backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ini 7 Punca Kanser Usus, Kanser Ketiga Paling Lazim Di Dunia! #4 Memang Bahaya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/11/2022

    Ini 7 Punca Kanser Usus, Kanser Ketiga Paling Lazim Di Dunia! #4 Memang Bahaya

    Kanser ketiga paling lazim di dunia, kanser usus. Ingin tahu punca kanser usus? Teruskan pembacaan anda.

    Apa itu kanser usus?

    Kanser usus atau turut dikenali sebagai kanser kolon (usus besar), merujuk kepada pertumbuhan sel-sel barah yang berasal daripada lapisan dinding mukosa usus besar dan/atau lapisan dinding mukosa rektum.

    Oleh yang demikian, terma yang lebih tepat yang digunakan dalam dunia perubatan untuk memperincikan sifat dan asal usul penyakit ini adalah colorectal cancer (kanser kolorektal).

    Kanser ini berlaku apabila sel-sel yang membentuk lapisan dinding mukosa di kawasan usus besar dan/atau rektum berubah menjadi sel kanser dan mula membahagi secara tidak terkawal.

    Kanser usus juga boleh terbentuk daripada tumor atau ketumbuhan seperti polip.

    Ini menyebabkan mereka yang mempunyai penyakit keturunan yang menyebabkan pembentukan polip dalam usus mereka, berada pada risiko yang lebih tinggi.  

    Punca kanser usus

    Berikut merupakan antara punca kanser usus yang telah dikenal pasti menyumbang kepada keterjadian kanser kolorektal:

    #1. Penyakit keradangan usus (IBDs) 

    Penyakit keradangan usus sedia ada seperti Ulcerative colitis dan Crohn’s disease meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap kanser usus, khususnya Ulcerative colitis yang membabitkan keradangan lapisan epitelium yang meluas.

    Keradangan kronik akibat daripada IBDs menghasilkan sel abnormal yang disebut sebagai dysplastic cell.

    Walaupun sel-sel ini belum menjadi kanser, ia mempunyai potensi dan keupayaan untuk berubah menjadi sel kanser.

    Lebih lama seseorang itu menghidap keadaan ini dan lebih teruk keradangan yang mereka alami, risiko perubahan untuk menjadi kanser meningkat. 

    punca kanser usus

    Punca kanser usus #2. Sejarah keluarga 

    Mereka yang mempunyai sejarah membabitkan dua atau lebih ahli keluarga terdekat mereka (ibu bapa atau adik-beradik) yang menghidap keadaan ini, mempunyai peningkatan risiko sebanyak dua hingga tiga kali ganda.

    Kumpulan ini juga mewakili 20% daripada keseluruhan kes kanser kolorektal.

    Sejarah keluarga yang kuat dapat dikaitkan dengan peranan mutasi genetik.

    Mutasi genetik tertentu bukan sahaja mengakibatkan sel-sel badan menjadi sel kanser, ia juga dapat mengubah gen yang sepatutnya melindungi badan kita daripada pembentukannya.

    Sebagai contoh, gen APC memainkan peranan perlindungan daripada apabila ia berfungsi dengan baik namun apabila terdapat gangguan dalam fungsi gen APC ini, ia bertindak menyokong pembentukan kanser usus.

    Faktor genetik juga bukan sahaja mempengaruhi insiden penyakit ini, ia juga memainkan peranan dalam mempengaruhi kadar kematiannya.

    Gen seperti gen SMAD7 dikaitkan dengan jangka hayat penghidap yang lebih pendek. 

    #3. Penyakit keturunan tertentu 

    Sekitar 5 daripada 100 orang yang menghidap kanser ini adalah mereka yang mempunyai penyakit-penyakit keturunan tertentu yang menyebabkan mereka cenderung untuk menghidap kanser usus.

    Contoh penyakit yang dimaksudkan adalah Familial Adenomatous Polyposis (FAP) dan juga Hereditary Nonpolyposis Colorectal Cancer (HNPCC, atau sindrom Lynch).

    Kedua-dua penyakit keturunan ini menyebabkan berlakunya kanser kolorektal pada usia yang lebih muda

    punca kanser usus

    #4. Diet yang tinggi lemak punca kanser usus

    Terdapat banyak kajian yang mengaitkan peningkatan dalam risiko untuk menghidap kanser kolorektal dengan ‘gaya hidup barat’.

    Terma ini merujuk kepada perkara seperti berat badan berlebihan dan obesiti, gaya hidup sedentar, diet yang tinggi dengan lemak, daging haiwan, kalori dan rendah dalam kandungan serat.

    Kajian yang mula mengaitkan risiko pola pemakanan dan pembentukan kanser kolorektal ini berlaku pada tahun 1969 dan dipelopori oleh Ernst Wynder dan pasukannya.

    Mereka mendapati warga Jepun yang berada pada status sosioekonomi yang lebih tinggi, lebih cenderung untuk menghidap kanser usus akibat daripada diet barat mereka, berbanding mereka yang berada pada status sosioekonomi yang lebih rendah. 

    #5. Alkohol

    Kajian mendapati berbanding dengan mereka yang tidak minum atau mereka yang minum sekali sekala (ocassional drinkers), golongan yang mengambil minuman beralkohol sekurang-kurangnya 4 kali sehari mempunyai peningkatan risiko sebanyak 52% untuk menghidap kanser ini.

    Alkohol dikatakan menghasilkan kesan terhadap sintesis asid folik.

    Di dalam usus besar, alkohol dipecahkan oleh bakteria dan menghasilkan kompaun asetaldehid yang berupaya untuk menguraikan asid folik.

    Asid folik merupakan kompaun penting dalam menyokong pembentukan dan juga pemulihan DNA sel. 

    punca kanser usus

    #6. Kaedah masakan 

    Terdapat kaedah memasak tertentu yang dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk menghidap penyakit ini.

    Berdasarkan beberapa kajian, kaedah memasak seperti menggoreng, charcoal broiling dan kaedah lain di mana daging haiwan di masak pada suhu yang sangat tinggi, mendorong kepada penghasilan kompaun amine dan juga kompaun hidrokarbon aromatik polisiklik yang bersifat mutagenik.

    Kompaun-kompaun ini boleh membawa pula kepada penghasilan N-nitroso, kompaun yang dikenali sebagai karsinogen kepada usus besar. 

    Punca kanser usus #7. Umur 

    Umur dikatakan salah satu faktor risiko yang penting dalam keterjadian penyakit ini.

    Selepas mencapai usia 50 tahun, risiko untuk menghidap kanser ini meningkat dengan banyak sekali.

    Apabila dikecualikan faktor keturunan, keterjadian kanser usus pada usia bawah 50 tahun adalah sangat jarang.

    Jadi, adakah anda mempunyai salah satu daripada 7 punca kanser usus ini? Jika ya, segera berjumpa doktor!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan