Penyelidik Kata, Ujian Kesuburan Lelaki Juga Penting

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Selalunya kalau tak dapat anak, mesti kaum wanita yang diminta menjalani pemeriksaan kesuburan. Menjadi tanda tanya kini, adakah lelaki tidak perlu melakukan ujian kesuburan?

Ujian kesuburan lelaki

Berdasarkan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports, ujian kesuburan lelaki dikatakan dapat memberi jawapan segera kepada persoalan bagi pasangan yang masih belum dikurniakan zuriat

Daripada penyelidikan terdahulu, saintis mengetahui bahawa terdapat kemungkinan wujudnya kaitan antara ketidaksuburan lelaki dan perubahan kumpulan molekul yang terikat dengan DNA sperma. Molekul ini berperanan dalam menentukan fungsi gen tertentu. Individu lelaki yang mengalami masalah kesuburan mempunyai biomarker khusus yang tidak dimiliki oleh individu lelaki subur.

Dalam kajian terbaru ini, penyelidik menyatakan ia bukan sahaja memberikan implikasi rawatan kesuburan lelaki, tetapi ia akan turut menawarkan rawatan melibatkan masalah kesihatan yang lain. 

Ketua penyelidikan merangkap ahli biologi reproduktif di Washington State University, Profesor Michael Skinnier berkata, “Mendapatkan diagnostik yang boleh memberitahu bahawa pesakit lelaki anda tidak subur dan pilihan rawatan berkesan sudah tentu amat berguna.”

“Kami juga berminat untuk mengetahui sama ada kaedah diagnostik yang sama akan dapat menentukan bagaimana pesakit dengan arthritis dan penyakit neurodegenerative seperti autisme bertindak balas terhadap rawatan yang berbeza,” ujar beliau lagi.

Masa yang lama

Menurut pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai oleh Washington State University, terdapat perbezaan dalam struktur molekul sperma bagi individu lelaki yang mengalami masalah ketidaksuburan berbanding individu lelaki sihat

Situasi ini membantu untuk membuka jalan dalam mencari penyelesaian serta pemeriksaan segera dan lebih tepat. Ini berbeza berbanding kaedah pemeriksaan semasa yang mengambil masa beberapa bulan untuk memperolehi keputusan. 

Kaedah semasa ini, kebanyakan doktor akan menasihati setiap pasangan untuk mencuba mendapatkan bayi sekurang-kurangnya setahun sebelum mencari punca. Selepas itu barulah analisis sampel air mani akan dilakukan. Kebiasaannya ia memakan masa beberapa hari ke minggu sebelum mendapat keputusan yang tepat. 

Masalah ketidaksuburan

Dalam kajian daripada London School of Hygiene and Tropical Medicine yang disiarkan dalam Human Reproduction in 2016, menyatakan di United Kingdom satu daripada 10 individu lelaki daripada pelbagai peringkat umur mengalami masalah ketidaksuburan. 

Pelbagai faktor seperti pencemaran udara, air dan persekitaran dikatakan menjadi penyumbang kepada masalah ini. Terdapat juga bukti yang mengatakan gaya hidup ibu bapa turut menjejaskan kesihatan dan kesuburan yang disalurkan melalui sperma dan telur dengan perubahan dalam DNA, dikenali sebagai perubahan epigenetik. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 18, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut