Tingkatkan Kualiti Tidur Dengan Yoga

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda berdepan dengan masalah sukar untuk tidur? Adakah anda tahu melakukan yoga boleh membantu meningkatkan kualiti tidur anda? Teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Yoga dan tetapi fizikal

Berdasarkan satu kajian yang dilakukan Boston Medical Center (BMC), mengamalkan senaman yoga dan terapi fizikal dikatakan sebagai satu pendekatan yang berkesan untuk mengubati masalah gangguan tidur

Melakukan kedua-dua senaman sebagai satu amalan juga dikatakan dapat merawat masalah kesakitan belakang kronik. Dalam masa yang sama, amalan ini dipercayai dapat mengurangkan kebergantungan kepada ubat-ubatan. 

Kajian rawak

Dalam kajian rawak terkawal yang dilakukan ini, adalah melibatkan 320 individu dewasa dengan masalah kesakitan belakang kronik dari BMC dan tujuh pusat kesihatan komuniti. Pada permulaan kajian, lebih daripada 90 peratus responden dengan masalah sakit belakang turut mengalami masalah kurang kualiti tidur. 

Setiap individu yang terlibat dalam kajian ini diberikan tiga terapi yang berbeza untuk merawat masalah sakit belakang, iaitu terapi fizikal, senaman yoga mingguan atau membaca bahan bacaan. 

Penyelidikan terdahulu BMC mendapati bahawa senaman yoga dan terapi fizikal berkesan untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi fizikal serta mengurangkan keperluan ubatan.  Dalam kajian terbaru ini, analisis peningkatan tidur telah dibandingkan untuk tempoh intervensi selama 12 minggu dan rawatan susulan selepas setahun.

Analisis kajian

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of General Internal Medicine, menunjukkan peningkatan ketara dalam kualiti tidur untuk tempoh lebih 52 minggu selepas 12 minggu kelas senaman yoga atau 1-on-1 terapi fizikal. Hasil yang ditunjukkan ini membuktikan manfaat jangka panjang jika mengamalkan pendekatan bukan farmakologi. 

Di samping itu, individu yang menunjukkan penyembuhan awal kesakitan selepas enam minggu kelas senaman, dipercayai tiga setengah kali lebih cenderung untuk dapat memperbaiki masalah berkaitan kualiti tidur selepas 12 minggu kelas senaman. Keadaan ini membuktikan bahawa masalah kesakitan belakang dan tidur adalah saling berkait rapat.

Kualiti tidur

Gangguan tidur dan insomnia adalah satu perkara biasa yang berlaku dalam kalangan pesakit dengan masalah kesakitan belakang kronik (chronic low back pain (cLBP)). Terdapat kajian terdahulu yang menunjukkan bahawa 59 peratus individu dengan kesakitan belakang kronik mengalami masalah kualiti tidur tinggi, manakala 53 peratus pula didiagnosis dengan gangguan insomnia. 

Pengambilan ubatan untuk merawat masalah tidur dan kesakitan belakang boleh memberikan kesan sampingan yang serius, malahan terdapat risiko masalah opioid berkaitan dengan pengambilan ubatan secara berlebihan. Lebih membimbangkan risiko kematian juga meningkat dengan penggunaan ubat tidur. 

Kaedah selamat

Menurut seorang penyelidik di jabatan perubatan keluarga di BMC dan merangkap ketua penyelidikan, Dr Eric Roseen, “Dapat mengenal pasti cara holistik untuk merawat keadaan ini sudah tentu dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan. Dalam masa yang sama ia juga menjadikan pesakit untuk berada dalam keadaan lebih selesa dan selamat. 

“Masalah tidur dalam kalangan individu dewasa dengan sakit belakang yang kronik boleh memberikan kesan buruk kepada tahap kesihatan secara keseluruhan. Keadaan ini memerlukan pakar perubatan untuk bertanyakan pesakit dengan sakit belakang mengenai tahap kualiti tidur mereka,” ujar Dr Eric.

Kita sudah mengetahui manfaat yoga dan terapi fizikal. Tetapi adakah anda tahu apa itu yoga dan terapi fizikal?

Apa itu yoga?

Yoga adalah kumpulan latihan fizikal, mental, dan rohani yang berasal dari India kuno. Perkataan “yoga” mempunyai banyak terjemahan dan boleh ditafsirkan dalam pelbagai cara. Banyak terjemahan yang ditujukan ke arah “penyertaan” atau “tumpuan” – pada asasnya bermakna untuk menggabungkan atau kaedah disiplin.

Senaman ini digunakan sebagai satu bentuk latihan untuk memindahkan tenaga melalui tubuh dengan cara yang membuatkan anda berasa tenang selepas latihan. Anda boleh menggunakan yoga sebagai satu bentuk senaman yang mengumpul kekuatan, fleksibiliti, dan keseimbangan. 

Jenis-jenis yoga

Dikatakan terdapat lapan jenis yoga, iaitu:

  • Yoga Hatha – memfokus kepada amalan penjajaran fizikal dan teknik pernafasan
  • Yoga Vinyasa – melibatkan koordinasi antara fizik, postur, dan pernafasan
  • Yoga Ashtanga – jenis yoga yang amat dinamik, sangat sengit, dan pada kebanyakan masa amat berolahraga
  • Yoga Iyengar – memfokus kepada kepersisan postur dan perhatian kepada anatomi manusia secara terperinci
  • Yoga Hot – jenis yoga yang dijalankan dalam bilik yang panas. Amat sesuai untuk golongan yang sukakan sensasi peluh yang mengalir ketika bersenam
  • Yoga Kundalini –  menggabungkan nilai fizikal dan rohani. Ia melibatkan postur tubuh dengan teknik pernafasan dinamik, meditasi, dan juga bernyanyi
  • Yoga Pranatal – direka khas untuk wanita hamil, jenis yoga ini boleh membantu bakal ibu secara fizikal dan mental
  • Yoga Yin – memfokuskan kepada latihan pasif, di mana anda berada pada satu gaya untuk 3-5 minit, dan jenis postur adalah duduk, pusingan lembut, atau berbaring

Apa itu terapi fizikal?

Terapi fizikal sebenarnya turut dikenali sebagai fisioterapi. Ia merupakan singkatan bagi fisio iaitu fisiologi yang membawa makna fungsi dan terapi sama maksud dengan penjagaan.Jadi makna fisioterapi ialah penjagaan atau pemulihan kefungsian. Di Malaysia fisioterapi dikenali sebagai jurupulih perubatan anggota atau pegawai pemulihan perubatan (anggota).

Rawatan fisioterapi merupakan satu daripada profesion kesihatan sekutu yang menggunakan kekuatan mekanik dan pergerakan [Bio-mekanik atau Kinesiologi], terapi manual, terapi senaman, dan elektroterapi bagi menyelaraskan badan dan menggalakkan pergerakan serta fungsi.

Rawatan fisioterapi

Berikut adalah antara beberapa jenis rawatan fisioterapi:

Elektro Terapi

  • Ultrasound
  • Interferential Terapi
  • Laser
  • Diatermi Gelombang Pendek (Short Wave Diathermy)

Terapi Manual

  • Mobilisasi (mobilization) – melibatkan pergerakkan sendi tulang belakang dan periferal anda melalui instrumen yang dimuatkan secara spring mengikut prinsip fisioterapi
  • Manipulasi sendi – Memberi tumpuan kepada mencapai gerakan sendi tanpa rasa sakit biasa
  • Urutan
  • Senaman Therapeutic ( therapeutic Exercises)
  • Rehabilitasi selepas pembedahan
  • Nasihat dan langkah pencegahan

Hidroterapi

Hidroterapi, atau terapi air, adalah kaedah rawatan menggunakan air untuk mengurangkan kesakitan badan dan meningkatkan kesihatan serta kekuatan fizikal seseorang individu.

Kesimpulan

Sebenarnya melakukan sebarang aktiviti fizikal seperti yoga dapat memberikan manfaat kepada tahap kesihatan secara keseluruhan. Melakukannya secara berkala sudah pasti dapat meningkatkan kualiti kehidupan anda ke arah lebih positif. Jadi pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan sedikit aktiviti fizikal setiap hari, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut