backup og meta

Bersenam 30 Minit Boleh Kurangkan Risiko Kemurungan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/11/2019

    Bersenam 30 Minit Boleh Kurangkan Risiko Kemurungan?

    Betul ke ada kaitan bersenam 30 minit dengan kemurungan? Sampaikan aktiviti fizikal ini dikatakan boleh mengurangkan risiko untuk mengalaminya? Hmmm…seriously, dengan bersenam aje?

    Analisis data

    YA…berdasarkan kajian, individu yang bersenam secara rutin sekurang-kurangnya 30 minit sehari berkemungkinan akan dapat mengurangkan risiko kecenderungan untuk menghidapi kemurungan. 

    Penyelidik daripada Harvard University ini telah menganalisis lebih 8,000 data individu dari Partners Healthcare Biobank. Biobank merupakan satu program penyelidikan jangka panjang yang direka untuk membantu ahli sains memahami bagaimana gen mempengaruhi hasil kesihatan.

    Peserta yang mendaftarkan diri di Biobank dikehendaki menjalani soal selidik mengenai tabiat gaya hidup termasuklah tahap aktiviti senaman yang dilakukan. Penyelidikan ini turut memerlukan saintis untuk merujuk maklumat berkaitan rekod pesakit dan mengenal pasti individu yang didiagnosis dengan kemurungan.

    Dalam masa yang sama, bagi kajian yang berlangsung selama tempoh dua tahun ini, saintis juga menggunakan maklumat genetik peserta untuk mengira skor tunggal yang mencerminkan risiko genetik individu untuk kemurungan.

    Bersenam 30 minit

    Berdasarkan analisis data yang dilakukan, individu dengan genetik kemurungan yang lebih tinggi adalah 20 peratus lebih berkemungkinan untuk didiagnosis dengan masalah berkaitan mental ini.

    Walau bagaimanapun, menurut salah seorang penyelidik, Dr Karmel Choi, individu dewasa dengan risiko genetik tinggi adalah 17 peratus kurang berkemungkinan untuk mengembangkan masalah berkaitan keadaan kesihatan mental berbanding individu dewasa dengan risiko genetik rendah. Pengurangan risiko ini hanya akan dapat dicapai sekiranya individu dalam kumpulan genetik berisiko tinggi melakukan empat jam senaman bagi setiap minggu.  

    Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal Depression and Anxiety ini turut mendapati melakukan sebarang aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tetap akan memberikan kesan positif. Malahan aktiviti seperti kelas yoga dan tarian menunjukkan tahap manfaat yang sama seperti melakukan aktiviti di gim.

    Selain itu, melakukan aktiviti seperti berlari serta berjalan juga menunjukkan kadar penurunan risiko untuk mengalami depresi dengan masing-masing sebanyak 13 peratus dan 11 peratus. Sebaliknya, aktiviti seperti berjoging, berenang dan sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan raket tidak menunjukkan sebarang kesan pengurangan risiko. 

    Gaya hidup sihat

    Bersenam merupakan satu gaya hidup sihat yang amat digalakkan. Untuk manfaat jangka pendek, bersenam boleh membantu melepaskan bahan kimia endorfin baik dan melakukan aktiviti fizikal ini bagi tempoh jangka masa panjang boleh menghasilkan protein yang dapat meningkatkan fungsi dan mood otak. 

    Dalam masa yang sama senaman juga akan meningkatkan pelepasan serotonin yang berkurangan ketika anda berdepan dengan emosi dan mood kemurungan.

    Bagi individu yang mengalami masalah kemurungan, menurut National Institute for Health and Care Excellence, anda disarankan untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga jam seminggu selama 10 hingga 14 minggu.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan