backup og meta

Anak Terlalu Aktif di Sekolah? Mungkin Petanda Anak Anda Cerdas

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/06/2020

    Anak Terlalu Aktif di Sekolah? Mungkin Petanda Anak Anda Cerdas

    Situasi lazim yang tidak asing jika anda menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi- kanak-kanak berlari-lari di kawasan sekolah sementara menunggu bermulanya sesi perhimpunan pagi. Kadangkala, kanak-kanak ini akan meluangkan masa mereka pada waktu rehat dengan bermain-main di sekitar kawasan sekolah, berkejaran ke sana sini sehingga pakaian sekolah menjadi kotor. Selagi mana loceng tidak dibunyikan, selagi itulah mereka akan terus aktif bermain. Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa di sebalik pakaian mereka yang kotor itu, terselit satu hikmah yang membentuk pencapaian mereka hasil daripada keaktifan mereka?

    Kanak-kanak aktif adalah seorang yang cerdas

    Berdasarkan kajian terbaharu kumpulan penyelidik di Finland, kanak-kanak yang terlibat dengan aktiviti fizikal secara aktif telah menunjukkan prestasi yang lebih baik di sekolah berbanding kanak-kanak lain yang tidak aktif. Mereka menemukan bahawa kanak-kanak yang aktif secara fizikal ini mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik di sekolah dalam kajian yang melibatkan pemantauan selama dua tahun. 

    Walau bagaimanapun, kajian turut mendapati bahawa peningkatan tahap aktiviti fizikal yang dilakukan tidak semestinya memberikan hasil yang sama terhadap pencapaian akademik secara automatik. Malah, kajian tersebut turut menyatakan bahawa kanak-kanak yang meningkatkan aktiviti fizikal mereka mempunyai prestasi akademik yang lebih rendah semasa tempoh pemantauan berbanding kanak-kanak lain yang lebih aktif.

    Faktor lain kecerdasan kanak-kanak

    Hasil kajian ini menyokong hasil-hasil kajian sebelumnya yang menyatakan bahawa kesan aktiviti fizikal yang kecil tetapi positif terhadap proses pembelajaran dan saraf berkaitan. Walau bagaimanapun, kajian terbaharu ini tidak dapat merumuskan tafsiran perkaitan atau penyebab sama ada aktiviti fizikal sememangnya meningkatkan prestasi akademik atau kanak-kanak dengan prestasi akademik yang baik memilih gaya hidup yang lebih aktif. 

    Menurut salah seorang penyelidik kajian tersebut, hubungan antara aktiviti fizikal dan prestasi akademik tidak semestinya menggambarkan hubungan penyebab. Ini kerana berkemungkinan tahap aktiviti fizikal dan prestasi akademik yang baik mempunyai ciri-ciri, elemen atau kualiti yang sama seperti motivasi yang tinggi dalam menyelesaikan atau melaksanakan sesuatu. 

    Walaupun terdapat sedikit hubungan yang kurang jelas antara peranan aktiviti fizikal dan peningkatan prestasi akademik melalui kajian terbaharu ini, masih banyak kajian sebelumnya yang menunjukkan kesan positif aktiviti fizikal terhadap prestasi pembelajaran atau akademik seseorang individu terutamanya kanak-kanak. 

    Oleh itu, sekiranya anda mendapati kepulangan anak anda ke rumah dengan pakaian yang comot dan kotor, janganlah terus memarahinya kerana berkemungkinan anak anda sedang mengalami perkembangan tumbesaran yang positif dan progresif. Jangan terlalu risau mengenai pakaian kerana pakaian sentiasa boleh dicuci bersih. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 25/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan