan gigi itu adalah apabila ia kuat, tidak sakit dan tidak mengalami sebarang lubang.

Gigi boleh bertukar kepada kekuningan bergantung kepada beberapa perkara, seperti:

  • Pemakanan, seperti makanan yang mengandungi rempah berwarna seperti kunyit
  • Tabiat harian, contohnya, merokok
  • Lapisan gigi

Bagaimana lapisan gigi menjadi penentu kepada warna gigi kuning? Ikuti penjelasan yang berikut.

3 lapisan gigi

Untuk pengetahuan, gigi anda mempunyai tiga lapisan utama, iaitu:

Normal Ke Kalau Gigi Kuning (3)

  • Enamel – merupakan lapisan gigi yang paling luar. Ia adalah apa yang anda lihat pada gigi anda setiap hari
  • Dentin – adalah lapisan kedua gigi. Ia merupakan satu lapisan di bawah enamel
  • Nerve – boleh dikatakan sebagai satu ‘terowong’ pada gigi dan ia merupakan bahagian di mana terdapat saraf dan saluran darah

Jadi, pada sesetengah gigi individu mungkin mempunyai lapisan enamel yang nipis berbanding yang lain. Keadaan ini mengakibatkan gigi akan lebih kelihatan kekuningan disebabkan lapisan dentin yang lebih menonjol. 

Tip penjagaan gigi

Sebenarnya, cara yang paling mudah untuk memutihkan gigi kuning adalah dengan melakukan proses pemutihan atau bleaching. Tetapi perkara yang paling penting adalah mengenai cara anda menjaga kebersihan gigi anda dan tidak mustahil ia boleh membantu menjadikan gigi anda lebih putih dan kuat.

Berikut adalah langkah penjagaan kebersihan gigi yang mudah tetapi sering dipandang remeh oleh kebanyakan individu.

Ubat gigi

Perkara paling utama adalah untuk memastikan ubat gigi yang anda gunakan mempunyai fluorida. Ini kerana fluorida berperanan untuk menguatkan dan melindungi gigi anda daripada mengalami masalah karies gigi.

Fluorida berbahaya untuk kesihatan? Oh come on, anda hanya menggunakan ia untuk memberus gigi anda dan bukannya menelan ubat gigi tersebut. Malahan menurut Dr. Ibrahim, anda perlu meminum fluorida dalam jumlah yang sangat banyak untuk mendatangkan mudarat kepada kesihatan.

Berus gigi

Cara terbaik untuk memberus gigi adalah dengan menggosok keseluruhan gigi anda untuk tempoh 2 minit. Ini kerana ia bagaikan menjadi satu kebiasaan untuk seseorang individu menggosok gigi hanya untuk tempoh kurang daripada 30 saat.

Tindakan itu sememangnya meningkatkan risiko kekotoran untuk tertinggal dan peratusan untuk anda tidak menggosok keseluruhan gigi anda adalah sangat tinggi. Jadi luangkan 2 minit untuk menggosok gigi.

Bagi pemilihan berus gigi pula, anda boleh memilih untuk menggunakan berus gigi elektrik atau berus gigi tradisional. Kelebihan penggunaan berus gigi elektrik adalah ia mungkin membantu anda untuk mencuci dengan lebih baik berbanding berus gigi tradisional. Tetapi ia bukanlah satu kewajipan untuk anda menggunakannya. Tidak kira berus gigi elektrik atau tradisional, yang penting adalah anda perlu memberus dengan baik. 

Normal Ke Kalau Gigi Kuning (2)

Flossing

Ia bukan satu tabiat yang selalu diamalkan oleh kebanyakan daripada kita. Tetapi flossing sebenarnya amat penting sebagai salah satu cara penjagaan gigi. Ia dapat membantu mencuci dan mengeluarkan kotoran yang terlekat atau berada pada celahan gigi yang tidak tercapai ketika anda memberus.

Sewaktu anda memberus, anda hanya dapat membersihkan 60 peratus sahaja daripada keseluruhan gigi anda? Dan flossing dapat membantu untuk membersihkan baki 40% yang tertinggal. Mulai hari ini, jadikan flossing sebagai salah satu amalan penjagaan gigi harian anda, sekurang-kurangnya dua kali sehari. 

Rawatan berkala

Doktor gigi merupakan antara doktor yang paling jarang anda jumpa, bukan? Kebiasaannya anda hanya berjumpa dengan doktor gigi apabila berdepan dengan masalah gigi. Situasi yang paling biasa berlaku adalah apabila keadaan gigi anda sudah terlalu kronik, baru teringat nak jumpa doktor gigi. Kalau sakit yang sikit-sikit itu, pandai pula tanya ‘Pak Cik Google’ untuk petua. 

Sekali dalam tempoh enam bulan merupakan, jangka waktu rawatan yang disarankan untuk anda berjumpa dengan doktor gigi. Jadi, janganlah terlalu berkira atau takut. Bak kata Dr Ibrahim, pencegahan itu sebenarnya lebih murah dan mudah berbanding rawatan yang mungkin akan memakan kos yang lebih berlipat ganda. Rajin-rajinkanlah diri untuk berjumpa doktor gigi. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut