backup og meta

Berus Gigi Sebelum atau Selepas Sahur?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    Berus Gigi Sebelum atau Selepas Sahur?

    Kita semua tahu akan keperluan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Sekali di waktu malam, dan sekali di waktu pagi. Di bulan Ramadan yang mulia ini, memberus gigi tetap dibolehkan dan antara amalan yang selalu dilakukan Nabi Muhammad s.a.w melalui bersiwak. Tapi tidak ramai yang tahu sama ada anda patut berus gigi sebelum atau selepas bersahur.

    Kelebihan berus gigi selepas bersahur

    Godaan untuk terus tidur selepas sahur dan solat subuh mungkin membuatkan anda terlupa memberus gigi. Sedangkan memberus gigi sesudah sahur penting untuk menyingkirkan sisa makanan yang boleh membentuk plak dalam gigi jika dibiarkan. Di samping menyingkirkan bakteria sebelum menyerang gigi anda.

    Jika anda tidak memberus gigi selepas bersahur, bau mulut boleh berpunca daripada sisa makanan yang membusuk. Cara lain untuk menghilangkan bau mulut adalah dengan memperbanyakkan minum air putih. Namun hal ini tidak boleh dilakukan di bulan puasa. Inilah yang menjadi alasan pentingnya memberus gigi selepas sahur.

    Keburukan berus gigi selepas sahur

    Ramai yang memilih untuk memberus gigi selepas bersahur untuk menyingkirkan sebarang sisa makanan. Tetapi, tujuan utama kita memberus gigi bukanlah untuk menyingkirkan sisa makanan, sebaliknya untuk membuang plak.

    Plak adalah lapisan putih melekat yang membentuk pada gigi yang mengandungi milion bakteria. Jika anda tidak menyingkirkannya dengan memberus, bakteria akan menyerang gigi menyebabkan masalah gigi dan gusi.

    Apabila kita makan, bakteria dalam plak menggunakan gula daripada makanan untuk menghasilkan asid yang akan menjejaskan enamel gigi. Asid ini akan menyerang gigi anda selepas sekurang-kurangnya 20 minit selepas makan.

    Memberus gigi selepas makan kadangkala boleh menjejaskan enamel gigi anda. Menurut Mayo Clinic, jika anda mengambil sebarang makanan berasid, anda harus mengelakkan memberus gigi anda selama sekurang-kurangnya 30 minit. Makanan yang mengandungi asid sitrik, seperti limau, limau gedang dan lemon, melemahkan enamel gigi. Memberus terlalu cepat selepas makan boleh merosakkan enamel dalam keadaannya yang lemah.

    Mengapa berus gigi sebelum sahur lebih penting

    Oleh itu, adalah idea yang baik untuk memberus gigi sebelum memakan makanan berasid dan minum segelas air apabila anda selesai. Sebagai alternatif, cuba makan makanan berkhasiat yang rendah karbohidrat dan gula selepas makan sesuatu yang berasid. Ini akan membantu mengurangkan asid berbahaya yang boleh dihasilkan oleh makanan tersebut. Ramai pakar, termasuklah British Dental and Health FoundationMayo Clinic dan NHS, mengesyorkan anda memberus gigi sebelum makan berbanding selepas makan di waktu pagi.

    Jadi, terdapat dua alasan mengapa berus gigi sebelum bersahur lebih penting:

    Plak terkumpul sewaktu kita tidur

    Plak terbentuk lebih cepat sewaktu kita tidur kerana terdapat kurang pengeluaran air liur. Jadi, sekalipun anda memberus gigi sebelum tidur, masih banyak lagi yang akan ada pada waktu pagi.

    Memberus sebelum bersahur akan membantu menghilangkan plak ini. Bermakna bahawa gula daripada makanan yang baru anda ambil tidak dapat dimanfaatkan bakteria daripada plak, untuk membentuk asid yang menyerang dan memusnahkan enamel gigi anda.

    Jika anda menunggu sehingga selepas anda makan untuk memberus gigi bererti anda membenarkan gula bercampur dengan semua plak yang terkumpul sepanjang malam, mencipta asid yang akan memakan enamel gigi anda selepas sekurang-kurangnya 20 minit selepas makan.

    Perubahan paras asid di dalam mulut anda

    Makanan tinggi gula dan asid sewaktu bersahur, contohnya jus oren dan bijirin manis, boleh mengubah tahap pH dalam mulut anda yang melemahkan enamel gigi.

    Memberus sejurus selepas makan boleh mengakibatkan anda mengikis enamel lembut atau lemah membolehkan  asid pergi lebih jauh ke dalam gigi.

    Juga, ubat gigi yang anda gunakan semasa memberus akan memberikan lapisan perlindungan tambahan terhadap serangan asid ini jika anda telah menmberus sebelum bersahur. Tetapi jika anda menunggu sehingga selepas itu, asid akan terbentuk sepenuhnya dan gigi berada pada tahap paling lemah.

    Jadi, mana yang lebih baik?

    Sebab yang paling biasa untuk memberus gigi anda selepas sarapan adalah untuk mengeluarkan makanan dan rasa makanan yang dimakan baru-baru ini. Sedangkan menurut pakar, hanya membilas mulut anda dengan air selepas makan boleh mengeluarkan sebarang sisa makanan yang mungkin menyebabkan masalah. Bahkan jika anda mempunyai masa, anda boleh memanfaatkannya dengan floss.

    Jika rasa makanan yang menganggu anda, bilas sahaja dengan sedikit pencuci mulut dan bukannya air.

    Jika anda masih memilih untuk memberus gigi selepas makan, tidak ada masalah asalkan anda masih memberus gigi dua kali sehari, dengan ubat gigi yang berkesan.

    Walau bagaimanapun, anda sangat disyorkan untuk menunggu sekurang-kurangnya 30 minit selepas makan supaya tahap pH dalam mulut kembali normal dan gigi anda dipulihkan secukupnya untuk menghadapi berusan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan