backup og meta

Jenis-jenis Kemurungan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 19/12/2022

    Jenis-jenis Kemurungan

    Memahami jenis kemurungan yang dialami seseorang membantu doktor menentukan rawatan. Dan bagi mereka yang didiagnosis dengan kemurungan, mempunyai maklumat tentang gangguan khusus yang mereka alami boleh membantu memahami keadaan yang mereka alami. 

    Terdapat lebih daripada satu kemurungan. Kemurungan boleh jadi ringan atau teruk dan boleh bersifat sementara atau kronik. Keadaan tertentu, seperti kelahiran bayi atau perubahan musim, boleh mencetuskan simptom kemurungan.

    Berikut adalah apa yang anda perlu tahu tentang pelbagai jenis kemurungan. Jika anda mengesyaki anda atau orang yang tersayang mempunyai salah satu daripadanya, dapatkan penilaian profesional kesihatan. Mereka boleh membantu anda memahami diagnosis dan menentukan rawatan yang terbaik.

    1. Kecelaruan Kemurungan Major

    Kemurungan jenis ini turut dikenali sebagai kemurungan utama, kemurungan unipolar atau kemurungan klinikal. Di bawah kriteria diagnostik yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association, diagnosis major depressive disorder ditentukan jika pesakit mengalami lima simptom yang berterusan selama dua minggu atau lebih. Simptom-simptomnya termasuklah perasaan sedih, kekosongan, tidak berguna, putus asa, dan rasa bersalah; kehilangan tenaga, selera makan, atau kehendak dalam aktiviti menyeronokkan; perubahan dalam tabiat tidur; dan berfikir tentang kematian dan bunuh diri. Kebanyakan kes ini boleh dirawat.

    Kecelaruan kemurungan major mempunyai dua sub-jenis: ‘kemurungan atipikal’ dan ‘kemurungan melankolia’. Mereka yang berada dalam kategori pertama cenderung untuk tidur dan makan banyak. Mereka menjadi beremosi dan sangat cemas. Sementara dalam kategori kedua mempunyai masalah tidur dan cenderung untuk merasa bersalah berlebihan. Para remaja cenderung mengalami kemurungan atipikal, dan jenis melankolia dilihat lebih kerap dalam warga tua.

    2. Kemurungan tahan Rawatan

    Kadangkala mereka yang mempunyai gangguan kemurungan tidak bertindak balas terhadap rawatan. Walaupun setelah mencuba satu antidepresan dan ketiga mahupun keempat, tetap tidak berkesan. Ia mungkin disebabkan genetik, atau persekitaran, tetapi kemurungan jenis ini sukar dirawat.

    Membantu mereka mengatasi kemurungan tahan rawatan ini bermula dengan penilaian menyeluruh untuk memastikan diagnosis yang tepat dan mengenal pasti sebab-sebab psikiatri dan perubatan lain bagi simptom mereka. Pesakit akan diberikan kaunseling untuk dos dan tempoh rawatan yang betul. Jika ubat tidak berfungsi, doktor akan cuba beralih kepada ubat yang serupa atau yang sama daripada kelas yang berbeza. Pesakit boleh mendapat manfaat daripada menambah antidepresan kedua daripada kelas yang berbeza dan mungkin satu lagi jenis ubat-ubatan, seperti antipsikotik.

    3. Kemurungan Subsindromal

    Mereka yang mempunyai simptom kemurungan tetapi tidak cukup kriteria untuk diagnosis kemurungan major boleh dikategorikan sebagai subsindromal. Contohnya, pesakit yang mengalami dua atau tiga simptom, bukan lima, atau mungkin telah tertekan selama seminggu, bukan dua.

    Berbanding sekadar melihat simptom, doktor anda mungkin akan melihat fungsi. Jika anda tidak berupaya untuk pergi ke kerja dan melakukan tanggungjawab harian, anda mungkin masih boleh memanfaatkan rawatan, termasuk dengan ubat

    4. Kecelaruan Kemurungan Berterusan

    Mereka yang mempunyai kecelaruan kemurungan berterusan, persistent depressive disorder (PDD) atau dahulunya dikenali sebagai distimia (dysthymia) mempunyai mood suram, sedih, atau kelam pada kebanyakan hari dan sekurang-kurangnya dua simptom tambahan kemurungan yang berpanjangan selama dua tahun atau lebih. Kanak-kanak dan remaja juga boleh didiagnosis jika simptom keresahan atau kemurungan berterusan selama setahun atau lebih. Ia mungkin berkurangan dalam intensiti, tetapi secara umumnya ia adalah kemurungan tahap rendah.

    Untuk didiagnosis dengan jenis kemurungan ini, anda juga mesti mempunyai dua daripada yang berikut: masalah tidur (terlalu banyak atau terlalu sedikit); tenaga yang rendah atau keletihan; kurang keyakinan diri; kurang selera makan atau makan berlebihan; penumpuan yang lemah atau kesukaran membuat keputusan; dan perasaan putus asa.

    Biasanya PDD memerlukan rawatan dengan gabungan ubat-ubatan dan psikoterapi.

    5. Kecelaruan Disforia Prahaid

    Sehingga 10% wanita dalam usia melahirkan anak mengalami kecelaruan disforia prahaid atau premenstrual dysphoric disorder (PMDD). Sindrom prahaid yang teruk ini boleh mencetuskan kemurungan, kesedihan, keresahan, atau cepat marah, dan juga simptom melampau lain, pada minggu sebelum tempoh haid. Ia boleh mengganggu keselesaan hidup, melumpuhkan dan mengganggu kehidupan seharian seorang wanita. 

    Saintis percaya wanita ini mungkin mempunyai sensitiviti berlebihanan terhadap perubahan hormon semasa kitaran haid mereka. Mengambil antidepresan, khususnya selective serotonin reuptake inhibitor, dalam tempoh dua minggu sebelum haid atau sepanjang bulan boleh berkesan. Sesetengah jenis kontraseptif juga boleh membantu. Penyelidik di Universiti California sedang mengkaji penggunaan terapi cahaya untuk meningkatkan kualiti tidur dan mood pada wanita dengan PMDD.

    6. Kemurungan bipolar

    Perubahan mendadak dalam mood dan tenaga, daripada kegembiraan kepada putus asa, adalah tanda kemurungan bipolar, juga dikenali sebagai kecelaruan bipolar atau penyakit kemurungan manik. Untuk didiagnosis dengan kemurungan jenis ini, seseorang mestilah telah mengalami sekurang-kurangnya satu episod mania. Bipolar biasanya muncul dalam usia awal dewasa. Walaupun wanita dan lelaki didiagnosis dalam jumlah yang sama, kajian menunjukkan perbezaan jantina pada: lelaki kelihatan mempunyai tingkah laku yang lebih manik; wanita cenderung ke arah simptom kemurungan. Bipolar biasanya menjadi lebih teruk tanpa rawatan tetapi boleh ditangani dengan penstabil mood, ubat-ubatan antipsikotik, dan terapi.

    Walaupun penyelidikan lanjut diperlukan, satu kajian baru-baru ini juga mencadangkan terapi cahaya mungkin berpotensi untuk kemurungan bipolar juga. Berbanding dengan lampu plasebo malap, pendedahan kepada cahaya yang terang pada tengah hari boleh mengurangkan tanda-tanda kemurungan dan meningkatkan fungsi pada mereka yang mengalami kecelaruan bipolar.

    7. Kemurungan pascapartum/lepas bersalin

    Kelahiran bayi membawa kebahagiaan tetapi kadangkala boleh membawa kepada kemurungan selepas bersalin, yang memberi kesan kepada satu daripada empat wanita dan satu dalam lapan lelaki. Pada wanita, kemurungan selepas bersalin mungkin dicetuskan oleh perubahan hormon, keletihan, dan faktor-faktor lain. Pada lelaki, ia adalah persekitaran, yang disebabkan oleh peralihan peranan dan perubahan gaya hidup yang datang dengan alam keibubapaan.

    Kemurungan selepas bersalin boleh bermula bila-bila masa dalam tahun pertama selepas kelahiran kanak-kanak, walaupun ia biasanya muncul tidak lama selepas ketibaan bayi baru. Perasaan kesedihan, kebimbangan dan keletihan boleh mengganggu kehidupan seharian. Ia boleh mencetuskan pemikiran ingin mencederakan diri sendiri atau bayi anda.

    Berbeza dengan “baby blues“, keadaan kebimbangan dan kemurungan yang sederhana, sekejap dan sangat biasa berlaku selepas kelahiran, kemurungan pascapartum memerlukan rawatan dengan antidepresan dan / atau terapi.

    8. Kecelaruan Afektif Bermusim

    Seasonal affective disorder (SAD) atau kecelaruan afektif bermusim ini adalah sejenis kemurungan berulang (juga dikenali sebagai kemurungan bermusim) yang biasanya menyerang pada musim gugur atau musim sejuk. Bersama-sama dengan perubahan dalam mood, pesakit ini cenderung mempunyai tenaga yang rendah. Mereka boleh makan terlalu banyak, tidur terlalu lama, mengidamkan karbohidrat, bertambah berat badan, atau menjauhkan diri daripada interaksi sosial.

    Wanita dan orang dewasa muda mempunyai risiko tinggi mendapat SAD. Ia juga boleh diwarisi dalam keluarga. SAD didiagnosis selepas sekurang-kurangnya dua tahun simptom bermusim berulang. Walaupun punca sebenar tidak jelas, kajian menunjukkan ia mungkin berkaitan dengan ketidakseimbangan serotonin otak. Kadar melatonin berlebihan dan tahap vitamin D yang tidak mencukupi juga boleh memainkan peranan.

    SAD biasanya dirawat dengan dos harian terapi cahaya dan kadangkala ubat.

    9. Kecelaruan Mood Cetusan Bahan

    Menggunakan atau menyalahgunakan ubat sedatif boleh mengubah mood anda. Simptom seperti kemurungan, kebimbangan, dan kehilangan minat dalam aktiviti yang menyeronokkan, biasanya muncul sejurus selepas mengambil atau menyalahgunakan dadah atau semasa berhenti.

    Bahan-bahan yang boleh membawa kepada jenis kemurungan ini termasuklah alkohol (jika anda minum terlalu banyak), ubat tahan sakit opioid, dan benzodiazepin (yang bertindak pada sistem saraf pusat).

    Untuk mendiagnosis seseorang dengan kecelaruan mood cetusan bahan, doktor mesti menolak sebab-sebab lain kemurungan, dan kemurungan mesti pada tahap teruk sehingga mengganggu aktiviti harian.

    10. Kemurungan Psikotik 

    Mereka yang mempunyai kemurungan psikotik mempunyai kemurungan yang teruk disertai dengan psikosis, yang ditakrifkan sebagai kehilangan kefahaman dengan realiti. Simptom psikosis biasanya termasuklah halusinasi (melihat atau mendengar perkara-perkara yang tidak benar-benar ada) dan delusi (kepercayaan palsu tentang apa yang berlaku)

    Contoh psikosis yang dialami pesakit adalah seperti mengelakkan makanan yang dimasak ahli keluarganya kerana menyangkan akan diracuni.

    Doktor biasanya menetapkan antidepresan dan ubat-ubatan antipsikotik untuk merawat kemurungan psikotik.

    11. Kemurungan akibat sakit

    Menghadapi penyakit kronik yang serius, seperti penyakit jantung, kanser, sklerosis multipel dan HIV /AIDS boleh menyebabkan tekanan dengan sendirinya.

    Tambahan pula, kajian kini menunjukkan terdapat bukti keradangan disebabkan penyakit boleh memainkan peranan dalam kejadian penyakit kemurungan. Keradangan menyebabkan pelepasan bahan kimia tertentu oleh sistem imun yang merentasi ke dalam otak, membawa kepada perubahan otak yang boleh mencetuskan atau memburukkan kemurungan pada orang-orang tertentu. 

    Antidepresan boleh membantu memanjangkan jangka hayat dan meningkatkan keupayaan mereka untuk berfungsi, dan terapi boleh membantu ramai pesakit menghadapi penyakit mental dan fizikal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 19/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan