backup og meta

Jangan Percaya 4 Mitos Senaman Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 26/06/2020

    Jangan Percaya 4 Mitos Senaman Ini!

    “Jangan berhenti pergi gim. Nanti otot bertukar jadi lemak!” Berikut adalah merupakan salah satu contoh mitos berkaitan senaman yang terkenal dalam kalangan masyarakat umum. Percaya atau tidak, orang yang mempunyai pengetahuan juga boleh terpedaya dengan auta sebegini. Ikuti artikel ini untuk maklumat selanjutnya.

    Otot mengecut, lemak pun masuk

    Apabila dilihat pada mitos “otot bertukar jadi lemak” dari sudut pandangan fisiologi, tidak dapat dinafikan bahawa ura-ura penukaran di antara tisu tersebut adalah tidak masuk akal. Otot dan lemak, masing-masing, mempunyai sel yang berbeza. Sel otot tidak boleh bertukar menjadi sel lemak dan sebaliknya.

    Apabila seorang individu yang aktif menjadi tidak aktif, otot-otot di seluruh badannya akan mengecut, membuka ruang kepada sel lemak untuk memenuhinya. Ini akan menyebabkan otot yang sedia ada tampak menggeleber. Nisbah otot dan lemak tidak lagi berada dalam keadaan seimbang. Ruang kosong pada kawasan otot tersebut akan diisi dengan sel lemak.

    Perkara ini kebiasaannya berlaku disebabkan oleh pengambilan jumlah kalori yang sama dengan hari anda bersenam. Ini akan menyebabkan lebihan kalori bertukar menjadi sel lemak di dalam badan. Jadi, ingat ya! Sel otot tidak bertukar menjadi lemak sebaliknya ia mengecut dan memberi ruang untuk diisi oleh sel lemak. Besar perbezaannya!

    Waktu pagi adalah merupakan waktu terbaik untuk bersenam

    Walaupun petua ini betul, namun ia tidak tepat. Waktu yang sesuai untuk bersenam bergantung kepada objektif anda. Jika anda bersenam untuk mengurangkan berat badan, maka pagi adalah waktu yang terbaik untuk bersenam. Hal ini kerana apabila kita bangun daripada tidur, badan kita berada dalam keadaan “berpuasa” (fasted state). Ini bermakna bagi mendapatkan tenaga untuk bersenam, kalori tersebut akan diambil daripada “stor simpanan” seperti hati yang menyimpan glikogen dan tisu lemak.

    Jika dilihat dari sudut keberkesanan untuk memperoleh kebaikan bersenam secara umum, waktu tidak memainkan peranan yang begitu penting. Anda boleh bersenam di gim pada waktu pagi, petang ataupun malam namun, jika anda berasa  letih, seeloknya bagi anda untuk tidur. Tidur yang cukup dapat memberikan kesan fisiologikal yang lebih baik.

    Senaman regangan dapat mengurangkan risiko kecederaan

    Dalam konteks ini, senaman regangan yang dimaksudkan adalah senaman regangan statik. Terdapat pelbagai jenis senaman lain yang dapat mengurangkan risiko kecederaan jauh lebih baik berbanding senaman regangan statik seperti angkat berat (berat yang ringan terlebih dahulu), senaman keseimbangan dan senaman pemanas badan. Menurut pakar, senaman regangan statik dapat meningkatkan tahap kelenturan badan, namun ia cuma bermanfaat bagi mereka yang melakukan senaman yang spesifik seperti gimnastik dan skater ais.

    Bagi mereka yang ingin melakukan senaman mengangkat berat, anda berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan kerana selepas melakukan aktiviti regangan tersebut, sendi anda akan menjadi longgar. Perkara ini juga boleh menyebabkan prestasi senaman anda menurun kerana anda tidak dapat memberikan daya kekuatan yang optimum.

    Senaman kardio boleh membakar lemak anda

    Senaman sahaja tidak dapat mengurangkan peratusan lemak badan anda melainkan ia dilaksanakan seiring dengan pengamalan gaya pemakanan yang sihat. Ramai yang suka menggunakan ayat, “Alaa, esok aku pergi joging, terbakarlah lemak tu”. Itu adalah corak pemikiran yang salah.  Jika anda ingin mengurangkan berat badan, gaya pemakanan adalah merupakan faktor terpenting.

    Pelan pengurangan kalori (caloric deficit) dapat membantu anda mengurangkan berat badan. Jika anda bercadang untuk melakukan kardio untuk durasi yang lama sehari, anda berkemungkinan untuk kehilangan tisu otot dan ini boleh mengakibatkan penurunan metabolisma badan. Perkara ini akan membuatkan proses penurunan berat badan menjadi lebih sukar.

    Konklusi

    Sebelum anda bersenam, pastikan anda mempunyai objektif. Ini akan membantu anda untuk meningkatkan  prestasi dalam tempoh masa tertentu. Usah terpedaya dengan segala kebaikan atau keburukan yang anda dengar melalui mulut orang. Kaji fakta tersebut dan pastikan ia selari dengan objektif anda. Jangan terpedaya dengan mitos!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 26/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan