Show Off Otot Bisep, Artis Dikatakan Guna Steroid

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Satu isu biasa selebriti dikecam kerana perkongsian gambar di media sosial. Itulah yang dilalui penyanyi, Afieq Shazwan, apabila dia dikatakan mengambil steroid gara-gara gambar show off otot bisepnya.

Bina otot badan

Sebaliknya, Afieq yang berusia 22 tahun ini memberitahu bahawa dia sememangnya sudah mengamalkan rutin harian itu sejak di usia 18 tahun lagi bagi mengekalkan staminanya selain bersukan.

Umumnya, kita mengetahui bahawa terdapat individu mengambil steroid dengan tujuan membina otot badan. Ia dikatakan dapat membantu mempercepatkan proses pembinaan otot.

Sama ada dengan tujuan untuk membesarkan badan (bulking) ataupun untuk menjadikan badan lebih fit iaitu lebih kepada bentuk, pengambilan bahan ini sememangnya memberikan perbezaan. 

Pengambilan steroid akan membantu mencapai sasaran dalam proses membina badan dengan lebih cepat berbanding individu yang tidak mengambilnya, walaupun dari aspek genetik, pemakanan dan latihan yang dilakukan adalah sama.

Tetapi adakah pengambilan bahan ini tidak memberikan kesan dari aspek kesihatan?

Kesan steroid

Steroid sebenarnya dibahagi kepada dua iaitu satu bahan semula jadi yang dihasilkan badan yang mempunyai fungsi pada badan serta daripada bahan buatan. Manakala steroid buatan boleh dibahagi kepada dua bahagian lain, iaitu:

Sintetik

Bahan dari jenis ini digunakan sebagai ubat antiradang. Ia biasanya digunakan untuk merawat penyakit seperti asma dan gangguan sistem pencernaan. Fungsinya adalah untuk mengurangkan keradangan dan mengurangkan aktiviti sistem imun. 

Anabolik

Manakala bahan daripada kategori ini pula sering digunakan untuk membesarkan otot. Ia merupakan bahan sintesis seperti hormon testosteron. Oleh sebab itu ia berfungsi untuk menonjolkan karakter lelaki seperti pertumbuhan janggut serta menyokong perkembangan otot dan tulang. Kegunaan utama bahan ini adalah untuk tujuan perubatan terutamanya kepada pesakit AIDS dan kanser. 

Tetapi seringkali bahan ini disalahgunakan secara tidak sah untuk membesarkan otot, khususnya dalam kalangan atlet. Jadi, persoalan utama adalah, adakah ia selamat?

Bahaya kepada kesihatan

Penggunaan bahan ini untuk membesarkan otot adalah amat dilarang. Ini kerana kebiasaannya dos yang akan digunakan adalah lebih 10 hingga 100 kali ganda lebih besar berbanding dos perubatan yang dibenarkan. Sekali gus ia sudah tentu mempunyai kesan bahaya kepada kesihatan.

Pada asasnya, steroid anabolik mempunyai struktur dan fungsi yang sama seperti testorerin. Tetapi pengambilan dalam jumlah tinggi boleh mengakibatkan kesan seperti jerawat, tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi, peningkatan risiko penyakit hati dan kanser hati, menjadikan kulit kekuningan serta boleh menyebabkan botak.

Ia tidak terhenti di situ sahaja, individu lelaki yang mengambil bahan ini secara berlebihan boleh mengalami disfungsi ereksi, zakar mengecut, payudara membesar dan masalah kesuburan. Bahan tambahan yang masuk ke dalam badan boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon sehingga badan tidak berfungsi dengan normal dan mengganggu kesihatan secara keseluruhan, malah boleh menyebabkan kematian.

Kesimpulan  

Berdasarkan perkongsian di atas, rasanya kita semua menyedari bahawa steroid lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan jika diambil dengan cara yang salah. Pilihlah jalan selamat untuk menjamin kesihatan anda. Mencegah itu lebih baik daripada merawat, bukan?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: