Gastrik Angin, Bukan Sekadar Angin Di dalam Perut

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pernahkah anda melangkau waktu makan secara tidak sengaja dan mengalami keadaan atau situasi di mana anda berasa perut masuk angin, kerap sendawa dan sering berasa loya? Jika ya, ia bermakna anda mengalami masalah gastrik angin. Namun, apakah sebenarnya gastrik ini?

Gastrik Angin?

Istilah gastrik angin atau gastrik yang merujuk kepada masalah perut berangin ini sebenarnya adalah satu istilah kurang tepat. Perkataan ‘gastrik’ itu di dalam istilah perubatan didefinisikan sebagai ‘perut’. Jadi istilah tepat bagi penyakit ini adalah gastritis. Namun, disebabkan penggunaan gastrik sudah digunakan secara meluas di Malaysia, khususnya, menjadikan pakar perubatan dan doktor juga turut menggunakan istilah yang sama bagi memudahkan pemahaman pesakit dan untuk mengelakkan timbul sebarang kekeliruan yang tidak diingini. 

Jadi apakah sebenarnya gastrik angin ini?

Gastrik atau gastritis merujuk kepada keradangan yang berlaku pada lapisan dalam perut. Keadaan ini boleh berlaku apabila terjadinya penurunan pada tahap perlindungan lapisan dalam perut.

Secara umumnya, fungsi normal perut adalah untuk mengeluarkan asid (gastric juice) yang berfungsi untuk mencerna makananan dan membunuh kuman mahupun bakteria yang masuk melalui mulut, ketika anda sedang makan, bernafas dan sebagainya. Oleh kerana itu, tahap keasidan di dalam perlu adalah lebih tinggi berbanding bahagian lain di dalam saluran pemakanan atau usus anda. 

Disebabkan tahap keasidan di dalam perut itu adalah tinggi, terdapat satu mekanisme akan terbentuk yang dirujuk sebagai protective mechanism. Ia berperanan untuk melindungi dan mencegah dinding perut daripada terhakis. Mekanisme ini akan menghasilkan sejenis lapisan cecair atau mukus yang menjadi penghalang (protective layer) kepada asid daripada mengenai dinding perut. Jadi seandainya anda mengalami masalah gastrik angin, ia bermakna, berlaku atau terdapat sesuatu yang telah mengganggu penghasilan lapisan ini. 

Jenis-jenis gastrik

Dikatakan terdapat 3 jenis gastrik yang boleh berlaku, iaitu:

  • Gastritis ringan

Keadaan ini boleh berlaku apabila terdapat keradangan atau pembengkakan yang disebabkan iritasi pada bahagian lapiasan perut yang bersentuhan dengan makanan. 

  • Gastritis berat

Apabila berlaku kecederaan seperti luka yang berpanjangan pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan, ia akan menyebabkan berlakunya gastritis berat. 

  • Ulser gastrik (peptic ulcer)

Keadaan ini merujuk kepada masalah ulser perut. Ulser adalah istilah yang memberi maksud keadaan luka terbuka. Terdapat darah yang boleh dikesan dalam muntah atau najis. 

Faktor Penyebab Gastrik Angin

Terdapat beberapa faktor atau punca yang boleh menyebabkan berlakunya gastrik, iaitu sesuatu yang mengakibatkan gangguan pada penghasilan mukus di dalam perut sehingga mewujudkan keradangan. Antaranya adalah:

Jangkitan bakteria ‘Helicobacter pylori

Dikatakan daripada 10 kes gastrik, 8 daripadanya dipercayai berpunca daripada jangkitan bakteria Helicobacter pylori ini atau lebih mudah dirujuk sebagai ‘H.pylori’. Bakteria ini dikatakan boleh menjangkiti manusia melalui pengambilan makanan yang sudah tercemar. 

Setelah memasuki dan berada di dalam perut, bakteri ini akan bergerak masuk ke dalam lapisan mukus yang berperanan untuk melindungi lapisan atau dinding perut. Apabila berjaya melepasi lapisan mukus ini, bakteria H.pylori ini akan bersarang dan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menghakis lapisan perlindungan di dalam perut. Tanpa lapisan mukus ini, asid perut yang berfungsi untuk mencerna makan itu akan terkena dinding dan akhirnya mengakibatkan rasa pedih dan sakit, lalu terjadilah masalah gastritis atau gastrik angin. 

Pengambilan ubat tahan sakit NSAIDs

NSAIDs merupakan singkatan kepada Non-steroidal Anti-inflammatory Drugs. Ia merupakan sejenis ubat penahan sakit yang sering diberikan oleh doktor perubatan. Kegunaan ubat ini adalah untuk digunakan oleh individu yang mempunyai masalah sakit sendi (keradangan) atau sakit otot. 

Gastrik Angin, Bukan Sekadar Angin Di dalam Perut - ubat tahan sakit NSAIDs

Ubat tahan sakit NSAIDs ini berfungsi untuk menghalang pembentukan sejenis bahan kimia, prostaglandin yang boleh mengakibatkan rasa sakit di dalam badan manusia. Tetapi dalam masa yang sama, bahan kimia prostaglandin ini diperlukan untuk penghasilan mukus di dalam lapisan perut. 

Pengambilan ubat NSAIDs ini akan menyebabkan penghasilan mukus akan mengalami penurunan kerana jumlah atau kuantiti bahan kimia prostaglandin yang berkurangan dan tidak cukup untuk menampung keperluan dalam proses penghasilan mukus tersebut. Akhirnya, keadaan ini akan mengakibatkan asid perut menghakis dinding perut.

Tahap tekanan yang tinggi dalam badan

Gastrik angin boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh tidak makan mengikut waktu yang sepatutnya. Tetapi ia juga boleh berlaku sekiranya tahap tekanan yang membebani badan seseorang individu dalam pada tahap yang tinggi. Antara penyebab tekanan adalah seperti kesan daripada pembedahan major disebabkan masalah kesihatan lain, atau sebarang kecederaan teruk yang boleh merangsang penghasilan asid yang tinggi di dalam perut. 

Gastrik Angin, Bukan Sekadar Angin Di dalam Perut - stress

Pengambilan alkohol secara berlebihan

Jika anda gemar untuk minum minuman beralkohol, ia tidak salah. Walau bagaimanapun, pengambilan secara berlebihan boleh mendatangkan masalah gastrik angin. Ini kerana minuman beralkohol ini dipercayai mampu mendatangkan kerengsaan dan mengikis lapisan perut, sekali gus menyebabkan ia terdedah kepada asid. 

Beberapa keadaan lain yang turut mendasari kepada wujudnya masalah gastrik angin ini adalah seperti:

  • Tindak balas dengan makanan atau ubat
  • Tindak balas dengan bahan kimia
  • Merokok
  • Peningkatan usia

Simptom Gastrik Angin

Terdapat beberapa simptom atau tanda yang boleh dikenal pasti jika anda berkemungkinan mengalami masalah gastritis ini. Ia dianggap sebagai gejala yang ringan dan boleh beransur-ansur hilang sekiranya anda mengambil langkah yang betul untuk mengatasi masalah ini. 

Gastrik Angin, Bukan Sekadar Angin Di dalam Perut - simptom

Antara simptom yang boleh berlaku adalah seperti:

  • Senak perut (ketidakhadaman)

Ia melibatkan rasa sakit perut pada bahagian atas perut, iaitu antara pusat dan tulang di bawa bahagian dada. Ia mungkin berlaku sama ada pada bahagian kiri atau tengah perut dan cenderung untuk merebak ke bahagian belakang badan. Senak perut ini biasa berlaku disebabkan masalah ketidakhadaman.

Ketidakhadaman atau dispepsia adalah istilah umum untuk sakit perut atau ketidakselesaan. Istilah ini merangkumi pelbagai simptom penghadaman dan merupakan masalah biasa yang memberi kesan kepada ramai individu. Biasanya masalah ini berlaku selepas anda makan atau minum. Ia disebabkan oleh asid yang memecahkan lapisan pelindung dinding perut yang membawa kepada kerengsaan dan kesakitan.

  • Sakit di bahagian ulu hati

Pedih ulu hati disebabkan oleh asid perut mengganggu kawasan bawah esofagus. Ia terjadi kerana injap di bahagian atas perut dikenali sebagai lower esophageal sphincter (LES) tidak tertutup. Asid ini memasuki esofagus yang tidak mempunyai lapisan penebat bahan kimia. Ini akan menyebabkan kesan kimia terjadi.

Secara ringkasnya pedih ulu hati merupakan satu keadaan yang mana kandungan asid dalam perut masuk semula ke dalam saluran pemakanan (esofagus) bersama-sama makanan yang dihadam.

Antara simptom yang sering dialami oleh individu adalah rasa sakit pada bahagian dada atau tekak seperti terbakar. Selalunya terjadi selepas makan berat. Situasi ini sering mengakibatkan wujudnya rasa tidak selesa kepada individu.

Pedih ulu hati dikatakan sebagai gejala biasa. Sekiranya ia terjadi sekali sekala ianya tidak perlu dirisaukan. Namun terdapat indiviud yang  mengalaminya dengan kerap malah ada yang setiap hari. Kekerapan ini boleh menyebabkan masalah yang lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan. 

Kekerapan pedih ulu hati adalah gejala Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD). Penyakit refluks gastroesophageal merupakan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid perut atau kandungan perut mengalir kembali ke kerongkong anda.

  • Hilang selera makan

Gastrik Angin, Bukan Sekadar Angin Di dalam Perut - hilang selera makan

Masalah gastrik angin yang dihadapi juga cenderung membuatkan individu yang mengalaminya akan kehilangan selera makan. Keadaan ini sekali gus akan memberikan kesan terhadap berat badan, di mana ia cenderung untuk mengakibatkan seseorang individu mengalami penurunan berat badan yang kronik. 

  • Perut kembung

Keadaan ini berlaku apabila perut mengeluarkan asid penghadalam secara berlebihan kerana kerosakan saraf pada bahagian dalaman dinding perut. Akibatnya, asid berlebihan ini akan melalui usus dan bertindak balas untuk membentuk gas atau angin dalam perut. Ia akhirnya akan mengakibatkan usus di dalam perut menjadi tegang dan kembung. 

  • Loya dan muntah

Angin yang berada di dalam perut akan membuatkan seseorang individu untuk berdepan kecenderungan untuk mengalami loya atau mual. Terdapat juga kes di mana keadaan ini akanm mengakibatkan individu untuk kerap muntah. 

Bagi individu yang mengalami muntah, simptom muntah gastrik angin biasanya bahan yang dimuntahkan adalah berwarna jernih, kuning, atau kehijauan. Ia mungkin mengandungi darah, yang bergantung kepada tahap gastritis yang dihadapi. 

  • Badan berasa lemah dan lesu

Dikatakan apabila anda mengalami gastrik, secara automatik badan anda akan sentiasa berasa lemah dan lesu. Ini kerana anda perlu menahan sakit yang menyebabkan badan anda menjadi tidak selesa dan penat. 

Terdapat beberapa simptom gastrik lain yang boleh berlaku seperti:

  • Kerap sendawa berulang kali
  • Sering membuang angin (kentut) selepas makan
  • Najis berwarna hitam, dipercayai akibat gastritis yang kronik

Gastrik VS Masalah Kesihatan 

Gastrik dianggap sebagai satu masalah kesihatan biasa yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat dan ia tidak mendatangkan kebimbangan. Namun, terdapat beberapa keadaan kesihatan yang menyerupai simptom gastrik yang tidak boleh dipandang remeh. Antara panyakit atau masalah kesihatan itu adalah:

  • Ulser duodenum (duodenal ulcer)
  • Sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome)
  • Serangan jantung atipikal (atypical acute myocardial infarction)

Selain itu, terdapat juga beberapa penyakit lain dibawah kumpulan surgikal yang boleh datang dengan sakit di bahagian dada seperti:

  • Radang hempedu (Acute cholecystitis)
  • Radang pankreas (Acute pancreatitis)

Merawat Gastrik Angin

Untuk merawat masalah gastritis ini, terdapat beberapa ubatan yang boleh membantu. Antaranya adalah:

1. Antasid (Antacid)

Ubat ini boleh dibeli daripada mana-mana farmasi dan preskripsi daripada doktor tidak diperlukan. Antasid merupakan campuran beberapa bahan kimia yang boleh membantu mengurangkan tahap keasidan dalam perut.

Ubat ini berfungsi untuk  memperbaiki dan memberi lapisan tambahan kepada lapisan pertahanan iaitu mukus, yang diambil 3 kali sehari.  Ianya hadir dalam dua bentuk, iaitu cecair dan tablet. Ubat ini perlu diambil sebelum makan. Ubat ini dikatakan akan bertindak dalam masa 10 hingga 15 minit selepas diambil.

Namun, pengambilan ubat antasid ini dikatakan akan memberikan beberapa kesan sampingan. Dalam kebanyakan masa, kesan sampingan yang berlaku ini adalah tidak merbahaya. Beberapa kesan sampingan yang mungkin dialami adalah seperti:

  1. Degupan jantung tidak sekata
  2. Keletihan melampau
  3. Sakit perut berterusan
  4. Cirit-birit berterusan
  5. Sembelit
  6. Najis bertukar warna menjadi putih

Sekiranya anda diberikan ubatan antasid ini untuk merawat masalah gastrik angin dan anda menyedari  berlaku mana-mana kesan sampingan yang dinyatakan di atas, anda amat dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat atau rawatan alternatif lain yang lebih bersesuaian.

2. H2-blocker 

Turut dikenali sebagai antagonis H2. Ubat ini dikatakan berfungsi untuk mengurangkan rembesan asid. Contoh ubat jenis H2-blocker adalah ranitidine.

3. Proton pump inhibitor 

Perencat pam proton (PPI) diberikan bertujuan untuk mengurangkan rembesan asid dengan lebih berkesan. Ubat PPI ini biasanya diberi kepada pesakit yang alami gastritis teruk atau ulser perut. Antara contoh ubatan yang akan diberikan adalah lansoprazole atau pantoprazole.

Langkah Pencegahan 

Jika anda pernah mengalami masalah gastritis ini, pastinya anda sudah mengetahui kesan yang akan berlaku kepada badan anda akibat masalah kesihatan ini. Jadi untuk mengelakkan ia daripada berulang kembali, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko kecenderungan untuk mengalami gastrik.

Gastrik Angin, Bukan Sekadar Angin Di dalam Perut - gaya hidup sihat

Antara langkah pencegahan yang boleh anda lakukan adalah seperti:

  • Menghindari pengambilan makanan berasid, bergoreng, pedas, dan tinggi lemak. Terutamanya ketika perut anda masih kosong. 
  • Mengambil makanan dengan kerap dan dalam kuantiti yang kecil. Sebaiknya elakkan dari melangkau waktu hidangan makan. Makan mengikut ketetapan waktu. perbanyakkan meminum susu kerana susu bersifat alkali dan boleh mengurangkan keasidan perut. Walau bagaimanapun, elakkan dari mengambil minuman tenusu ketika perut kosong terutama pada waktu pagi.
  • Jika masalah gastritis berlaku disebabkan pengambilan ubat NSAIDs, cuba untuk berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan cadangan pengambilan ubatan lain bagi membantu mengatasi masalah sakit sendi atau otot yang anda alami. 
  • Menjauhi minuman beralkohol. Tidak salah untuk anda mengambil minuman beralkohol sekali sekala. Tetapi pastikan ia dalam jumlah yang terkawal. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai kekuatan untuk terus berhenti daripada meminumnya, pasti ia adalah satu langkah yang lebih baik. 
  • Tekanan adalah sesuatu yang sentiasa berlaku dalam kehidupan seseorang individu. Ia boleh terjadi akibat pekerjaan yang anda lakukan, tugasan harian rumah yang anda buat atau pelbagai punca lain. Ia sukar untuk dielakkan dari berlaku. Tetapi anda boleh mencuba untuk mengurangkan tekanan. Cuba pelajari dan amalkan kaedah pernafasan mendalam setiap kali anda berdepan tekanan. 
  • Berhenti merokok. Tabiat merokok sememangnya tidak mendatangkan sebarang faedah untuk kesihatan anda. Malah ia sebenarnya merupakan antara punca yang mendasari kepada pelbagai masalah kesihatan. Jadi, jika anda mampu, cuba untuk berhenti merokok. Terdapat pelbagai cara yang boleh membantu anda untuk menghentikan tabiat merokok ini. 

Penjagaan Kesihatan

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, masalah gastrik angin atau gastritis ini mungkin dianggap sebagai satu masalah kesihatan biasa yang kerap dialami oleh ramai individu. Walau bagaimanapun, anda tidak seharusnya menganggap masalah kesihatan ini sebagai satu masalah yang remeh. 

Ini kerana jika masalah gastrik dibiarkan berlanjutan tanpa mendapatkan rawatan yang sewajarnya, terdapat kecenderungan untuk risiko berlaku pembentukan ulser di dalam perut. Sekiranya keadaan ini terjadi, rawatan perlu diberikan kerana ulser ini boleh berdarah dan membawa kepada penyakit lain seperti anemia (kurang darah merah).

Gastrik boleh dicegah melalui penjagaan pemakanan dan kesihatan yang betul. Pastikan anda menjaga aspek diet pemakanan harian anda dan elakkan jenis makanan yang berisiko menyebabkan gastritis. Luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti fizikal setiap hari, ia adalah amat digalakkan untuk dijadikan sebagai amalan setiap hari.

Hello Health Group tidak memberikan khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut