Fakta Melancap: Benarkah Ia Punca Utama Mati Pucuk?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Melancap atau onani adalah sejenis perbuatan seksual individu itu memuaskan nafsu secara solo seorang diri. Ia seringkali dianggap sebagai tidak senonoh dan tidak bermoral. Ya, ia mungkin betul walhal ia juga sebenarnya adalah perbuatan normal yang dilakukan oleh hampir kesemua individu di dunia ini lebih-lebih lagi yang bergelar seorang lelaki.

Kebanyakan lelaki terutamanya yang masih remaja, sangat kerap melakukan perbuatan melancap bagi memuaskan keinginan seksual mereka. Ia kerana ketika usia ini, remaja mula mengenali seks dan sifat ingin tahu mereka yang sangat tinggi membuat mereka lebih cenderung untuk mencuba pelbagai perkara yang berkaitan dengan seks.

Namun begitu, terdapat satu persoalan yang sangat menakutkan bagi golongan lelaki iaitu adakah kerap melancap boleh jadi punca utama mati pucuk? Untuk menjawab persoalan ini, ikuti artikel berikut untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu melancap?

Secara umumnya, melancap adalah perbuatan seksual individu tidak kira lelaki atau wanita dalam memuaskan keinginan atau kemahuan seksual mereka secara solo. Ia dilakukan dengan melakukan sentuhan atau gosokan pada bahagian kemaluan sehingga mencapai klimaks atau terkeluar air mani. Ia kerap dilakukan oleh golongan lelaki terutamanya yang masih remaja.

Kebanyakan individu berpendapat bahawa kerap melancap tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan kepada kesihatan mereka. Namun begitu, ada pakar yang mengatakan ia merupakan punca utama kepada kondisi mati pucuk.

Fakta menarik mengenai melancap yang anda perlu tahu

Selain dapat memuaskan nafsu tanpa memerlukan kehadiran seorang pasangan untuk melakukan hubungan seks, ada beberapa lagi fakta menarik mengenai melancap yang perlu anda ketahui.

#1. Ia mempunyai risiko yang tersendiri

Perbuatan ini sememangnya tidak mempunyai risiko yang tinggi kerana ia adalah perbuatan seks yang paling selamat. Tidak ada lagi individu yang mengalami STD melaluinya. Namun begitu, melakukannya dengan terlalu kerap boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit alat kemaluan dan membuatkannya bengkak. Jika ia terjadi, segera berjumpa dengan doktor.

#2. Ia tidak mendatangkan manfaat seperti hubungan seks

Kajian menunjukkan bahawa hubungan seks akan mendatangkan manfaat terutamanya kepada lelaki. Ia dapat menstabilkan tekanan darah serta menjamin kesihatan jantung dan prostat. Pun begitu, manfaat ini hanya akan diperolehi melalui hubungan seks bersama pasangan sahaja, bukan melalui perbuatan melancap.

#3. Tidak ada kiraan normal untuk melakukannya

Menurut seorang pakar dalam bidang seksologi, Logan Levkoff, perbuatan melancap bergantung sepenuhnya kepada individu itu sendiri. Tidak ada waktu, kadar dan tempoh spesifik yang dinasihatkan untuk melakukannya atau tidak. Oleh itu, anda sebagai seorang remaja lelaki yang sudah matang mampu untuk membuat keputusan anda sendiri.

#4. Ia tidak akan merosakkan hubungan anda bersama pasangan

Perbuatan melancap sebenarnya hanya akan dilakukan oleh remaja lelaki ketika mereka sedang membujang dan tidak ada kena-mengena dengan pasangan mereka. Perbuatan ini bukan semata-mata terdorong oleh keinginan seksual, namun ia juga merupakan satu rutin untuk menghilangkan stres atau memudahkan mereka untuk tidur.

#5. Ia dapat membantu kehidupan seks kelak

Menerusi perbuatan melancap, remaja lelaki akan mula belajar mengenai seks. Ia dapat memberi mereka pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengetahui apa yang mereka suka atau tidak semasa melakukan seks. Ini sangat penting kepada remaja lelaki dan pasangannya agar mereka dapat meniti kehidupan seks yang indah apabila berkahwin kelak.

Pun begitu, individu yang beragama Islam adalah ditegah untuk melakukannya. Jika dilakukan, ia akan menyebabkan anda mendapat dosa serta amalan anda tidak akan diterima buat sekian tempoh yang telah ditetapkan. Di sebalik manfaatnya, terdapat banyak lagi mudaratnya. Antara yang paling menakutkan adalah mati pucuk.

pornografi

Adakah pornografi adalah pendorong utama individu melancap?

Ya, kebanyakan profesional dalam bidang kesihatan reproduktif berpendapat bahawa kerap melancap adalah satu bentuk ketagihan yang semakin teruk akibat kemudahan akses kepada pornografi. Menurut Dr. Elizabeth Waterman yang merupakan seorang Pakar Psikologi di Amerika, apabila individu menonton video lucah, dopamine akan terhasil dalam otaknya lalu menyebabkan mereka berkeinginan untuk melancap.

Menurut beliau lagi, individu yang kerap menonton video lucah sambil melancap ini akan menyebabkan reseptor pada alat kemaluannya kurang sensitif. Lama-kelamaan, sentuhan intim yang normal tidak akan mampu menghasilkan dopamine secukupnya untuk merangsang reseptor mereka. Dalam erti kata yang mudah, individu yang kerap menonton video lucah akan bergantung kepada pornografi untuk mengalami ereksi.

Berikut merupakan data statistik yang diterbitkan Psychguides tentang fakta pornografi di dunia.

  • 1 daripada 5 pencarian di internet melalui telefon pintar adalah pornografi.
  • Lelaki yang memiliki perkahwinan yang bahagia 61% lebih kurang kemungkinannya menonton pornografi.
  • 20% lelaki menonton pornografi sewaktu bekerja.
  • 88% adegan pornografi mengandungi kekasaran fizikal dan 49% mengandungi kekasaran verbal.

Kesan sampingan pornografi terhadap individu

Pornografi bukan sahaja akan mengakibatkan ketagihan melancap. Ia juga sebenarnya akan menyebabkan beberapa kesan sampingan yang lain, seperti:

Sukar mendapatkan kepuasan seksual sebenar

Ini sangat berbahaya buat pasangan yang sudah berkahwin. Ketagihan terhadap pornografi akan mengurangkan kepuasan seksual individu ketika mereka melakukan hubungan seks bersama pasangan. Ini berlaku ekoran material lucah yang ditonton telah mempengaruhi diri dan membuat mereka kerap berfantasi mengenai seks lalu menghalang mereka daripada menikmati seks yang sebenar bersama pasangan.

Emosi mudah terganggu

Menurut kajian, perbuatan individu yang kerap menonton pornografi akan menyebabkan otak mereka mengecut lalu menjejaskan fungsinya. Ini akan menyebabkan individu itu tidak dapat berfikir dengan waras lalu mengubah mereka menjadi seorang yang panas baran dan agresif. Perubahan ini mungkin boleh mengakibatkan kecederaan individu lain yang berdekatan terutamanya pasangan mereka.

 

Menjejaskan kerjaya dan pengurusan hidup

Menonton pornografi sememangnya tidak mendatangkan manfaat sebaliknya menyebabkan mudarat terhadap sahsiah individu. Mereka yang kerap menonton pornografi cenderung mempunyai minda yang kotor kerana terlalu asyik berfantasi mengenai seks lalu membuat mereka hilang fokus ketika melakukan apa-apa pekerjaan. Ini seterusnya akan memberi kesan yang negatif terhadap kerjaya dan pengurusan hidup anda.

Paling menakutkan, kerap menonton pornografi akan menyebabkan seseorang individu itu lebih kerap dan melancap sehingga ia dianggap sebagai pelengkap kepada perbuatan tersebut. Perbuatan-perbuatan ini seterusnya akan menjadi punca utama kepada kondisi mati pucuk.

pornografi

Benarkah kerap melancap adalah punca utama mati pucuk?

Ya, kerap melancap akan menyebabkan berlakunya mati pucuk atau erectile dysfunction (ED). Ia adalah satu kondisi yang sangat ditakuti oleh para lelaki kerana ia akan menjejaskan kehidupan seks mereka terutamanya buat mereka yang sudah berkahwin. Selain menjejaskan fizikal, mati pucuk juga akan menjejaskan emosi. Ini kerana individu yang mengalami mati pucuk akan mula berasa tertekan dan hilang keyakinan diri. Paling membimbangkan, ia juga merupakan punca utama penceraian bagi pasangan yang sudah berkahwin.

Pun begitu, walaupun kerap melancap adalah punca utama mati pucuk, terdapat juga beberapa punca-punca lain yang menyumbang kepada kondisi ini, termasuklah:

Stres

Rangsangan seksual bermula daripada otak, bukan semata-mata sentuhan fizikal. Oleh itu, minda yang dalam keadaan tertekan akan menjejaskan prestasi semasa melakukan hubungan seks. Pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya dan dalam keadaan tenang untuk mendapatkan ereksi yang baik.

Marah

Marah boleh menyebabkan darah mengalir laju ke muka, tetapi tidak ke tempat yang anda perlukan semasa hubungan seks. Bukan mudah untuk menjadi romantik dan menikmati suasana yang meningkatkan keinginan seksual semasa dalam keadaan marah sama ada terhadap pasangan anda atau individu lain.

Bimbang

Rasa bimbang sama ada anda akan berjaya atau tidak membuat pasangan anda gembira semasa hubungan seksual akan mengganggu fokus anda. Kebimbangan lain di luar kamar tidur juga turut menjejaskan prestasi anda. Jangan terlalu khuatir terhadap apa yang akan berlaku. Sebaliknya, nikmati proses tersebut.

Ubat-ubatan

Terdapat beberapa ubat-ubatan yang boleh menjejaskan fungsi organ reproduktif anda. Ini termasuklah ubat darah tinggi, ubat tahan sakit, dan antidepresi. Sila berbincang dengan doktor berkenaan kesan sampingan yang mungkin berlaku disebabkan oleh pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Tahap kesihatan

Banyak kondisi kesihatan yang boleh menjejaskan prestasi anda di dalam kamar tidur. Ia termasuklah kencing manis, tekanan darah tinggi, aterosklerosis, dan penyakit yang melibatkan urat saraf.

Merokok

Amalan yang mungkin nampak ‘cool’ ini sebenarnya boleh membuatkan anda kecewa di atas ranjang. Merokok meningkatkan risiko salur darah menjadi sempit atau disebut sebagai aterosklerosis. Keadaan ini akan mengurangkan peredaran darah pada zakar yang sangat penting dalam proses ereksi.

Jadi, adakah anda masih mahu melakukan perbuatan melancap ataupun perbuatan-perbuatan yang terdapat di atas walaupun anda tahu bahawa anda berisiko untuk mengalami mati pucuk? Sila fikirkan semula.

Apakah yang boleh dilakukan?

Pertama sekali, anda perlu berikan masa kepada diri anda untuk rehat dan menenangkan fikiran. Tinggalkan segala amalan tidak sihat seperti merokok, hidup sendentari, dan pemakanan yang tidak sihat. Jika masih tidak membuahkan hasil, jangan malu untuk dapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan reproduktif.

Selain itu, anda perlu segera berhenti menonton pornografi. Dengan cara ini sahaja anda akan dapat mengurangkan keinginan anda untuk melancap. Selain itu juga, anda perlu dapatkan bantuan pakar atau individu yang rapat dengan anda untuk mendapatkan dorongan dan sokongan untuk anda menghentikan tabiat negatif yang ada dalam diri anda.

Sebagai individu yang beragama Islam pula, ketahuilah bahawa melancap adalah satu perbuatan berdosa yang tidak harus dilakukan dan diamalkan. Agar seimbang hal dunia dan akhirat, wajarlah kita menjalani kehidupan yang lebih baik dan sihat dan pada masa yang sama, tidak melanggar perintah Tuhan.

Konklusi

Konklusinya, perbuatan melancap mungkin hanya akan melegakan nafsu seksual anda buat sementara waktu sahaja. Akan tetapi, ia sama sekali tidak memuaskan nafsu seksual kita secara total dan menyeluruh. Anda masih memerlukan seorang pasangan berlainan jantina yang sejati untuk menyalurkan nafsu serta berkongsi segala keseronokan seks secara bersama. sebagai idividu yang beragama Islam, perkahwinan adalah jawapannya. Jika kita gabungkan dari aspek agama dan kesihatan, kita dapat lihat bahawa melancap bukanlah satu perbuatan yang baik dan perlu diamalkan tidak kira siapapun diri anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 4, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 26, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut