backup og meta

Sebelum Menasihati Orang Murung Untuk Bersenam, Baca Dulu Artikel Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 27/06/2020

    Sebelum Menasihati Orang Murung Untuk Bersenam, Baca Dulu Artikel Ini

    Sebelum anda menyarankan kawan anda yang menghidapi kemurungan untuk memakai kasut sukan mereka dan pergi berjogging atau bersenam, anda mungkin perlu membaca dulu artikel ini demi kebaikan mereka.

    Beban fizikal akibat kemurungan

    Terri Cheney, seorang penulis berusia 59 tahun daripada Beverly Hills, merupakan penghidap penyakit bipolar. Untuk mereka yang tidak tahu, penyakit bipolar terdiri daripada dua fasa iaitu fasa mania dan juga fasa kemurungan. Dalam keadaan mania, Terri dan penghidap bipolar yang lain akan ‘dirasuk’ oleh tenaga dan motivasi yang cukup tinggi. Mereka aktif melakukan tugas, banyak bercakap dan juga banyak bergerak. Untuk bersukan ketika fasa ini bukanlah sesuatu yang sukar.

    Tetapi….

    Ketika berada dalam fasa kemurungan, badan beliau akan menjadi sangat berat dan paras tenaga beliau jatuh merudum. Bukan setakat berlari, ingin menguruskan diri seperti hari biasa pun sudah menjadi beban yang cukup berat. Motivasi hilang entah ke mana, rasa kosong dan hiba penuh di dada. Menurut penulis buku Manic: A Memoir ini, perkara yang paling menjengkelkan bagi beliau ketika berada dalam fasa ini adalah apabila diberitahu orang lain untuk pergi berjogging. Bukannya tidak mahu dicuba, tetapi rasa berat pada badan, mental dan juga ketandusan motivasi semuanya menjadikan bersenam itu sesuatu yang mustahil baginya. Tambah beliau lagi, apa yang tidak orang ketahui adalah dalam fasa kemurungan, jika anda cuba bersenam dan gagal, ia akan mengeruhkan lagi keadaan dan menyebabkan seseorang itu kurang terbuka untuk mencubanya semula di masa akan datang. 

    “Jika anda cuba bersenam, aktiviti yang dikatakan begitu efektif dalam mengatasi kemurungan, dan anda gagal mendapatkan penambahbaikan simptom, ia hanya akan menyebabkan anda rasa lebih kosong dan putus harapan,” kata Terri. 

    Menurut satu kajian yang dilakukan di klinik kesihatan mental bahagian pesakit luar pada tahun 2017, 84% daripada pesakit yang menyertai kajian ini maklum bahawa senaman membantu mereka untuk rasa lebih baik. Namun yang demikian, majoriti (52%) turut berkata bahawa mood mereka adalah penghalang utama mereka dalam memulakan aktiviti bersenam.

    Keberkesanan bersenam dalam mengatasi kemurungan

    Anda tidak perlu membuat kajian yang panjang dan mendalam untuk mengetahui bahawa senaman itu adalah salah satu rawatan utama untuk mengatasi kemurungan. Keberkesanan senaman dalam mengatasi kemurungan dapat dibandingkan dengan keberkesanan ubat antikemurungan bagi sesetengah pesakit. Selain bersenam, terdapat juga kajian yang menunjukkan hot yoga turut berupaya untuk mengurangkan simptom kemurungan, keresahan dan juga rasa kosong. 

    Lonjakan motivasi dan emosi daripada aktiviti senaman ini datangnya daripada hormon-hormon seperti endorfin dan juga serotonin. Hormon-hormon ini memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan rasa puas dan gembira. Hormon-hormon yang dilepaskan ketika bersenam ini juga membantu untuk menggalakkan peraliran darah ke otak, membawa lebih banyak oksigen kepada tisu otak.

    Bukan untuk semua kemurungan

    Selain keadaan Terri, bukan semua orang boleh memilih senaman atau berlari anak sebagai aktiviti pelega mereka. Apa yang paling kerap dilupakan orang awam adalah penghidap kemurungan juga terdiri daripada pesakit strok, golongan yang kurang upaya ataupun pesakit yang terlantar.

    Penyakit dan juga keadaan kesihatan yang disebut tadi semuanya boleh membawa kepada kemurungan. Seseorang yang dahulunya boleh berjalan dan berlari akan menghidap kemurungan apabila mereka telah kehilangan kaki mereka. Begitu juga dengan pesakit strok yang dahulunya dapat berdikari dan membantu orang lain kini merasakan diri mereka sebagai satu beban kepada keluarga. Untuk golongan-golongan ini, melakukan senaman adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk mereka. 

    Kesimpulannya, terdapat banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum anda memberikan nasihat kepada seseorang yang menghidap kemurungan. Walaupun bersenam dapat membantu untuk menambah baik simptom kemurungan, ia bukanlah pendekatan yang universal yang boleh diamalkan oleh semua orang pada setiap masa. Jika anda memerlukan bantuan untuk masalah kesihatan mental, pastikan anda berjumpa dengan doktor kesihatan yang bertauliah agar anda terhindar daripada nasihat yang membinasakan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 27/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan