Minuman dan Makanan bagi Pesakit Diabetes

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apabila anda mempunyai diabetes, penjagaan dalam aspek pemakanan adalah sangat penting. Diet yang sihat adalah termasuk soal makanan dan minuman yang sihat. Sepertimana makanan, minuman juga boleh memberi kesan terhadap berat dan tahap kandungan gula dalam darah anda. Oleh yang demikian, anda hendaklah memberikan perhatian terhadap jenis minuman yang anda pilih. Minuman yang mengandungi kalori yang rendah atau tiada kalori sangat disarankan untuk diminum.

Minuman baik untuk kesihatan bagi penghidap diabetes

Enam jenis minuman yang berikut adalah baik untuk kesihatan diri anda:

  1. Air Putih

Air putih sangat disarankan untuk semua individu. 70% kandungan badan kita adalah terdiri daripada air. Anda memerlukan air untuk mengekalkan hidrasi. Tambahan pula, air putih tidak mengandungi sebarang karbohidrat dan kalori.

  1. Susu

Susu skim atau rendah lemak tanpa kandungan gula tambahan adalah sangat baik untuk individu yang mempunyai diabetes. Susu bukan sahaja membekalkan tenaga, tetapi juga mengandungi vitamin dan mineral. Tambahan lagi, susu adalah sumber yang baik untuk protein. Perlu juga diingat bahawa susu juga mengandungi kalori dan karbohidrat. Anda perlu minum susu dengan saiz hidangan yang bersesuaian kerana kandungan karbohidrat dan kalori di dalam susu boleh meningkat apabila anda minum susu terlalu banyak. Sekiranya anda tidak menggemari susu biasa, anda boleh mengambil susu kacang soya atau susu badam sebagai pengganti.

  1. Jus Buah

Walaupun jus buah mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi, penghidap diabetes tidak sepatutnya mengelakkan pengambilan jus buah secara total. Jus buah mengandungi kandungan vitamin dan mineral yang tinggi. Jus buah adalah pilihan yang terbaik sebelum memulakan aktiviti senaman kerana aktiviti berbentuk fizikal boleh membantu mengimbangi kandungan gula dalam darah yang diperoleh daripada jus buah. Sekiranya anda memilih untuk minum jus buah, minum 100% jus tanpa tambahan gula.

  1. Teh

Teh tanpa tambahan gula atau susu telah terbukti mempunyai manfaat kesihatan. Ia mampu memperbaiki sensitiviti insulin dan membantu mengawal tekanan darah. Teh tidak mengandungi sebarang karbohidrat dan kalori, oleh itu teh tidak akan menambah kandungan karbohidrat dan kalori dalam tubuh anda.

  1. Minuman Diet

Minuman dan Makanan Bagi Pesakit Diabetes - minuman diet

Kebanyakan minuman diet seperti soda diet atau smoothie diet adalah tanpa kandungan karbohidrat, oleh itu ia tidak menambah kandungan gula dalam darah. Mereka menggunakan pemanis yang rendah kalori bagi menggantikan gula sebagai perasa dalam minuman. Melalui cara ini, ianya dapat menyingkirkan sebarang kandungan gula dan kebanyakan kalori dan karbohidrat yang baik untuk penghidap diabetes dan pengurangan berat badan. Minuman diet mempunyai beberapa perisa seperti lemonade dan fruit punch, oleh itu ia adalah alternatif yang baik sebagai pengganti minuman bergula.

  1. Kopi

Kopi mempunyai kebaikan dan keburukan. Tetapi meminum kopi dengan kadar yang sederhana (2-3 cawan sehari) membantu mengurangkan risiko untuk mendapat diabetes tahap 2. Kopi biasa adalah bebas gula, tanpa lemak dan tidak mempunyai karbohidrat. Tetapi kopi bersusu seperti latte atau kopi yang mempunyai tambahan gula mempunyai kalori yang tinggi. Oleh itu, sekiranya anda adalah peminat kopi, anda perlu berhati-hati apabila meminum kopi.

Bergantung kepada keadaan kesihatan anda, anda boleh mengambil beberapa jenis minuman. Berbincanglah dengan doktor untuk menentukan jenis minuman yang tepat untuk membantu anda mengawal diabetes anda.

Makanan terbaik untuk penghidap diabetes

Makan secara baik dan sihat adalah cara yang mudah dan berkesan untuk mengawal diabetes. Tetapi merancang diet yang sihat adalah bukan sesuatu yang mudah. Kandungan nutrien dan glycemic index (GI) mungkin membantu anda untuk membuat pilihan yang lebih sihat. Berikut adalah jenis-jenis makanan terbaik atau superfoods yang bukan sahaja memberikan nutrien tetapi juga mempunyai GI yang rendah yang membantu menguruskan tahap kandungan gula dalam darah. Makanan terbaik untuk penghidap diabetes berfungsi dengan pelan pemakanan individu dengan saiz hidangan yang sesuai.

  1. Kekacang

Kebanyakan kekacang adalah berkhasiat dan ia menyediakan kandungan serat, karbohidrat kompleks dan protein yang agak besar. Kekacang juga adalah sumber terbaik magnesium dan kalium. Berpandukan satu kajian, kekacang dipercayai boleh merendahkan tahap glycemic di dalam darah anda sekiranya anda menghidap diabetes tahap 2. Anda boleh menyimpan kekacang dengan cara pengetinan, tetapi ia perlu ditapis dahulu sebelum dimakan untuk membuang kandungan sodium atau garam.

  1. Sayuran tidak berkanji

Sayuran tidak berkanji termasuklah sayuran berwarna hijau gelap, sayuran berdaun, lada dan lain-lain. Sayuran jenis ini mengandungi kandungan karbohidrat yang rendah. Hidangan dengan sayuran tidak berkanji membantu anda ketika anda lapar, memberikan anda dengan kandungan serat yang tinggi, dan meningkatkan pengambilan vitamin, mineral dan phytochemicals yang boleh mengelakkan sebarang penyakit. Sayuran tidak berkanji membantu mengurangkan berat badan dan menstabilkan kadar gula dalam darah. Ini adalah di antara makanan yang boleh dimakan dengan kandungan yang banyak oleh penghidap diabetes. Sekiranya anda tidak berminat dengan sayuran, olahnya dengan resepi untuk menjadikannya lebih sedap untuk dinikmati.

  1. Buah-buahan sitrus

Minuman dan Makanan Bagi Pesakit Diabetes - buahan sitrus

Buah -buahan sitrus seperti tangerin, oren, limau gedang, lemon dan limau memberikan sumber serat yang baik. Untuk meningkatkan pengambilan serat, anda disarankan untuk makan keseluruhan kandungan buah berbanding menjadikannya dalam bentuk jus. Kajian turut menyatakan bahawa buah-buahan sitrus mampu mengurangkan risiko untuk menghidap diabetes.

  1. Beri

Beri seperti strawberi dan beri biru memberikan sumber yang baik untuk gula semula jadi. Sedikit hidangan beri setiap hari mampu memberi kelegaan kepada sesiapa yang meminati makanan yang manis dan meningkatkan pengambilan serat. Tambahkan beri ke dalam yogurt atau smoothies untuk menjadikan hidangan pencuci mulut lebih enak.

  1. Tomato

Tomato boleh dimakan secara mentah, dipurikan, dimasak atau dalam bentuk sos. Tanpa mengira cara anda memakannya, anda tetap telah mengambil vitamin A, C, E dan zat besi. Tomato boleh membantu mengurangkan risiko untuk mendapat kanser, khususnya kanser prostat dan penyakit jantung.

  1. Ikan yang berlemak

Salmon liar atau mana-mana ikan dengan asid lemak omega-3  membantu dengan berkesan untuk mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung, terutamanya penyakit jantung koronari yang mana dikaitkan dengan diabetes. Ikan jenis ini juga tinggi kandungan vitamin D dan selenium yang baik untuk rambut, kulit dan kuku. Ikan tidak mengandungi sebarang karbohidrat, oleh itu ikan tidak akan meningkatkan kandungan gula dalam darah anda. Terlalu tinggi kandungan lemak juga tidak baik untuk kesihatan, oleh itu sentiasa mengambilnya dalam kuantiti yang terkawal dan sederhana dalam diet pemakanan anda.

  1. Bijirin penuh

Bijirin penuh adalah makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi dan ia tidak memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi. Jadi sekiranya anda memikirkan untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat, bijirin penuh adalah pilihan yang terbaik. Sesetengah bijirin penuh mengandungi nutrien yang sangat baik seperti magnesium, chromium, kalium dan folat.

  1. Produk tenusu tanpa lemak atau rendah lemak

Pastinya anda mengetahui bahawa produk tenusu memberikan vitamin D dan kalsium yang membantu menguatkan gigi serta tulang. Kajian menunjukkan bahawa produk tenusu boleh mengurangkan risiko untuk mendapat diabetes tahap 2 dengan 9%. Tetapi sekiranya anda menghidap diabetes, anda dicadangkan untuk mengambil susu skim dan yogurt.

Makanan terbaik seperti berikut adalah berkhasiat yang membantu anda mengawal diabetes yang anda hidapi. Sesetengahnya mungkin agak mahal, manakala sesetengahnya pula agak berpatutan. Kesemua jenis makanan ini boleh ditemui di mana-mana pasar raya atau kedai.

Pilihan  produk tenusu terbaik untuk diabetes

Seperti yang dikatakan di atas, produk tenusu merupakan antara makanan terbaik buat penghidap penyakit diabetes atau kencing manis ini. Tetapi bagaimana untuk mengetahui produk tenusu apakah yang terbaik untuk anda? 

Kajian menunjukkan bahawa produk tenusu boleh menurunkan risiko untuk mendapat diabetes tahap 2. Produk tenusu adalah sumber terbaik untuk kalsium, vitamin, protein dan mineral. Pelbagai produk tenusu seperti susu tanpa lemak atau rendah lemak dan yogurt boleh diambil sebagai snek.

Apakah produk tenusu?

Produk tenusu adalah produk berasaskan susu seperti susu, yogurt, keju, krim dan pelbagai produk lain.

Apakah pilihan terbaik?

Bagi individu yang mempunyai diabetes, pilihan produk tenusu terbaik adalah:

  • Susu tanpa lemak (skim) atau rendah lemak (1% lemak)
  • Yogurt rendah lemak atau tanpa lemak dengan perasa rendah lemak
  • Yogurt rendah lemak tanpa perasa
  • Susu kacang soya tanpa perasa dan susu badam.

Minuman dan Makanan Bagi Pesakit Diabetes - produk tenusu yogurt

Tip berkaitan produk tenusu

Setiap hidangan susu (sekitar 170 gram) mengandungi 12 gram karbohidrat dan 8 gram protein. Yogurt Greek mempunyai lebih banyak protein berbanding jenis yogurt yang lain, dengan kira-kira 12 gram. Anda boleh menggunakan maklumat ini untuk merancang diet yang lebih sihat.

Sekiranya anda tidak menggemari susu rendah lemak, anda boleh beransur-ansur menukarnya daripada susu biasa kepada susu dengan 2% lemak dan kemudiannya kepada susu dengan 1% lemak. Anda mungkin perlu mengambil masa untuk terbiasa dengannya.

Anda disarankan untuk minum sekitar 220 gram susu setiap hari. Sekiranya anda hamil atau menyusukan anak anda, anda disarankan untuk mengambil 4 atau 5 hidangan susu setiap hari.

Susu baik untuk kesihatan anda, tidak kira sama ada anda mempunyai diabetes ataupun tidak. Tetapi pilihan terbaik bagi mereka yang mempunyai diabetes adalah produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak. Anda boleh berbincang dengan doktor untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk anda.

Pencuci mulut untuk pesakit diabetes

Mempunyai diabetes tidak bermakna anda perlu mengelakkan hidangan pencuci mulut dan mengelakkan gula untuk selama-lamanya. Anda boleh mempunyai satu hidangan yang manis bersaiz kecil tetapi dalam masa yang sama, masih mengawal keadaan diabetes anda.

Fakta berkenaan gula

Bagi diabetes jenis 2, satu faktor risiko adalah kerana berat badan yang berlebihan yang disebabkan pengambilan gula dalam jumlah yang tinggi. Apabila anda makan terlalu banyak gula, berat badan anda akan bertambah. Selain itu, kajian juga telah menunjukkan bahawa minum minuman beralkohol turut dikaitkan dengan diabetes jenis 2. Oleh itu, anda harus mengehadkan penggunaan gula untuk membantu mengelakkan diabetes.

Sekiranya anda sudah menghidap diabetes, pengambilan gula akan meningkatkan paras gula dalam darah anda. Jika ini tidak dikawal, masalah serius mungkin berlaku. Dengan pelan yang betul, anda masih boleh makan sedikit gula dan mengekalkan paras gula dalam darah anda dengan stabil.

Anda hanya perlu makan gula-gula atau manisan pada majlis-majlis khas seperti majlis hari jadi atau perkahwinan. Tetapi ingatlah bahawa produk makanan tersebut mengandungi sejumlah besar gula. Oleh itu, berhati-hatilah dengan mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit. Hidangan harian anda perlu meliputi makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran, produk tenusu tanpa lemak, ikan berlemak, kekacang, dan protein tanpa lemak.

Jika pencuci mulut anda mengandungi terlalu banyak gula, kongsinya dengan rakan anda. Anda juga tidak boleh membeli gula-gula dalam kuantiti yang banyak jika anda fikir anda akan terlebih makan.

Tambah gula ke dalam diet anda

Satu lagi cara untuk memuaskan keinginan anda terhadap makanan manis adalah dengan menambahkan pemanis berkalori rendah dalam pelan pemakanan anda. Tetapi anda harus mengawal jumlahnya. Berikut adalah beberapa jenis pemanis yang boleh anda gunakan dalam makanan anda:

  • Jenis gula (putih, mentah, tebu, coklat, jagung, kelapa);
  • Madu;
  • Sirap (tebu, maple, beras);
  • Nectar;
  • Gula semula jadi (fruktosa, xylitol).

Untuk mengawal paras gula dalam darah anda, anda juga harus mengawal jumlah karbohidrat yang dapat dijumpai dalam makanan-makanan ini:

  • Nasi;
  • Pasta;
  • Roti;
  • Biskut;
  • Sayuran berkanji (kacang, kentang, jagung);
  • Buah;
  • Jus;
  • Produk tenusu (susu, keju, yogurt).

Jika anda ingin mempunyai pencuci mulut, anda harus berhati-hati dengan mengenal pasti jumlah pemanis yang ditambahkan dalam hidangan anda dengan memeriksa label produk.

Minuman dan Makanan Bagi Pesakit Diabetes - pencuci mulut

Label fakta pemakanan dan kandungan bahan akan menunjukkan kepada anda kuantiti gula dan karbohidrat yang terkandung di dalam sesebuah produk. Gula termasuk gula semula jadi dan tambahan. Karbohidrat termasuk kanji, serat, gula dan gula alkohol (seperti maltitol, xylitol, sorbitol). Anda boleh bergantung kepada maklumat ini untuk membina resepi pencuci mulut yang sihat.

Makanan manis seperti gula-gula dan pencuci mulut adalah suatu keinginan. Apabila menghidap diabetes, anda harus makan gula-gula dan pencuci mulut di majlis-majlis khas sahaja. Tetapi apabila anda membuat keputusan untuk menambahkan gula-gula pada makanan anda, ia perlu dalam kuantiti yang sedikit. 

Doktor akan menasihati anda untuk mempunyai pelan pemakanan yang bukan sahaja membantu anda mengawal diabetes tetapi juga memenuhi keinginan anda terhadap makanan manis.

Perubahan gaya hidup

Gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang aktif, obesiti, pengambilan makanan berlemak dan manisan, kurangnya sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet pemakanan harian, tabiat merokok, dan minum minuman beralkohol adalah penyebab diabetes jenis 2.

Perubahan berikut dalam gaya hidup boleh membantu mencegah diabetes jenis 2. Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan mengubah tabiat pemakanan. Makanan dan minuman memainkan peranan yang amat penting dalam mengawal diabetes. Anda bukan sahaja perlu mengimbangi diet anda tetapi perlu membuat jadual makan tetap. Ini akan membantu anda mengelakkan paras gula yang tinggi di dalam tubuh

Sebagai penghidap diabetes, anda harus menghentikan tabiat merokok dan pengambilan minuman beralkohol. Individu yang merokok berisiko mengalami diabetes sebanyak 50% lebih tinggi berbanding mereka yang tidak merokok. Tembakau adalah faktor mempercepatkan proses aterosklerosis. Dan, ia juga meningkatkan kolesterol berbahaya, menyebabkan rintangan insulin, dan meningkatkan gula dalam darah.

Paling penting, anda harus mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan beberapa aktiviti fizikal atau senaman. Anda dinasihatkan untuk bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan 5 hari seminggu. Sesetengah jenis senaman seperti berjalan kaki, berenang, badminton, mendaki tangga adalah disyorkan. Walau bagaimanapun, pesakit perlu berunding dengan doktor mereka untuk memilih bentuk senaman yang sesuai dan berkesan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.