backup og meta

5 Jenis Herba Ini Ada Banyak Manfaat Kesihatan, Paling 'Top' Sekarang Ini Herba #4

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 12/05/2022

    5 Jenis Herba Ini Ada Banyak Manfaat Kesihatan, Paling 'Top' Sekarang Ini Herba #4

    Tumbuhan herba bukan sahaja boleh digunakan sebagai bahan penyedap dalam masakan, malah turut digunakan untuk tujuan perubatan terutamanya dalam perubatan tradisional. Kaedah perubatan tradisional menggunakan pokok herba bukan sahaja terdapat dalam negara ini, tetapi turut dipraktikkan di seluruh pelosok dunia mengikut budaya masing-masing. 

    Tiada cara untuk mengetahui dengan tepat bagaimana budaya terawal menggunakan pokok herba, tetapi mereka telah mengambil masa selama beribu-ribu tahun bereksperimen dengan penggunaan tumbuhan herba.

    Ingin tahu apakah manfaat pokok herba kepada manusia? Jom teruskan pembacaan anda.

    Sejarah penggunaan tumbuhan dan pokok herba untuk tujuan perubatan

    Orang-orang Cina, India, Mesir, Babilon, dan penduduk asli Amerika kuno kesemuanya adalah ahli herba.

    Senarai herba ubat-ubatan yang paling lama yang diketahui adalah Shen Nung’s Pen Ts’ao atau Shennong Ben Cao Jing (sekitar 3000 sebelum Masihi).

    Ia berkemungkinan merupakan susunan herba-herba Cina bagi tradisi ubat-ubatan Cina secara lisan yang lebih tua.

    Selain masyarakat Cina, orang Mesir Kuno dan Yunani Rom purba juga terkenal dengan penggunaan pokok herba mereka.

    Pokok herba yang mengandungi nilai perubatan

    pokok herba

    Berpandukan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Malaysia, terdapat beberapa jenis tumbuhan atau herba sama ada dari hutan atau di sekeliling penempatan manusia yang mempunyai nilai pengubatan.

    Berikut merupakan 5 jenis tumbuhan herba yang dipercayai mempunyai nilai pengubatan:

    #1 Tumbuhan herba Akar Saga

    Dikenali juga dengan nama seperti Rosary Pea, Jequerity, Crab’s Eye, Precatory Bean, Gunja dan Ratti. Ia adalah sejenis legum dengan daun yang panjang.

    Tumbuhan ini berasal dari Indonesia dan tumbuh di kawasan tropika dan subtropika.

    Bahagian pohon ini yang digunakan adalah biji, daun dan akarnya. Bijinya bersifat afrodisiak, antimikrob, diuretik, expectorant, julap, purgatif, penyejuk dan sedatif.

    Akarnya digunakan untuk rawatan gonorea dan penyakit kuning. Minyak yang diekstrak dari bijinya dikatakan menggalakkan pertumbuhan rambut manusia.

    Benih ini digunakan sebagai kontraseptif, untuk merawat kencing manis dan nefritis yang kronik.

    #2 Pokok herba Jerangau

    Nama lain bagi Jerangau ialah Sweet flag dan Calamus root. Jerangau digunakan secara meluas dalam ubat herba moden sebagai perangsang aromatik dan tonik ringan.

    Di Malaysia, ia ditanam di taman-taman belakang rumah orang Melayu dan India, di mana ia digunakan secara luaran sebagai losen.

    Daunnya bersifat aromatik manakala rizomnya sangat harum, mengandungi minyak aromatik dengan sebatian yang tidak menentu.

    Jerangau digunakan sebagai antibakteria, antisawan, antiseptik dan emetik.

    Rizomnya digunakan sebagai ubat untuk kembung perut, kolik, dispepsia dan demam sekejap-sekejap, reumatik, penyakit saraf, masalah usus, disentri pada kanak-kanak, jangkitan bronkial dan asma. 

    #3 Kapas Hantu

    Nama lainnya adalah Devil’s Cotton. Ia adalah pohon yang berasal dari Asia hinggalah ke Australia. Pokok ini biasa didapati di kebanyakan bahagian India. Ia juga boleh ditemui di Pakistan dan banyak negara Asia lain.

    Dalam ayurveda, jus daunnya yang segar sangat berguna merawat penyakit uterus perempuan dan haid.

    Ia mengawal pengeluaran haid dan bertindak sebagai tonik uterus. Kulit akarnya yang segar dan dikeringkan juga digunakan sebagai tonik uterus dan mengawal pengeluaran haid.

    Jus segar yang diperoleh daripada kulit akarnya sangat berguna dalam masalah seperti dysmenorrhoea, amenorrhoea, masalah kencing dan bronkitis.

    Daunnya digunakan dalam masalah diabetes, sakit reumatik dan sinusitis. Di Bali, Indonesia, ia digunakan sebagai tampalan untuk penyakit kudis buta atau scabies.

    #4 Tumbuhan herba Hempedu Bumi

    Herba ini berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Tumbuhan herba ini telah digunakan selama berabad-abad dalam beberapa penawar di negara-negara seperti China, India dan Jawa.

    Walau bagaimanapun, baru-baru ini potensi sebenarnya ditemui dan sejak itu telah menarik perhatian pasaran herba dan farmaseutikal.

    Ia kini dianggap sebagai herba baharu yang sedang diuji untuk rawatan pelbagai penyakit termasuk HIV, AIDs dan pelbagai gejala yang berkaitan dengan gangguan autoimun.

    Di Malaysia, hempedu bumi biasanya ditanam di laman belakang atau di dalam pasu untuk tujuan perubatan.

    Herba ini diberikan sebagai ubat tahan sakit, julap, melegakan batuk, pencernaan, sakit perut dan juga digunakan untuk mengubati diabetes, demam, jangkitan cacing, bronkitis yang kronik, kusta, kembung perut, kolik, disentri, dan penyakit kulit (contohnya luka terbakar, luka, ulser).

    Ia juga merupakan ubat yang baik untuk merawat kesakitan akibat patukan ular dan masalah wanita.

    #5 Pokok herba Tutup Bumi

    Secara tradisinya, ia dianggap berkesan untuk merawat semua penyakit. Sehingga kini, tanaman ini belum dibiakkan di Malaysia tetapi dikumpulkan dari hutan liar oleh pengamal perubatan tradisional untuk disediakan sebagai ubat herba.

    Herba ini digunakan sebagai diuretik, ubat demam dan untuk melegakan anuria dan blennorrhagia.

    Selain itu, ia turut digunakan sebagai antibiotik, ejen antibengkak, antikeradangan dan pelembut kulit.

    Ia dipercayai sebagai ubat yang baik untuk leucorrhea, anemia dan bermanfaat semasa kelahiran bayi.

    Air rebusan yang dibuat daripada daun atau akarnya digunakan sebagai tonik untuk merawat kecacingan, merawat batuk dan penyakit kelamin.

    Air rebusan yang dibuat daripada akar segar dan daun sireh dikatakan berfungsi untuk menahan muntah-muntah manakala daunnya disyorkan untuk merawat dropsy.

    Kawal penggunaan dan dos pokok herba

    pokok herba

    Meskipun herba mempunyai manfaat tersendiri, namun menyedihkan apabila ia dikatakan menjadi faktor penyumbang kepada masalah kegagalan hati yang disebabkan ubat.

    Menurut National Health and Morbidity Survey pada 2015 oleh Kementerian Kesihatan menyatakan, kira-kira 29% penduduk mengamalkan perubatan tradisional dengan perundingan.

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, apa-apa dadah, termasuk ubat tradisional dan komplementari, yang mampu menghasilkan kesan terapeutik boleh juga menyebabkan kesan sampingan walaupun dengan penggunaan ubat yang sesuai.

    Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 70 laporan reaksi ubat buruk yang melibatkan penggunaan ubat tradisional dan komplementari berdaftar pada 2017.

    Walau bagaimanapun, tiada yang dilaporkan sebagai kecederaan hati yang disebabkan ubat dan tidak menunjukkan hubungan yang kausal.

    Oleh itu, pesakit perlu memaklumkan penggunaan produk tradisional kepada doktor mereka bagi mendapatkan nasihat tentang apa-apa kemudaratan yang berisiko.

    Sebarang penggunaan tumbuhan herba perlulah dikawal melalui jumlah dos yang diambil. Dapatkan juga nasihat mengenai penggunaan tumbuhan herba daripada pegawai atau ahli farmasi, pakar pemakanan dan pakar kimia.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 12/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan