Bina Badan Patuh Syariah Diteruskan Di Kelantan: Apakah Manfaat Bina Badan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Melalui Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan, kerajaan negeri tersebut memutuskan untuk mengekalkan konsep pertandingan bina badan patuh syariah, ‘Mr Awang Selamat’. Bertemakan ‘Badan cantik patuh syariah’, pertandingan yang akan berlangsung pada tanggal 12 Oktober depan ini diteruskan hasil daripada sokongan dan juga sambutan yang memberangsangkan pada edisi tahun 2018.

Manfaat bina badan yang perlu anda tahu

Kesungguhan negeri Kelantan dalam melakukan modifikasi kepada sukan ini demi membolehkan ia dipertandingkan pasti menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak – Apakah manfaat yang dapat diperolehi daripada sukan bina badan ini

Secara asasnya, sukan bina badan adalah sejenis senaman yang berasaskan rintangan. Kesan rintangan ini boleh dicapai sama ada melalui penggunaan pemberat (seperti dumbell) atau melalui penggunaan berat tubuh badan sendiri (seperti tekan tubi). 

Berikut merupakan manfaat yang dapat anda nikmati melalui aktiviti bina badan:

  1. Menguatkan otot – Latihan berterusan akan menyebabkan otot anda terpaksa membesar demi menahan beban yang anda letakkan. Pembesaran ini juga dapat diterjemahkan dalam bentuk peningkatan kekuatan otot. 
  1. Mengurangkan risiko kecederaan – Dalam situasi harian, mempunyai otot yang lebih kuat dapat mengurangkan risiko kecederaan muskuloskeletal. Ini membolehkan anda melakukan tugas harian (yang bersifat fizikal) dengan lebih selesa.
  1. Mengawal berat badan – Latihan berterusan akan meningkatkan jisim otot bersih dalam badan. Peningkatan jisim otot bersih meningkatkan kadar metabolisma anda, membantu untuk membakar lebih banyak kalori ketika rehat. Ini secara tidak langsung mengurangkan risiko untuk penyakit-penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan juga penyakit jantung. 
  1. Mengurangkan kemurungan dan masalah keyakinan diri – Terdapat banyak kajian yang mendapati senaman rintangan dapat mengurangkan keterukan simptom kemurungan kerana ia membantu untuk meningkatkan aliran darah ke otak dan juga rembesan hormon seperti endorfin. Selain itu, tubuh badan yang lebih sasa dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang. 
  1. Membina stamina – Latihan berkala dapat membina stamina anda. Ini membolehkan anda menjadi lebih kuat dan tidak cepat penat apabila melakukan aktiviti fizikal keamatan rendah (low intensity).
  1. Membantu untuk mengekalkan kekuatan tulang –  Terdapat banyak kajian yang menunjukkan latihan yang membabitkan tekanan atau daya pada otot dan tulang (secara terkawal) dapat meningkatkan kekuatan tulang. Ini membantu untuk mengelakkan daripada penyakit kerapuhan tulang seperti osteoporosis. 

Kesimpulannya, terdapat banyak manfaat bina badan dari sudut kesihatan mental dan fizikal. Manfaat ini juga dapat berlarutan sehingga ke usia tua dan membantu untuk mencegah penurunan kognitif. Jika anda ingin memulakan aktiviti bina badan, pastikan anda mendapatkan pelatih yang bertauliah bagi memastikan anda tidak melakukan senaman yang salah. Senaman dengan cara yang salah meningkatkan risiko untuk kecederaan dan juga mengurangkan keberkesanan latihan anda. Di mana pun anda berada, baik Kelantan atau Kuala Lumpur, manfaat aktiviti bina badan adalah sesuatu yang universal. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan