Elakkan Beli Rumah Di Bandar Besar, Ini Sebabnya!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Jam menunjukkan waktu 8.30 malam, Mak Ani sedang sibuk melipat pakaian yang telah siap dibasuh sambil menonton Buletin Utama kegemarannya. Suaminya, Cikgu Nasir telah keluar ke masjid sejak Maghrib bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak di sana. 

“Vrooooomm, vrooommmm…..” dengan pantas bunyi deruan ekzos motosikal melalui hadapan rumah teresnya, mengejutkan Mak Ani daripada kekhusyukannya menonton televisyen. Mak Ani berleter seolah-olah hilang fokusnya lagi untuk menonton televisyen disebabkan bunyi bising yang datang dari luar rumahnya hampir setiap hari. Ya, hampir setiap hari dia mendengar bunyi deruan enjin kenderaan di luar rumahnya. Keadaannya sebagai suri rumah sepenuh masa membuatkannya terfikir mahu berpindah dari kawasan tersebut ke perumahan lain yang lebih tenang agar tidak lagi mendengar bunyi-bunyi yang mengganggu ketenteramannya. 

Pernahkah anda mengalami situasi seperti yang dialami oleh Mak Ani? Jika anda juga kerap berhadapan dengan situasi seperti berikut, teruskan bacaan anda di bawah kerana ada sesuatu yang perlu anda ketahui di sebaliknya.

Berpotensi mendapat strok

Satu kajian yang telah dilaksanakan terhadap 2,700 individu di Sepanyol telah mendapati, terdapat peningkatan risiko untuk mendapat strok sebanyak ⅓ dalam kalangan penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai bunyi bising yang terhasil daripada trafik. Biar betul? Ya, menurut kajian tersebut, individu-individu yang tinggal di kawasan bandar yang bising lebih cenderung untuk mendapat strok berbanding daripada mereka yang tinggal di kawasan yang berdekatan dengan kawasan hijau seperti taman atau hutan.

Kajian masih meneliti bagi mendapatkan kepastian sama ada risiko strok tersebut benar-benar terhasil daripada bunyi bising trafik atau disebabkan oleh faktor pencemaran bandar yang jelas lebih tercemar berbanding kawasan pinggir bandar atau pedalaman. 

Walau bagaimanapun, para penyelidik telah menyatakan bahawa individu yang tinggal di kawasan yang bising lebih cenderung untuk mengalami stres, mendapat tekanan darah tinggi dan kurang bersenam

Peningkatan risiko mengalami strok yang lebih teruk

Kajian tersebut menyatakan, penduduk yang dikelilingi dengan tahap purata bunyi bising yang tinggi memiliki risiko yang lebih tinggi untuk mendapat strok yang lebih teruk sebanyak 30%. Strok yang teruk ditakrifkan sebagai satu keadaan strok yang menyebabkan lebih daripada dua gejala yang ketara, seperti kesukaran bergerak atau bercakap secara normal, kesedaran yang berkurangan atau masalah ingatan.

Selain daripada kesan bunyi bising dan peningkatan strok, para penyelidik turut menemui satu lagi hasil kajian lain. Mereka mendapati bahawa individu yang tinggal berhampiran dengan kawasan hijau sekurang-kurangnya dalam lingkungan 300 meter mempunyai 25% peluang yang lebih rendah untuk menderita penyakit strok yang teruk berbanding mereka yang tidak tinggal di kawasan hijau. Ini jelas menunjukkan bahawa, kawasan hijau seperti taman dan pinggir hutan memainkan peranan yang signifikan terhadap kesihatan manusia sama ada secara fizikal mahupun mental. 

Bagi anak-anak muda yang mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk membeli rumah, anda disarankan untuk mendapatkan rumah di kawasan perumahan pinggir bandar atau bandar yang lebih kecil. Rumah di kawasan kampung juga merupakan pilihan kawasan tempat tinggal yang paling ideal untuk kesejahteraan jangka panjang anda dan ahli keluarga yang lain. Anda pasti tidak ingin menyesali pilihan anda seumur hidup sepertimana Mak Ani yang telah terlambat dan tersilap dalam membuat keputusan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut