Larian Untuk Kesedaran: Betul Ke Sedar?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sejak kebelakangan ini, trend penganjuran larian kesedaran dilihat semakin popular di Malaysia. Badan bukan kerajaan, agensi kerajaan, universiti dan juga hospital; semuanya dilihat semakin rancak menggunakan strategi ini demi mewujudkan kesedaran tentang sesuatu isu, dan juga untuk mengutip dana bagi sesetengah institusi.

Menilai semula kesedaran semasa

Jika anda tidak perasan, bulan Oktober adalah bulan kesedaran untuk pelbagai perkara. Antaranya adalah bulan kesedaran kanser payudara, keganasan rumah tangga, ADHD dan juga sindrom Down. Tidak cukup dengan itu, dalam bulan ini juga terdapat beberapa sambutan hari sedunia seperti hari untuk cerebral palsy, kesihatan mental, artritis sedunia, osteoporosis dan juga psoriasis. Hampir selalunya, akan ada penganjuran aktiviti larian kesedaran untuk sambutan-sambutan tersebut. Banyak bukan?

Tidak dinafikan bahawa acara tersebut adalah satu langkah yang cukup menarik. Bagi pihak penganjur, mereka akan memperoleh dana, liputan media, sokongan dan kolaborasi daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan, di samping dapat membuat lebih ramai orang tahu akan jenama, produk atau misi yang mereka ingin capai. Bagi peserta pula, mereka dapat melibatkan diri dalam aktiviti fizikal, menguji prestasi dan stamina sendiri, memenangi hadiah, bersosial dan juga menderma untuk satu misi yang baik (melalui yuran penyertaan). 

Namun, selepas acara melabuhkan tirai dan peserta mula beredar pulang, adakah mereka betul-betul sedar tentang misi atau tujuan penganjuran acara tersebut? Dan adakah kesedaran sahaja mencukupi?

Bukan hanya kesedaran

Seperti yang diceritakan dalam bab sebelum ini, terlalu banyak sambutan kesedaran yang berlaku dalam satu bulan. Cukup sukar bagi orang awam untuk cakna tentang semua kempen dan sambutan tersebut. 

Kelemahan utama yang dimiliki oleh larian kesedaran adalah ia tidak mempunyai mekanisma susulan untuk menyemak tahap kesedaran peserta mereka. Seusai majlis, penganjur menganggap tugas mereka telah selesai dan matlamat telah dicapai walaupun tidak ada sebarang pembuktian untuk tanggapan tersebut. Justeru, sebelum merancang penganjuran larian kesedaran, perlu ada pengisian tertumpu ketika pra dan pasca larian. Program pralarian adalah medium komunikasi yang efektif dengan peserta bagi menyampaikan mesej utama acara. Program pralarian pula bertindak sebagai medium penilaian tahap kesedaran peserta di akhir acara. 

Katakan, dalam senario yang paling ideal, peserta sedar akan semua isu dan sambutan tersebut – apa seterusnya? Ya, kesedaran mendahului tindakan tetapi tanpa panggilan untuk bertindak, kesedaran sahaja tidak mencukupi untuk mencetuskan perubahan yang bermakna. Kalau misi penganjur hanyalah untuk mewujudkan kesedaran tentang sesuatu perkara, maka misi itu boleh dicapai dengan mudah. Akan tetapi, jika misi tersebut adalah untuk menyeru pasangan remaja agar memakai kondom ketika melakukan hubungan seks (bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin), agak kosong kesedaran itu jika mereka yang sedar tidak melakukan sebarang tindakan. 

Bila larian kesedaran itu gagal

Sebelum anda mula menyusun apa-apa jenis kempen kesedaran, dalam bentuk larian ataupun bukan, penting untuk anda tahu apakah impak program yang tidak berkesan atau program yang tidak berimpak. Bila tidak kena cara, suatu acara larian kesedaran itu terdedah kepada 2 risiko:

1.Ia tidak mendorong kepada sebarang tindakan

Pendekatan yang menarik perhatian awam dikatakan dapat mendorong orang untuk memulakan tingkah laku yang baru. Walau bagaimanapun, ini bukanlah apa yang dialami oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC). Selepas sekian lama mengeluarkan mesej yang sama setiap tahun dalam kempen mereka untuk persediaan bencana alam, CDC bertindak untuk memilih tajuk yang lebih menarik. Tajuk tersebut berbunyi “Preparedness 101: Zombie Apocalypse”. Disebabkan langkah persediannya yang hampir sama, ia membolehkan mereka untuk menjenama semula kempen mereka. Kempen ini pula diikuti oleh seruan untuk membuat kit persediaan untuk kecemasan dan bencana.

Apa yang pasti, kempen ini mendapat banyak liputan daripada pelbagai pihak. Sampai satu tahap, laman sesawang CDC sesak dan tidak berfungsi akibat lawatan jumlah klik yang terlalu banyak. Namun, adakah ia berjaya untuk memotivasikan orang awam untuk mula membuat kit? Jawapannya tidak. Walaupun pendekatan ini menarik, ia menyebabkan berlakunya satu fenomena yang disebut sebagai ‘zombie dilemma’. Kajian daripada West Virginia University mendapati orang awam cakna tentang kempen ini tetapi tidak terdorong untuk bertindak (menyediakan kit kecemasan). Salah satu sebab utama kepada kegagalan ini adalah kerana premis asal kempen tersebut – humor. Peserta kajian didapati tidak mengambil serius kempen berbaur humor dan lebih terpanggil untuk bertindak jika kempen tersebut mempunyai tona yang serius.

2.Ia tidak menyasarkan audiens yang betul

Bayangkan, anda ingin melancarkan larian kesedaran untuk melawan pornografi. Adakah niat itu bagus? Sangat bagus tetapi secara tidak langsung, kempen anda dihujani stigma bahawa mereka yang hadir ke kempen tersebut adalah mereka yang mempunyai masalah dengan ketagihan pornografi. Walaupun anda tidak menonton pornografi, sekadar mengetahui apa itu pornografi juga telah menyebabkan diri anda dipandang pelik dan membawa stigma yang tersendiri.

Oleh itu, peserta yang cenderung untuk hadir ke acara seperti ini adalah mereka yang tidak pun menonton pornografi, bermakna kempen anda tersalah audiens. Jika tersalah audiens, matlamat anda akan tidak dicapai dan impak yang bermakna atau berkekalan tidak akan dirasai. Dalam senario yang lebih buruk lagi, perkataan pornografi itu adalah satu perkataan baru untuk anak-anak yang mengikuti kempen tersebut. Hal ini mempunyai risiko untuk mendorong mereka yang naif ini untuk mula mencari sendiri apa itu pornografi. Hal ini dikenali sebagai kesan Streisand dan ia bukan sahaja menggagalkan misi asal, ia memburukkan lagi keadaan. 

Tuntasnya, terdapat banyak aspek halus tetapi berimpak besar yang jarang dipertimbangkan oleh penganjur kempen kesedaran. Walaupun mudah, bukan semua kesedaran boleh dipupuk dengan acara larian. Tambahan lagi, tanpa apa-apa mekanisma yang mampu menilai tahap kesedaran dengan lebih objektif, tindakan susulan tidak berlaku dan penganjuran kempen tersebut hanyalah suatu pembaziran. Penting untuk penganjur cakna tentang bagaimana untuk menilai keberkesanan program mereka, khususnya berkaitan dengan tindakan susulan yang diambil oleh peserta selepas menyertai kempen tersebut. Jangan biarkan kempen larian anda hanya menjadi acara larian untuk atlet terlatih mendapat hadiah.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut